Melihat akan situasi itu, Pak Abu menekan hon dengan kuat dan dia bergegas keluar dari kereta. Sempat dia menekan butang pintu supaya pintu di tempat duduk Tihani terbuka. Kemudian, dia menjerit memanggil dua orang bodyguard yang masih menanti di dalam kereta milik mereka yang berada tidak jauh dari situ.
Sebaik sahaja mendapat isyarat cemas itu, dua orang bodyguard tersebut, terus keluar dan meluru dengan pantas berlari ke arah kereta yang dinaiki Tihani. Sebelum merempuh masuk ke dalam, mereka berdua mengambil langkah berhati-hati. Mereka yakin lelaki di dalam kereta itu memegang senjata api.
Salah seorang dari mereka bersedia untuk menerobos masuk ke dalam kereta. Manakala, seorang lagi, bersiap sedia untuk menyusul.
Masuk sahaja ke dalam kereta itu, salah seorang dari mereka terus merentap tudung yang dibelit ke leher Tihani. Wajah wanita itu sudah kelihatan kebiruan. Terbuka sahaja belitan tudung tersebut dari leher, Tihani bernafas laju. Terbatuk-batuk Tihani cuba mengambil kembali nafasnya. Salah seorang dari mereka, terus menarik tubuh kecil Tihani keluar dari situ. Manakala, yang seorang lagi menerpa ke arah Zaid dan mereka bergelut.
"Pak Abu, bawa puan Hani masuk dalam kereta cepat! Lepas itu, hubungi polis!" arah seorang lagi. Kemudian, dia pula menerobos masuk ke dalam kereta bagi membantu rakan sekerjanya.
"Mari puan Hani," Pak Abu memapah Tihani di bawa ke kereta milik dua orang bodyguard itu. Badan Tihani menggigil hebat. Trauma dengan apa yang berlaku. Wajah yang biru tadi, mula kembali berubah rona setelah oksigen berjaya di hirup semula. Langkahnya terasa lemah. Tapak tangan menekup ke perut. Dia bimbang apa yang berlaku akan membahayakan kandungannya.
'Ya Allah.. Selamatkan segalanya,' doa Tihani di dalam hati. Air mata mula mengalir lebat turun ke pipi. Wajah Megat Ariff terbayang di matanya. Dia tidak mahu lagi merasa sedih dengan kehilangan. Sungguh Tihani takut.
Belum sempat Pak Abu menghubungi pihak Polis, dari jauh sudah kedengaran siren. Pak Abu menoleh ke arah kereta Polis yang dipandu laju menuju ke kawasan mereka. Maka, berkerumunlah orang yang berada di kawasan berhampiran untuk melihat apa yang berlaku.
BAM!!BAM!!!
Bunyi tembakan dilepaskan dari dalam kereta milik Toh Puan Ulya. Tihani dan Pak Abu tergamam. Tihani sudah mula menangis ketakutan. Pak Abu pula cepat-cepat menolak perlahan tubuh wanita itu masuk ke dalam kereta. Orang ramai yang lainnya ada yang turut bersembunyi bimbang menjadi mangsa tembakan rambang itu.
Berhenti sahaja kereta Polis di kawasan kejadian, masing-masing mengambil tempat untuk menerobos ke dalam kereta itu. Isyarat demi isyarat di berikan sesama mereka. Seolah sedang berlakon drama Gerak Khas kelihatannya.
Beberapa minit kemudian, keluar salah seorang bodyguard yang berada di dalam kereta dengan berlumuran darah. Manakala yang seorang lagi keluar sambil membawa Zaid bersama. Zaid cedera di bahagian perut. Mukanya bengkak dan berdarah akibat di kerjakan dua orang bodyguard itu.
Tihani yang berada di dalam kereta menghela nafas lega kerana tiada nyawa yang melayang. Fikirnya sudah ada yang hilang nyawa ketika tembakan dilepaskan.
Zaid kelihatan lembik. Kolar bajunya dicengkam oleh salah seorang bodyguard tersebut. Wajah Zaid direnung Tihani dari dalam kereta. Sedikit sebanyak, dia lega kerana akhirnya Zaid berjaya di berkas.
Tiba-tiba pintu kereta di buka. Tihani tersentak. Susuk tubuh yang sudah menghalang pandangannya itu di renung.
Megat Ariff dan Toh Puan Ulya!!
"Hani tak apa-apa?" soal Megat Ariff dengan wajah yang sangat cemas. Dia menarik tubuh kecil itu keluar dari kereta. Dipeluk seeratnya. " Abang minta maaf sebab tak teman Hani," ucap Megat Ariff. Dia dengan sekuat hati menahan rasa loya ditekaknya. Di tahan nafas agar dia boleh memeluk Tihani lama.
Perlahan Tihani menolak tubuh Megat Ariff dari memeluknya. Mata merenung wajah lelaki itu. Air mata yang tumpah dikesat dengan telapak tangan. Wajah Megat Ariff kelihatan tidak selesa. Tihani pasti alahan Megat Ariff menjelma lagi. Berkerut dahi Megat Ariff seakan menahan sesuatu.
"Alhamdulillah Hani tak apa-apa. Mujur bodyguard upahan Bonda ada bersama," giliran Toh Puan Ulya memeluk menantunya itu. Tihani menghambur tangis di bahu Toh Puan Ulya. Dia membalas pelukan ibu mertuanya itu.
"Hani takut...," meluncur kata-kata itu keluar dari bibir Tihani. Megat Ariff berganjak sedikit ke belakang. Dia kecewa kerana di saat genting sebegini dia tidak dapat menjadi pelindung dan penenang isterinya itu.
"Sudah Hani. Segalanya sudah berakhir. Pihak Polis sudah berkas Zaid. Hani selamat sekarang," pujuk Toh Puan Ulya. Wanita itu mengusap kepala Tihani yang tidak berbalut itu. Megat Ariff merenung wajah sedih Tihani. Sungguh dia menyesal kerana tidak menemani wanita itu ke klinik. Jika tidak, pasti semua ini tidak akan berlaku.
Setelah itu, mereka semua ke balai Polis untuk membuat laporan dan memberi keterangan.
~~~~~~~~~~
Megat Ariff memandang Tihani yang baru sahaja keluar dari bilik air. Wanita itu sudah lengkap berpakaian. Tihani turut memandang suaminya itu. Dia tahu Megat Ariff rasa bersalah dengan apa yang berlaku. Tetapi, sedikit pun Tihani tidak marah.
Kaki di bawa melangkah ke tempat penyidai tuala. Tuala yang melilit kepala dibuka dan disidai. Terserlah rambut hitam pekat milik Tihani yang masih basah itu mengurai melepasi bahunya. Kecantikan semulajadi Tihani terserlah saat ini. Megat Ariff menelan air liur berkali-kali. Mahu mendekat tidak boleh.
"Abang nak orange juice? Kalau nak, Hani ke dapur ambilkan yang pagi tadi punya," tutur Tihani tenang. Dia duduk di birai katil sambil memandang wajah Megat Ariff yang seakan termenung jauh itu. "Abangg," panggil Tihani apabila kata-katanya tidak disahut. Megat Ariff tersentak. Terkebil-kebil matanya merenung Tihani. Bibir dimuncungkan.
"Abang kenapa?" soal Tihani mula rimas dengan sikap manja Megat Ariff yang tiba-tiba itu. "Abang minta maaf..," perlahan dia membalas. Wajah ditunduk memandang cadar katil. Cadar bercorak bunga kecil berwarna merah jambu dan tanahnya berwarna putih itu dikuis-kuis dengan hujung jari. Gayanya seakan anak dara yang menanti orang datang merisik.
Tihani tersenyum segaris. " Hani sudah maafkan abang. Hani tak marah pun. Hani lega sebab kandungan Hani tak apa-apa. Itu sudah buat Hani bersyukur sangat," ucap Tihani dengan tenang. Dia sudah menjangka perasaan lelaki itu.
"Kalau jadi apa-apa pada Hani dan nyawa abang dalam kandungan tu, abang tak boleh maafkan diri abang lagi," lirih suara Megat Ariff meluah rasa. Sungguh dia benar-benar menyesal kerana tidak menemani Tihani.
"Kalau jadi apa-apa pun, semua ketentuanNya. KehendakNya. Kita sebagai hamba tidak boleh menghalang apa yang ditakdirkan untuk kita," tutur Tihani satu persatu. Serta merta Megat Ariff mengangkat wajah merenung Tihani yang berada di depannya. Tenang kelihatan riak wajah wanita itu. Leher Tihani yang mempunyai kesan biratan akibat di jerut tadi menyakitkan hatinya. Dia mendengus menyumpah Zaid di dalam hati.
"Abang tak boleh kehilangan Hani dan anak kita sekali lagi. Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini. Abang tak sanggup," mata lelaki itu berkaca saat kata-kata itu ditutur. Kepala di geleng perlahan. Sangat menyesal dengan sikap sambil lewanya pada Tihani. "Abang akan salahkan diri abang jika sesuatu yang buruk berlaku pada Hani dan anak abang," sambung Megat Ariff dengan wajah yang kian suram.
Air jernih mula meleleh dari celahan matanya. Puas dia menahan sebak didada sejak dari tadi. Namun, gagal. Dia malu menangis di depan Tihani. Tetapi, dia juga tidak mampu menyembunyikan perasaannya lagi. Betapa dia menyayangi wanita itu dan tidak sanggup lagi untuk kehilangannya.
Tihani terkedu saat melihat Megat Ariff menyeka air mata. Bibir bawah di gigit perlahan. Kasihan melihat suaminya yang bersedih dek kerana rasa bersalah. Mahu dipeluk bimbang lelaki itu tidak selesa dek alahannya.
"Abang.. Sudahlah.. Hani tak tahu bagaimana lagi mahu pujuk abang. Hani susah hati lihat abang begini," luah Tihani. Sungguh, dia bersusah hati dengan perubahan sikap Megat Ariff yang mendadak itu. Tiba-tiba suaminya berubah menjadi manja.
"Abang sendiri tak tahu kenapa abang jadi begini," lemah suaranya menutur kata. "Patutlah bila isteri mengandung suami kena jaga hati isteri. Sebab alahan teruk. Abang sendiri tak larat. Asyik muntah. Sehingga mengganggu emosi abang," sambung Megat Ariff lagi. Wajahnya diraup. Tihani tersenyum nipis saat mendengar kata-kata itu.
"Sewaktu mengandungkan Tarif, Hani tiada juga alahan," balas Tihani. Hatinya sayu saat nama Tarif disebut. Begitu juga Megat Ariff. Air mata lelaki itu kembali meleleh ke pipi. Tihani kerut kening. Pelik melihat gelagat Megat Ariff yang sejak dari tadi asyik mengalirkan air mata.
"Abang rindu Tarif," lirih suara Megat Ariff mengungkap kata. Tihani tersentak. Dia bungkam seribu bahasa. Pandangannya mula berbalam-balam. Terkebil-kebil mata cuba mengusir pandangan yang kian kabur itu. Masing-masing diam melayani perasaan buat seketika.
Beberapa detik kemudian, Megat Ariff kembali bersuara. "Kalau abang dah okay, kita ke tapak butik Hani. Abang mahu selesaikan hal butik secepat mungkin," ujar Megat Ariff. Dia mahu Tihani merasa lebih terjamin dengan kehidupannya. "Setelah semua selesai, kita pulang ke kampung Hani, melawat kubur Tarif" sambung Megat Ariff lagi.
Wajah Megat Ariff dipandang. Kemudian, perlahan kepala di anggukkan. Tihani akur dengan semua arahan Megat Ariff kerana dia juga rindukan Tarif.
"Abang nak kiss Hani, tapi.... ," Megat Ariff melepaskan keluhan berat. Muncungnya semakin terserlah. Tihani ketawa kecil sambil lidah dijelirkan ke arah suaminya. "Tunggulah alahan abang hilang, siap Hani," tambah Megat Ariff lagi geram dengan ejekan nakal wanita itu. Meledak tawa Tihani saat ini.
Share this novel