PAPAN kekunci itu direnung lama. Sejak dari tadi otaknya seakan kosong. Tidak tahu mahu memulakan kerja dari mana. Keluhan dilepaskan perlahan. Puteri Uzma mula serabut apabila dia harus berjumpa dengan Megat Wazir pada hari ini atas arahan Toh Puan Ulya.
"Kenapalah Bonda ni, asyik suruh I jumpa dengan si Wazir tu!" bebel Puteri Uzma sendiri. Wajahnya mula mencuka dengan bibir yang melengkung masam. Disebabkan hal itulah, Puteri Uzma nekad mahu melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Dia sudah penat mahu menghadap wajah Megat Wazir yang selalu sahaja muncul didepannya. Walaupun tidak lama, namun, situasi itu amat menyeksa jiwa dan raganya.
Semalam, sewaktu dia makan tengah hari seorang diri di sebuah mall berdekatan dengan pejabat, dia ternampak Megat Wazir bersama Razia sedang makan bersama. Hati Puteri Uzma tika itu terasa sakit. Bukan kerana cemburu, tetapi, entahlah perasaan apa yang dia rasai saat itu dia sendiri tidak tahu. Dia benci melihat kedua-duanya. Seolah-olah mereka sedang mengejeknya.
Namun, Toh Puan Ulya selalu berpesan agar Puteri Uzma bersikap profesional ketika bekerja. Jadi, mahu atau tidak, dia terpaksa menurut kehendak Toh Puan Ulya. Walaupun dalam hatinya menyumpah seranah Megat Wazir setiap kali mereka bertemu. Dan hari ini, sekali lagi dia terpaksa menghadap muka Megat Wazir. Walaupun hanya tempoh masa yang singkat, dia tetap tidak rela. Pertemuan itu akan menganggu emosinya. Sekali lagi Puteri Uzma mengeluh.
Tok!Tok!Tok!
Pintu bilik pejabat Puteri Uzma diketuk seseorang. Dia dapat mengagak gerangan siapa yang datang. Nafas ditarik dalam dan dihela perlahan sebelum susuk tubuh itu dibenarkan masuk. Degupan jantung cuba dikawal.
Megat Wazir memulas tombol pintu setelah suara Puteri Uzma memberi izin untuk masuk. Perlahan daun pintu ditolak. Wajah Puteri Uzma yang mencuka itu sudah menjadi kebiasaannya setiap kali mereka perlu bertemu atas urusan kerja. Sungguh, hatinya dihenyak rasa rindu yang menggila pada wanita itu. Melihat wajah Puteri Uzma sebegitu membuatkan rasa rindunya semakin menebal. Dia rindu mahu memeluk Puteri Uzma. Dia rindu mahu mengucup dahi wanita itu. Segala-gala tentang Puteri Uzma, sangat dirinduinya.
Belum sempat Megat Wazir melabuhkan punggungnya ke kerusi, Puteri Uzma sudah mula bersuara keras. Nampak benar wanita itu tidak selesa dengan kehadirannya. "Toh Puan Ulya cakap you mahu ubah sesuatu dalam agreement. Apa masalahnya?" soal Puteri Uzma tanpa memandang ke arah Megat Wazir. Matanya ditumpukan ke arah skrin komputer. Megat Wazir tersenyum sendiri. Raut wajah Puteri Uzma direnung lama. Kemudian, kerusi ditarik dan punggungnya dilabuhkan di situ walaupun tidak dipelawa oleh wanita itu.
"I bukan nak ubah. Tapi, mahu tambah sesuatu dalam agreement tu," tenang sahaja suara Megat Wazir menutur kata. Matanya masih belum lepas dari memandang Puteri Uzma.
Puteri Uzma tersenyum hambar. "Lepas ni kalau you nak tambah ke, nak tolak ke, atau apa sahaja, thru phone sahaja. Tak perlu susah-susah ke sini," sinis Puteri Uzma membalas. Sedikit pun dia tidak memandang wajah Megat Wazir. Begitulah perlakuannya setiap kali mereka bertemu. Hanya sesekali sahaja dia akan memandang ke arah Megat Wazir. Itu pun jika terpaksa. Kalau tidak, jangan harap!
"I nak tengok muka you," spontan Megat Wazir menjawab. Glup! Terlepas cakap. Riak wajah Puteri Uzma berubah sebaik sahaja mendengar jawapan Megat Wazir. "Sorry. I... I tersalah cakap," cepat-cepat Megat Wazir membetulkan semula kata-katanya. Dia sendiri terkejut kerana mulutnya terlepas kata. Riak wajah Puteri Uzma yang serius itu dipandang dengan rasa bimbang. Bimbang dihalau dari situ. Puteri Uzma bukan boleh dijangka.
"So, dah tengok muka I kan? You boleh pergi. After this, sebarang urusan thru phone sahaja. You boleh berurusan dengan pembantu I, Suri," balas Puteri Uzma selamba. Walaupun degupan jantungnya mula berdetak laju, namun, dia berlagak tenang.
Perlahan matanya dibawa menatap pada wajah Megat Wazir. Pandangannya berbalam-balam. Mata mereka bertaut seketika. Namun, cepat-cepat Puetri Uzma mengalih semula matanya ke arah skrin komputer. "Kalau takda apa-apa lagi, you boleh pergi," tambah Puteri Uzma. Dia tidak mahu Megat Wazir berlama-lama disitu. Sesak dada dibuatnya. Dia takut tangisannya terhambur di hadapan lelaki itu. Dia tidak mahu terlihat lemah. Tidak guna meratapi lelaki yang tidak mahukan dirinya lagi. Buang masa!
"Uzma, I buat semua ni sebab I tak mahu you terseksa dengan I. I tak boleh beri you zuriat!" tiba-tiba Megat Wazir bersuara. Baru kini dia punya kekuatan untuk menjelaskan apa yang dia rasa tika ini. Puteri Uzma menahan perasaannya. Sungguh dia tidak mahu mendengar apa-apa pun penjelasan dari lelaki itu. Dia sudah tidak kisah lagi tentang semua itu.
"Apa pun alasan you, ia tidak mengubah apa-apa Wazir. You sudah pun ceraikan I," tutur Puteri Uzma dengan nada yang sayu. Air mata ditahan. Nafas digali dalam. Megat Wazir masih memandang wajah Puteri Uzma. Dia tahu wanita itu sedang bersedih. Dia juga begitu. Namun, kekurangan dirinya menyebabkan dia mengambil keputusan sebegitu. Dia sangat berharap agar Puteri Uzma faham keadaannya.
"Pergilah, Wazir. Lagipun, you dengan Razia sangat sesuai. Cinta pertama you kan?" sinis Puteri Uzma menutur kata. Senyuman hambar diberikan kepada Megat Wazir. Riak wajah lelaki itu berubah saat nama Razia meniti dibibir Puteri Uzma.
"Mungkin sebab Razia… you ceraikan I," tambah Puteri Uzma lagi. Getaran suaranya dikawal. Dahi Megat Wazir berkerut. Dia pasti Puteri Uzma pernah ternampak dia dan Razia keluar bersama sebelum ini. Dia pasti wanita itu salah faham dengan apa yang dilihatnya.
"You dah salah faham Uzma. Bukan sebab Razia. I dengan dia...," belum sempat Megat Wazir menghabiskan kata-katanya, Puteri Uzma mencelah. "Enough Wazir! You datang sini atas urusan kerja. I tak nak tahu langsung tentang you dengan Razia. You sudah ceraikan I dan I tak mahu tahu apa-apa pun tentang hidup you lagi. I harap you faham apa yang I maksudkan," satu per satu Puteri Uzma mengungkap kata. Dia berharap agar Megat Wazir sedar hubungan antara mereka sudah berakhir. Jadi, tidak perlu menjelaskan apa yang berlaku antara dia dan Razia kerana Puteri Uzma tidak mahu tahu langsung tentang hal itu.
Megat Wazir terdiam. Dia terlupa bahawa hubungannya dengan Puteri Uzma sudah pun berakhir. Entah mengapa dia masih mahu menjelaskan tentang hal itu kepada Puteri Uzma. Keluhan berat dilepaskan dari mulutnya.
"I'm sorry..." lemah suara Megat Wazir mengungkap maaf. Perlahan dia memejamkan matanya mencari semula semangat yang hilang sebentar tadi. Kemudian mata dibuka kembali. Dia melihat air mata Puteri Uzma sudah mula meleleh ke pipi. Megat Wazir bangun dari duduknya. Dia menolak semula kerusi dan berjalan menuju ke pintu. Tombol pintu dipegang, namun dia masih kaku disitu. Sempat dia menoleh ke arah Puteri Uzma.
"I'm still love you, Puteri Uzma," ucap Megat Wazir. Tombol dipulas dan daun pintu ditarik. Kemudian, dia melangkah keluar dari ruangan itu.
Puteri Uzma terdiam tatkala mendengar ungkapan Megat Wazir sebentar tadi. Air mata dikesat dengan hujung jari. Nafas ditarik dalam. Jika awal-awal dahulu, pasti dia akan menangis teresak-esak setiap kali selepas bertemu Megat Wazir. Tetapi, kali ini, dia lebih tenang. Tidak seperti selalu. Puteri Uzma tersenyum sinis apabila teringat akan kata-kata Megat Wazir itu tadi.
"Love?? I'm not your first love ,Wazir," gumam Puteri Uzma perlahan. Lalu, dia terus memulakan kerjanya. Dia berharap agar dia boleh melupakan Megat Wazir jika dia sudah berada di Rusia nanti. Dia mahu mulakan hidup baru di sana. Walaupun hanya empat tahun di Russia, dia harap agar kehidupan barunya boleh mengubat segala kesedihan di sini.
TOH PUAN ULYA memandang ke arah Megat Ariff yang masih tidak bersiap untuk ke pejabat. Anak lelakinya itu masih bersantai di ruang tamu rumah. Dengan langkah perlahan, Toh Puan Ulya menghampiri Megat Ariff. "Ariff tak ke pejabat ke hari ini?" soal Toh Puan Ulya sebaik sahaja dia berdiri di belakang sofa ruang tamu. Megat Ariff yang duduk di sofa menoleh ke arah Toh Puan Ulya.
"Tidak Bonda. Tengah hari nanti, Ariff nak ke rumah Pak Cik Jalal," balas Megat Ariff sambil matanya kembali melihat ke skrin televisyen. Toh Puan Ulya mengangguk perlahan. Dia berdoa agar Megat Ariff dapat membawa Tarif datang ke rumah agam itu. Dia terlalu rindukan Tarif.
"Bonda rindukan cucu Bonda," ucap Toh Puan Ulya. Dia tidak dapat menahan perasaan rindunya terhadap Tarif. Terlalu rindu. Megat Ariff tarik nafas dalam. Dia juga rindukan Tarif. Tetapi, kedegilan Tihani menyukarkan baginya untuk membawa Tarif berjumpa Toh Puan Ulya.
Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia membuat tuntutan hak penjagaan anak. Tetapi, disebabkan dia sudah berjanji pada Tihani, dia membatalkan hasratnya walaupun dia berhak untuk menuntut. Megat Ariff tidak mahu menambah kebencian wanita itu terhadapnya. Selagi boleh dipujuk, dia akan cuba memujuk Tihani agar wanita itu izinkan dia bertemu Tarif.
"Nanti Ariff pujuk Hani lagi, Bonda," tenang sahaja suara Megat Ariff walaupun dalam hatinya tidak setenang itu. Sejak penceraian mereka, Tihani masih berdegil dan tidak mengizinkan Megat Ariff berjumpa dengan anak mereka. Sehinggakan Tihani berkali-kali menghalau Megat Ariff daripada bertandang ke rumah Jalal. Tihani mengugut akan membawa Tarif pergi jauh daripada situ jika Megat Ariff terus mengganggu mereka.
"Biar Bonda pujuk Hani," Toh Puan Ulya mahu mencuba nasib. Mana tahu, jika Tihani berlembut hati dengannya.
Megat Ariff ketawa kecil. "Bonda lupa ke? Tihani benci kita berdua. Kita geng tau," balas Megat Ariff dengan tawa yang masih bersisa. Toh Puan Ulya tarik muka masam tatkala mendengar kata-kata Megat Ariff. Selalu sahaja Megat Ariff berkata begitu seolah-olah mahu dia ingat siapa punca Tihani jadi begitu.
"Ariff marahkan Bonda?" soal Toh Puan Ulya sambil berjalan perlahan dan berdiri di sebelah Megat Ariff. Lelaki itu lantas bangun dan membantu Toh Puan Ulya duduk di sofa.
"Tidak. Apa yang berlaku salah Ariff. Ariff terlalu ikutkan perasaan. Hukuman untuk Ariff, Bonda," balas Megat Ariff. Tenang. Bibirnya mengukir senyum segaris. Dia tidak mahu Toh Puan Ulya menyalahkan diri sendiri. "Sepatutnya Ariff siasat dan pertahankan Hani. Tapi, sebaliknya. Ariff yang menghancurkan hidup isteri Ariff sendiri," tambah Megat Ariff lagi. Dia cuba menahan sebak didada setiap kali terkenang akan peristiwa itu.
Toh Puan Ulya mengenggam erat tangan Megat Ariff. Dia tahu Megat Ariff masih bersedih dengan apa yang berlaku. "Maafkan Bonda," air mata Toh Puan Ulya mula mengalir dipipi. Wajah Megat Ariff dipandang sayu. Lelaki itu tersenyum pahit sambil memeluk bahu Toh Puan Ulya. Digosok perlahan bahu ibunya itu.
"Bonda tiada salah pada Ariff pun. Don't say sorry. I love you so much," ucap Megat Ariff. Kucupan mesra hinggap didahi Toh Puan Ulya. Air mata wanita itu diseka dengan hujung jari. Mereka saling berbalas senyum walaupun di dalam hati masing-masing sedang bersedih.
Megat Ariff nekad akan cuba memujuk Tihani lagi. Dia akan pastikan wanita itu mengizinkan dia bertemu Tarif.
Share this novel