TOH PUAN ULYA memandang Megat Ariff yang masih termenung sejak daripada tadi. Perlahan dia berjalan menghampiri anak lelakinya itu. Bahu Megat Ariff dipegang lembut. "Bonda," Megat Ariff menoleh sebaik sahaja merasakan sentuhan itu. Dia tersenyum hambar. Tangan membalas pegangan tangan Toh Puan Ulya yang ada di bahunya. Diusap dengan lembut.
"Hari ni masih tak ke pejabat?" soal Toh Puan Ulya.
Wajah Megat Ariff nampak tidak terurus. Dia sekadar menggeleng lemah. Keluhan berat juga dilepaskan. Lantas dia bangun dan membantu Toh Puan Ulya yang mahu duduk di sebelahnya. Tangan Toh Puan Ulya dipaut. Perlahan wanita itu melabuhkan punggung ke sofa. Kemudian, Megat Ariff kembali duduk di tempatnya. Tangan kanan diletakkan ke bahu Toh Puan Ulya. Dia cuba tersenyum. Namun, riak wajah sedihnya tidak dapat disembunyikan daripada mata wanita itu.
"Bonda tahu Ariff sedih. Bonda minta maaf sebab Bonda, Ariff dan Hani terpaksa lalui semua ini," tutur Toh Puan Ulya apabila melihat mata Megat Ariff berkaca. Dia kasihankan Megat Ariff. Namun, tiada apa yang boleh dia lakukan untuk membantu anak lelakinya itu.
"No, Bonda. Bukan salah Bonda. Salah Ariff," balas Megat Ariff tenang. Dia kembali memandang ke arah skrin televisyen yang kosong itu. Dia buntu tidak tahu di mana harus mencari Tihani dan Tarif.
"Jika Bonda restu sahaja perkahwinan Ariff dan Hani dulu, pasti semua ini takkan berlaku," esakan mula berlagu dibibir Toh Puan Ulya. Megat Ariff tarik nafas dalam. Dia juga tidak tahu apa yang harus dia ucapkan untuk menenangkan hati Toh Puan Ulya kerana dia sendiri sedih dengan apa yang berlaku.
Puas Megat Ariff fikir, apa yang menyebabkan Tihani menjauhkan Tarif darinya. Tidak nampakkah wanita itu akan kasih sayangnya pada Tarif saat dia hilang ingatan? Megat Ariff sedikit pun tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya pada Tarif. Segalanya cuba diberikan yang terbaik untuk anak mereka. Namun, Tihani tetap memisahkan dia dan Tarif. Keras sungguh dirasakan hati Tihani saat ini. Sanggup wanita itu memisahkan seorang anak daripada bapanya.
"Bonda akan upah orang untuk cari Hani dan jaga mereka dari jauh. Bonda bimbangkan keselamatan mereka," tambah Toh Puan Ulya. Air mata dikesat dengan telapak tangan.
Megat Ariff masih mendiamkan diri. Dia buntu, tidak tahu apa yang harus dia lakukan tika ini. "Ariff...," peha Megat Ariff disentuh lembut. Dia tersentak seakan baru tersedar daripada lamunan. Wajah Toh Puan Ulya dipandang. "Kenapa Bonda?" soalnya dengan mata yang terkebil-kebil. Toh Puan Ulya mengukir senyum tawar. Pasti Megat Ariff sedang susah hati tika ini.
"Bonda mahu upah orang untuk mencari Hani dan Tarif," ulang Toh Puan Ulya. Mendengar sahaja cadangan itu, Megat Ariff tarik nafas dalam. Dia hanya tersenyum hambar apabila mendengar kata-kata Toh Puan Ulya. Entah mahu setuju atau tidak dengan cadangan itu. Sedangkan Tihani sendiri mahu menjauhkan diri daripadanya. Apa pula tindakan wanita itu jika tahu Megat Ariff mengupah orang untuk mencari mereka berdua. Pasti kebencian wanita itu terhadap dia lebih parah.
"Nanti Ariff fikirkan. Bonda jangan bimbang. Hani pandai jaga diri. Ariff yakin dia boleh jaga Tarif tanpa Ariff," tutur Megat Ariff lembut. Dia tidak mahu memburukkan lagi keadaan. Dia akan beri ruang pada Tihani buat sementara waktu. Kemudian, dia akan fikirkan tindakan selanjutnya. Mahu atau tidak, Toh Puan Ulya terpaksa akur dengan kehendak dan keputusan Megat Ariff. Dia tidak mahu memaksa Megat Ariff mengikut cadangannya. Keputusan Megat Ariff pasti bersebab.
"Baiklah, Bonda tidak akan paksa Ariff," balas Toh Puan Ulya dengan senyuman pahit. Megat Ariff turut tersenyum. Pipi Toh Puan Ulya dicium lembut.
"Thanks, Bonda," ucap Megat Ariff. Alat kawalan jauh televisyen dicapai. Butang on ditekan dari alat kawalan jauh itu. Entah rancangan apa yang sedang ditayangkan, sedikit pun tidak masuk ke dalam fikiran Megat Ariff tika ini. Begitu juga Toh Puan Ulya. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Memikirkan jalan penyelesaian untuk mencari dan memujuk Tihani.
MALAM itu, Megat Ariff dan Puteri Uzma duduk bersantai di halaman rumah agam itu. Cahaya bulan yang menerangi malam, kelihatan sangat indah. Namun, keindahan seperti itu, tidak dapat mengusir perasaan sedih dihati Megat Ariff tika ini.
Kerutan didahi Puteri Uzma kelihatan apabila Megat Ariff memberitahu perihal Tihani kepadanya. Keluhan dilepaskan. Dia geram dengan sikap bekas adik iparnya itu. Sampai begitu sekali dia membenci Megat Ariff sehingga membawa lari Tarif dari Megat Ariff. Sesak dadanya tika ini. Dia juga merindui Tarif. Nampak gayanya, tidak dapatlah dia bertemu Tarif sebelum dia berangkat ke Rusia nanti.
"I rindu Tarif. Sampai hati Hani bawa lari Tarif," luah Puteri Uzma dengan muka tidak puas hati. Apa lagi yang wanita itu mahu Megat Ariff lakukan lagi? Seingatnya, Megat Ariff tidak pernah mengabaikan Tarif mahu pun Tihani sewaktu wanita itu hilang ingatan dahulu. Sehinggalah Tihani sendiri mahu berpisah dengan Megat Ariff.
"I tak tahu apa lagi yang Hani mahu I buat. I cuma mahu bertemu dengan Tarif sahaja," luah Megat Ariff. Nadanya kedengaran lemah. Perasaannya sudah tidak tertahan lagi. Puteri Uzma turut mengeluh. Wajah Megat Ariff yang sayu itu dipandang dengan rasa simpati.
"I tahu I bukan suami yang baik untuk dia. Tapi, I cuba jadi ayah yang baik untuk anak I. Susah sangat ke permintaan I pada dia?" rintih Megat Ariff. Air mata yang tertahan sedari tadi akhirnya jatuh ke pipi. Esakan daripada mulut Megat Ariff mula kedengaran. Perlahan Puteri Uzma menghampiri Megat Ariff. Bahu adiknya itu diraih dan dipeluk tubuh yang sedang duduk itu. Dengan lembut, tapak tangannya menepuk belakang tubuh Megat Ariff.
"You buat tuntutan hak penjagaan Tarif," Puteri Uzma memberi cadangan. Megat Ariff menggelengkan perlahan tanda tidak mahu. "Ariff tak mahu Hani bertambah benci pada Ariff," tersekat-sekat suara Megat Ariff saat menutur kata.
Puteri Uzma melepaskan pelukan. Dia berdiri sambil bercekak pinggang di hadapan Megat Ariff. "Habis tu kalau you tak buat begitu, sampai bila-bila pun Hani akan bawa Tarif lari dari you!" tegas Puteri Uzma melontar kata. Tiada niat mahu menghasut Megat Ariff untuk merampas Tarif dari Tihani. Tetapi, sikap Tihani yang melarang Megat Ariff daripada berjumpa Tarif sangatlah tidak patut. Megat Ariff ada hak ke atas Tarif.
"Ariff masih sayang dan cintakan Hani. Ariff tak mahu Hani benci Ariff," wajah diraup perlahan. Dia sudah tidak tahu apa yang patut dia lakukan untuk mendapatkan kemaafan Tihani. Dan sehingga kini, dia masih berharap agar dia dapat bersama Tihani dan Tarif seperti satu keluarga. Itu sahaja.
"Ariff, I bukan suruh you berputus asa. Tapi, Hani bersungguh tak mahukan you lagi. You patut fikirkan tentang Tarif sahaja. Bukan lagi tentang Hani," tegas Puteri Uzma. Dia sudah bosan dengan sikap Tihani yang tidak mahu memaafkan Megat Ariff. Sehingga sanggup memisahkan Tarif dengan ayahnya sendiri.
"Ariff masih sayangkan Hani...," rintih Megat Ariff sambil meramas rambutnya dengan kedua telapak tangan. Tubuhnya dibongkok sedikit dan siku ditongkat ke peha. Buntu sungguh dirasakan tika ini. Tidak tahu di mana harus dia mencari Tihani dan Tarif.
"Terpulanglah pada you. I minta maaf sebab I tak dapat tolong you," Puteri Uzma mengusap rambut Megat Ariff perlahan. Seumur hidupnya, ini lah pertama kali dia melihat Megat Ariff begini. Baru Puteri Uzma tahu bahawa Megat Ariff seorang lelaki yang setia. Sehingga berkali-kali ditolak oleh Tihani pun, masih sahaja dia menunggu kemaafan wanita itu sehingga kini.
Tiba-tiba, hatinya diserbu rasa sedih. Sedih mengenangkan nasib sendiri. Dicerai suami kerana kekurangan kononnya. Padahal, semua itu hanya alasan Megat Wazir mahu berpisah dengannya.
Puteri Uzma menggelengkan laju cuba mengusir Megat Wazir daripada fikiran. Tidak mahu terus menerus memikirkan tentang lelaki itu. Dia yakin, dia boleh hidup tanpa lelaki. Cukuplah Megat Wazir meninggalkan luka di dalam hatinya.
TIHANI mengendong Tarif menuju ke kedai runcit berhampiran rumahnya. Saat dia melangkah masuk ke dalam kedai itu, beberapa pelanggan di kedai memandang sinis sambil berbisik sesama sendiri. Tihani sedar akan semuanya, tetapi, dia buat tidak endah. Dia terus mengambil barang tanpa mempedulikan pandangan pelanggan-pelanggan di situ.
"Eh, Hani. Bila kau balik ke sini?" soal Ramlah, pemilik kedai runcit tersebut. Tihani hanya tersenyum tawar. Barang-barang yang diambil diletakkan ke atas kaunter pembayaran. "Anak kau ke ni?" soal Ramlah lagi. Masih tidak berputus asa menyoal walaupun dia perasan riak wajah Tihani seakan tidak selesa untuk berbual. Tihani hanya mengangguk.
"Berapa?" soal Tihani malas mahu bersoal jawab lebih lama di situ. Bukan dia tidak tahu Ramlah mahu mengorek rahsianya dan dicanang ke seluruh kampung.
"RM45 semuanya," balas Ramlah. Dia mencebik bibir apabila melihat Tihani melayannya dingin. Tihani mengeluarkan note RM50 lalu diserahkan kepada Ramlah. Kemudian, Ramlah memulangkan baki wang. Setelah itu, Tihani terus berlalu pergi daripada situ.
Sesampainya di rumah, Tihani menuju ke dapur. Tarif diletak ke lantai. Bermainlah si kecil sekitar kawasan dapur. Segala barang-barang yang dibeli, diletakkan ke atas meja makan. Bahan-bahan basah disumbat ke dalam peti ais.
Tiba-tiba, Tahir masuk daripada pintu dapur. Dia melihat ke arah Tarif yang berlegar-legar disekitar kawasan dapur itu. Baru dia perasan akan kehadiran Tarif di dalam rumahnya.
"Siapa budak cacat ni?? Anak siapa kau bawa balik ni???" soal Tahir dengan kasar. Dia mengerut dahinya dengan mata masih tertancap pada tubuh si kecil. Tihani tarik nafas dalam sebelum menjawab pertanyaan Tahir.
"Tarif. Anak Hani," jawab Tihani ringkas. Dia terus melakukan kerja-kerja memasaknya tanpa mempedulikan pandangan Tahir. Namun, sekali sekala Tihani memandang sekilas ke arah Tarif. Tarif kelihatan takut apabila melihat wajah bengis Tahir.
"Ddd...dddd...," sebut Tarif. Tarif sudah memaut kaki Tihani. Lantas, Tihani mengendong Tarif dan memeluk si kecil dengan erat. Perlahan Tihani menepuk dan menggosok belakang badan Tarif agar si kecil tenang.
"Anak kau?? Kau kahwin dengan lelaki kaya, dapat anak cacat? Lepas tu, dia ceraikan kau???" suara Tahir mula naik satu nada. Tihani diam. Malas mahu menjawab atau menjelaskan perkara itu. "Itulah kau!! Aku dah cakap, Zaid tu mahukan kau semula! Tapi, kau degil!! Nak juga terkejar-kejarkan lelaki kurang ajar tu!!!" tambah Tahir makin galak membebel. Tihani menahan air matanya daripada mengalir. Tarif di peluk seerat mungkin.
"Sekarang kau balik sini, nak menyusahkan aku tanggung kau dengan anak kau yang cacat ni??" jerkah Tahir menjadi-jadi. Dia menghentak meja makan dan mencampak gelas yang ada di atas meja. Wajah bengis Tahir terserlah apabila Tihani menoleh ke arah lelaki itu. Air mata Tihani sudah tidak dapat tertahan lagi. "Abah boleh hina Hani. Tapi, jangan hina anak Hani!" balas Tihani dengan esakan yang kian menggila. Sakit hatinya apabila Tahir terus terusan menghina Tarif.
"Kau pembawa malang tau tak? Daripada kecil sampai ke besar tak pernah nak senangkan aku!! Pembawa sial!! Sebab tu semua lelaki ceraikan kau!!" jerkah Tahir lagi. Wajahnya semakin menyinga. Tihani memandang tajam ke arah Tahir. Air mata dikesat kasar dengan telapak tangan.
"Aku nak duit!! Kau duduk sini bukan percuma!!! Bagi aku duit!!!" Tahir mendekati Tihani.
Tarif dipeluk dengan lebih erat apabila si kecil mula menangis. Tihani tahu, Traif takut mendengar suara Tahir yang menengking-nengking itu. "Hani takda duit!" tegas Tihani. Dia takut, tetapi dia cuba untuk tidak memberi satu sen pun kepada Tahir. Dia tidak mahu Tahir sewenang-wenangnyanya meminta duit daripadanya.
"Kau jangan nak tipu aku!! Kau beli barang ni, duit dari mana??" soal Tahir lagi. Tubuh Tihani diraba untuk mencari dompet milik wanita itu.
"Hani takda duit!!" jerit Tihani sambil menepis-nepis tangan Tahir daripada menyentuhnya. Tangisan Tarif semakin kuat. Akhirnya, Tahir dapat merampas beg dompet Tihani. Dia menyelongkar dompet tersebut dan mengambil kesemua duit yang ada di dalam dompet itu.
"Ingat!! Kau duduk sini bukan percuma!!" dompet dicampak tepat ke muka Tihani. Kemudian, Tahir terus keluar semula daripada rumah. Tihani terjelepok ke lantai. Tarif dipeluk seerat mungkin. Dia menangis teresak-esak. Tidak tahu apa yang harus dilakukan tika ini. Perlahan dia mengutip semula segala isi dompet.
"Shuuu... Ibu ada sini. Tarif jangan takut. Ibu akan lindung Tarif," pujuk Tihani sambil mencium pipi si kecil. Tangisan Tarif perlahan-lahan reda. Tihani juga mula bertenang. Dia bangun membancuh susu Tarif dan dibawa Tarif ke bilik. Dia menemani Tarif sehingga si kecil terlelap.
Tihani sudah bersedia setiap risiko jika dia kembali ke sini. Dia sudah dapat mengagak Tahir akan sentiasa meminta duit daripadanya. Mujur Tihani tidak mengeluarkan semua duit yang ada. Namun, dia tetap harus berhati-hati. Dia bimbang Tahir akan menggunakan Tarif untuk mengugutnya.
Share this novel