TENGAH HARI itu, Megat Ariff memandu ke rumah Jalal. Sebaik sahaja sampai di depan pintu pagar, dia memberi salam. Jalal yang mengetahui akan kehadiran Megat Ariff, cepat-cepat membuka pintu rumahnya. Dia melangkah panjang menuju ke pintu pagar. Lalu, pagar dibuka. Wajah Jalal kelihatan sedikit sugul. Mereka bersalaman dan berpelukan.
"Masuk Ariff," pelawa Jalal sambil berjalan semula ke arah pintu rumah. Megat Ariff membontoti Jalal. Cermin mata hitamnya dibuka dan disangkut ke lubang leher.
Sebaik sahaja mereka masuk ke rumah, suasana senyap sunyi. Yang ada hanya Zainab. Mata Megat Ariff meliar. Dia mencari kelibat Tarif dan Tihani. "Duduk Ariff," pelawa Jalal sekali lagi. Wajah Jalal kelihatan gusar dan resah.
Megat Ariff melabuhkan punggungnya ke sofa ruang tamu. Zainab muncul dari dapur sambil membawa dulang air. "Hani dah keluar dari sini, Ariff," terus Zainab memberitahu hal yang sebenar.
Megat Ariff terkedu. Fikirannya buntu seketika. "Ke mana?" soalnya ingin tahu. Jalal tarik nafas dalam. Dia tahu Megat Ariff pasti kecewa dengan tindakan Tihani. Namun, tiada siapa dapat menghalang nekad wanita itu.
"Pakcik pun tidak tahu, Ariff. Setengah jam sebelum Ariff sampai, dia sudah bersiap dan bawa Tarif pergi bersama," jelas Jalal dengan wajah yang kesal. Dia serba salah kerana tidak berjaya menghalang Tihani daripada pergi. Megat Ariff melepaskan keluhan berat. Wajahnya diraup perlahan.
"Makcik puas pujuk dia. Dia tetap tak mahu dengar," celah Zainab pula. Megat Ariff mula bimbang. Dia harus mencari Tihani, tetapi, dia tidak tahu ke mana wanita itu pergi.
"Tak mengapa makcik. Salah saya. Sebab masih datang ke sini," Megat Ariff menyalahkan dirinya sendiri kerana Tihani pernah mengugutnya akan pergi dari situ jika Megat Ariff terus terusan menganggu mereka.
"Pakcik tak tahu kenapa Hani berubah sampai begitu sekali," luah Jalal dengan nada sayu. Dia kasihankan Megat Ariff yang merayu untuk bertemu Tarif. Namun, keras sungguh hati Tihani untuk membenarkan Megat Ariff bertemu dengan Tarif.
"Hani masih tak boleh maafkan Ariff," balas Megat Ariff dengan lemah. Otaknya ligat berfikir ke mana wanita itu pergi membawa anak mereka.
"Maafkan kami Ariff. Kami tak dapat pujuk Hani," kata Jalal lagi. Dia juga sudah buntu untuk memujuk Tihani. Selepas penceraian antara Tihani dan Megat Ariff, wanita itu banyak memencilkan dirinya di dalam bilik. Tubuh Tihani juga kelihatan susut kerana selera makannya hilang. Tarif selalu dibawa berkurung di dalam bilik bersamanya. Hanya sekali sekala Zainab akan mengambil Tarif untuk diberi makan. Itu pun Tihani akan keluar daripada bilik dan mengambil Tarif semula. Tihani seolah sudah tidak percaya dengan keluarga Tina.
"Tak mengapa pak cik. Maafkan saya sebab susahkan pak cik sekeluarga," tutur Megat Ariff dengan lemah. Dia bimbang akan keselamatan Tihani dan Tarif. Ke mana agaknya mereka pergi? Gerutunya di dalam hati.
Setelah setengah jam di situ, Megat Ariff meminta diri untuk pulang. Dia bersalaman dan berpelukan dengan Jalal. Kemudian, dia kembali semula ke keretanya. Punggung dihenyak ke tempat duduk pemandu. Lama Megat Ariff duduk di dalam kereta sebelum dia beredar dari situ.
Sepanjang perjalanan pulang, matanya meliar mencari susuk tubuh Tihani. Puas dia berlegar-legar di sekitar kawasan berdekatan. Namun, susuk tubuh wanita itu tidak juga kelihatan. Akhirnya, Megat Ariff pulang dengan rasa hampa.
TIHANI membimbit beg pakaiannya masuk ke dalam rumah kampung itu. Dia mencari kelibat Tahir. Tiada. Dia menggelengkan apabila melihat keadaan di dalam rumah itu terlalu bersepah. Tarif yang sudah terlena dipangkuan di letak ke kerusi panjang ruang tamu.
Lantas, dia masuk ke dalam biliknya. Dia mengemas dan membersihkan habuk yang memenuhi ruang bilik itu sebelum dia dan Tarif tinggal di situ. Bilik yang sudah lama dia tinggalkan kelihatan tidak terurus langsung. Cadar ditukar. Lantai disapu. Tingkap dibuka bagi mengeluarkan udara yang terperangkap di dalamnya.
Setelah hampir sejam dia mengemas, Tarif yang masih lena diangkat masuk ke bilik mereka. Kemudian, dia pergi ke ruang tamu untuk mengemas. Tin-tin arak di masukkan ke dalam plastik sampah. Dia menyapu dan mengemop lantai yang berlapik tikar getah itu. Setelah selesai semuanya, kerja mengemas beralih ke dapur.
Pintu peti ais dibuka. Kosong. Tiada apa untuk di masak. Tihani melihat sekeliling dapur. Berhabuk. Seolah sudah lama tidak digunakan. Dia kembali ke biliknya. Punggung dilabuhkan ke lantai papan di hujung katil. Kedua lutut dipeluk erat. Air matanya mengalir tanpa sedar. Barang kemas pemberian Megat Ariff masih dipakai. Segala kenangan manis dia dan Megat Ariff terbayang di matanya. Tihani tersenyum sendiri. Air mata diseka dengan hujung jari.
Perutnya mula berbunyi kelaparan. Tiada apa yang sempat dibeli atau dimakan selepas dia turun dari bas tadi. Tihani mengeluh. Dia menoleh ke belakang melihat wajah Tarif yang masih lena itu. Mujur Tarif sudah disuap makan oleh Zainab sebelum Tihani keluar daripada rumah itu tengah hari tadi.
PRANG!!!
Tihani tersentak. Cepat-cepat dia bangun dari duduknya dan keluar menuju ke dapur.
Kelihatan Tahir sedang berdiri terhoyong hayang di rak pinggan. Rak yang terletak pinggan-pinggan kaca dan plastik itu, habis bertaburan pecah ke lantai selepas dipaut oleh Tahir yang cuba menstabilkan dirinya akibat mabuk.Tihani hanya memandang ke arah Tahir.
Masih tidak berubah!
Tahir yang sudah terbaring di lantai cuba bangun semula. Mujur kaca-kaca itu tidak terkena pada kakinya. Tihani mengambil penyapu dan penyodok sampah lantas dia membersihkan sisa-sisa kaca yang bertaburan di lantai.
"Kenapa kau balik sini???" soal Tahir sambil menyandar ke dinding dapur. Dia sudah tidak mampu untuk bangun dari situ. Kaki kanan dilipat hingga ke dada. Tangan kanan pula menongkat di lutut kaki kanan. Wajah Tihani di pandang sekilas. Tahir meraup wajahnya kasar.
"Aku tanya ni!!! Dah bisu?? Mana suami kau??" jerkah Tahir apabila melihat Tihani masih membisu. Tihani tersentak. Terkejut dijerkah. "Hani… Hani dah bercerai. Hani tiada tempat nak pergi. Hani mahu tumpang di sini sementara waktu," balas Tihani perlahan. Tahir ketawa meleret. Dia menggosok rambutnya kasar.
"Kau nak menyusahkan aku pula?? Siapa nak tanggung kau??" balas Tahir dengan suara yang masih meninggi. Tihani tidak menjawab. Dia terus membersihkan sisa kaca tersebut. Dibiarkan sahaja Tahir merepek seorang diri di situ. Setelah selesai semuanya, dia masuk semula ke dalam bilik.
Tarif sudah pun bangun dari lenanya. Tihani terus mendakap tubuh si kecil. Dia tidak tahu, apakah betul tindakannya melarikan diri ke sini? Namun, dia tiada pilihan lain. Hanya di rumah ini sahaja tempat dia berteduh buat masa sekarang. Dia harus memikirkan sesuatu agar dia dapat menanggung dirinya dan Tarif.
"Tarif, ibu tiada pilihan. Ibu terpaksa bawa Tarif ke sini. Daddy dah ada isteri lain. Ibu tak mahu daddy ambil Tarif dari ibu," tangis Tihani. Esakan mula berlagu di bibir Tihani. Entah mengapa dia merasa segalanya tidak menyebelahi dirinya.
Tihani memegang perutnya. Diusap perlahan. Adakah segalanya memang perancangan Megat Ariff? Mungkin lelaki itu masih tidak puas untuk menghancurkan hidupnya. Jika tidak, pasti Megat Ariff tidak berkahwin dengan wanita lain. Dan dalam masa yang sama, lelaki itu tetap mahu mengikatnya. Mungkin Megat Ariff masih belum puas menyeksa hidupnya.
Itulah yang ada difikiran Tihani sepanjang dia membuat keputusan untuk berpisah dengan Megat Ariff. Namun, dia sendiri tidak mahu memberi lelaki itu peluang untuk menjelaskan segala-galanya. Dia mula keliru dengan keputusan yang diambil. Sungguh, dia sukar untuk membuang perasaan cinta dan sayangnya pada Megat Ariff. Perasaan itu masih dalam. Tihani melepaskan keluhan kecil.
Tarif mula berjalan sekitar bilik itu. Suasana baru bagi diri si kecil. Habis segala tempat di terokanya. "Tarif teman ibu di sini ye," tutur Tihani sambil memandang ke arah Tarif yang masih sibuk meneroka ke sana sini. Tihani meraup wajahnya perlahan. Dia bangun daripada duduknya dan menuju ke arah tingkap bilik.
Dia merenung ke luar jendela itu. Teringat kenangan sewaktu dia masih tinggal di situ bersama Tahir. Dari jendela itu lah dia dan Zaid selalu berbual. Zaid yang dahulu dan sekarang sangat berbeza. Dahulu, Zaid seorang lelaki yang sangat menghormati Tihani. Tidak pernah Zaid berkasar dengannya. Walaupun Tihani nampak Zaid sememangnya panas baran. Fikirnya mungkin lelaki itu akan berubah selepas mereka berkahwin, rupa-rupanya lebih teruk dari itu sikap Zaid.
Tihani mengeluh lagi. Kali kedua gagal dalam perkahwinan membuatkan Tihani merasakan diri sungguh malang. Hanya Tarif penguat semangatnya tika ini. Tetapi, sampai bila dia mampu untuk menanggung Tarif? Kalau tiba-tiba dia mati, siapa yang sanggup menjaga anak istimewa seperti Tarif??
Fikiran Tihani ligat memikirkan perancangan untuk memulakan hidupnya. Dia harus bangkit mencari rezeki untuk menyara dirinya dan Tarif. Dia tidak boleh terus meratapi hidupnya. "Esok, bawa Tarif ke pasar cari bahan untuk masak," kata Tihani sendiri. Mujur Tihani punyai simpanan. Itu pun duit daripada pemberian Megat Ariff yang tidak pernah berusik sepanjang lelaki itu menjaganya ketika dia hilang ingatan dahulu.Tetapi, dia tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan duit itu, dia juga harus mencari jalan untuk meneruskan hidupnya.
Tihani menoleh ke arah Tarif, kelibat si kecil sudah tiada di dalam bilik. Pintu bilik kelihatan sedikit terbuka. Cepat-cepat Tihani keluar dari ruangan itu untuk mencari Tarif.
"Tarif!!Tarif!!" kaki Tihani melangkah laju ke setiap ruang rumah. Jantungnya berdebar-debar. Sehinggalah susuk tubuh si kecil kelihatan di ruang tamu. Tarif duduk di antara kerusi di ruang tamu itu. Tihani menghela nafas lega. Pantas dia menghampiri Tarif.
"Anak ibu buat apa dekat sini? Ya Allah.. Risau ibu tahu tak!!" bebel Tihani sebaik sahaja dia mengendong Tarif. Peha Tarif dipukul lembut. Tarif hanya menyeringai dengan lelehan air liur yang keluar daripada mulutnya.
"Ddd...d...dddd....," meleret suara Tarif memanggil Megat Ariff. Hati Tihani bagaikan disiat apabila panggilan itu masih meniti dibibir si kecil. Dia tahu Tarif merindui Megat Ariff. Tetapi, hatinya masih menafikan hak lelaki itu untuk bertemu Tarif.
"No, daddy. Sekarang Tarif dengan ibu. Daddy dah ada mommy lain," balas Tihani geram. Matanya mula berkaca. Hatinya kembali sayu bila mengenangkan Megat Ariff bersama wanita lain. Cemburu? Entahlah perasaan apa yang di rasai saat ini dia sendiri tidak pasti.
Share this novel