Kini adikku sudah tiga tahun. Tiap-tiap kali menyambut harijadi, dia akan dibelikan kek tempahan khas dari Secret Recipe menjadikan aku kakak yang berduka kerana harijadiku tidak disambut sebagaimana harijadi Alia. Untuk tiga tahun ini, Alia menjadi musuh numero uno.
Tepatlah sangkaanku. Walid, Mama, Bibik Tini, Along, Angah dan Bang Chik amat ketara menyayangi Alia, lebih dari aku. Alia yang comel bagaikan penyeri hidup mereka. Putih mataku melihat barang-barang yang dibeli Along untuk Alia, ketika pulang dari Wales. Angah pun sama. Seolah-olah di Ukraine, tiada cenderahati yang sesuai untuk remaja seperti aku. Baju-baju Alia yang dibeli Bang Chik dari Kota Singa pun membuatkan airmata aku hampir menitis.
Tiada satu apapun untuk aku. Aku tiada pilihan kecuali memusuhi Alia secara diam-diam. Mujurlah Syed Zain yang bermurah hati membelikan aku hadiah harijadi ke 16. Dihantar ke alamat sekolah menggunakan nama samaran wanita.Terkejut pula aku mendapat tahu keluarganya bercuti di Zurich. Di situlah dia membeli. Zurich? Rupa-rupanya keluarga mereka bukan orang sembarangan. Bapanya CEO Island and Continent yang berprestij itu. Syarikat pembinaan multi nasional. Ibunya pengetua Rafflesia International School, sekolah swasta yang terletak di Putra Jaya.
Menambah duka, bukan sekadar di rumah. Di sekolah juga, Alia menjadi permata hati kawan-kawan. Setiap kali dia dibawa Walid atau Mama ke sekolahku, letihlah dia didukung ke hulu ke hilir, tidak kira oleh kawan perempuan mahupun lelaki. Semuanya menyayangi Alia. Tambahan pula, Alia itu petah budaknya. Dia membesar di kalangan orang-orang dewasa dan remaja menjadikan dia terikut-ikut idea dan cara bertutur kami. Percakapannya seringkali mengundang ketawa rakan-rakan kerana ideanya agak ‘advance’ berbanding umurnya.
“Aku rasa, masa engkau kecil dulu, tentu muka engkaupun comel macam ni,” kata-kata Radzi, ketua tingkatan sedikit sebanyak menjadi penawar menyirami hati luka. Tentulah, bisik hatiku. Mama itu, neneknya orang Belanda. Ciri-ciri ‘asing’ masih ketara pada wajah Mama, Alia dan aku. Radzi, aku tahu engkau menyenangi aku. Engkau menaruh perasaan. Malangnya, aku terpaksa berpura-pura tidak tahu dan menolak sekiranya engkau mula berterus-terang. Hati aku sudah dimiliki Syed Zain. Biarpun engkau menyebut tentang rupa, hatiku takkan berpaling. Beauty lies in the eyes of the beholder.
Itulah ayat yang aku pegang. Cantik perkara subjektif. Kalaulah mata Radzi melihat aku sebagai cantik, pun aku takkan terpujuk. Apa yang utama, aku mahu Syed Zain seorang yang sentiasa nampak aku sebagai orang yang cantik. Di sekolah, aku dinobatkan sebagai yang paling cantik. Atas asas itu, aku bukan dipilih tetapi dipaksa menyertai festival drama saban tahun, bermula dari Tingkatan Satu. Sepatutnya yang terlibat drama ialah pelajar-pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima. Untuk kali pertama itu, aku menjadi Puteri Saadong, isteri yang dikhianati suami.
“Memang macam Puteri Saadong betul…” Suara itu mengejutkan aku. Syed Zain menunggu aku di belakang pentas, sebaik selesai persembahan kami.
“Saya tengah berpeluh-peluh ni. Terlampau banyak lampu atas pentas. Panas jadinya,” aku berundur sedikit. Malu dan tidak biasa berada dalam situasi ini.
“Aina Puteri Saadong yang paling cantik pernah saya tengok,” ayatnya sangat jujur. Matanya menatap aku. Sehingga kini, apabila teringat, jantungku berdegup kencang.
“Walid tak mahu marah Aina, walaupun sepatutnya Walid marah. Kejam sangat perbuatan Aina pada Alia. Dia tak sengaja. Diakan adik Aina? Satu-satunya adik yang Aina ada. Tak boleh maafkan saja? Tak cukup dengan marah dan tengking, Aina pukul dia.”
Aku diam, sepertimana tadi. Tidak tahu apa yang patut aku jawab. Kering idea untuk mempertahankan diri. Lebih baik membisu seribu bahasa.
“Aina ni dh dekat nak ambil SPM. Tumpukan sepenuh perhatian pada SPM. Minggu depan Walid kena pergi bentang kertas kerja di Amsterdam. Walid janji, Walid akan cari music box yang hampir sama macam Aina punya. Okay?”
Barulah aku mengangguk. Lega Walid tidak lagi marah dan lega bakal menerima music box baru. Sudah lama benar tidak dibelikan hadiah-hadiah seperti itu atas alasan, aku sudah besar. Dan Alia-lah yang layak mendapat segala-gala. Kasih sayang, hadiah dari yang murah kepada yang mahal dan semua yang pernah aku miliki terpaksa diserahkan kepadanya. Contohnya, koleksi Barbie Doll aku yang berbelas-belas itu, kini miliknya. Aku melihat penuh sedih dari jauh.
“Tak ada siapa peduli pada Aina lagi. Dalam rumah ni, Aina macam orang yang tak wujud. Tak siapa nak ambil kisah sejak Alia lahir.”
Kali ini airmata aku menitis deras. Aku gagal menahan kesedihan. Ini kali pertama aku meluahkan rasa hati yang terbuku sekian lama. Walid bagai tersentak.
“Dulu, semua orang ingat harijadi Aina. Sejak ada Alia, tak pernah dah sesiapa ingat. Tak usah kata nak dapat hadiah, kek pun tak dapat. Walid rasa, Aina tak sedih ke tengok harijadi Alia disambut? Dapat hadiah, dapat kek dan boleh buat majlis. Aina tak minta semua tu tapi kalau masih ada orang yang ingat, alangkah baiknya. Dan bila Along, Angah dan Achik balik dari luar negara, dah tak bagi satu apapun untuk Aina. Semuanya untuk Alia. Takkan satu apapun tak dapat? Aina jadi macam tersisih dan tak diperlukan sesiapa. Pada siapa lagi Aina nak luahkan rasa tak puas hati? Tak ada siapa faham perasaan Aina ni.”
Malam ini, airmata aku menitis bak empangan pecah. Pertama kali meluahkan rasa duka yang bersarang di hati.
Share this novel