Bab 8

Drama Completed 20250

Malam ini, selepas Isya’, kami akan berduyun-duyun masuk ke dalam khemah. Berpakaian tradisi Arab, duduk bersimpuh di atas permaidani gebu dan menikmati makanan istimewa. Menunya ala Arab. Nasi Arab, roti naan, kambing bakar, kebab, baklava dan banyak lagi. Hati kami bagai digaru-garu, tidak sabar untuk menghadiri. Tambahan pula melihat khemah yurt sudah siap dipasang. Yurt besar, diapit dengan dua yurt kecil di kiri kanan. Muzik irama padang pasir kedengaran sehingga ke asrama. Malam ini pasti meriah. Kami akan turut bertukar-tukar hadiah dengan kawan-kawan. Aku mengeluarkan jubah dari loker.

“Wow! Cantiknya jubah..” Suara Syakirah, rakan sebilik membuatkan aku menyeringai. Memang cantik dan sangat eksklusif abaya yang dibelikan Pak Ngah untukku, ketika dia menunaikan umrah, awal tahun ini. Warna hitam pekat bersulam benang emas, ditatah kristal dan didatangkan pula dengan selendang elegan yang sepadan. Menurut Pak Ngah, dia menempah abaya itu khas untukku. Bukannya membeli yang sudah siap. Aku tidak pelik. Dalam keluarga sebelah Walid, hanya ada dua orang anak permpuan. Aku dan Alia. Walid anak sulung. Pak Ngah, anak-anaknya lelaki keempat-empat orang. Mak Uda punya dua anak lelaki dan Mak Su, punya sepasang anak kembar lelaki.

“You’re going to look dramatic tonight, my friend. Tuan putih melepak, pakai baju hitam. Hai, runtuhlah khemah malam ni..” Syakirah berseloroh.

“Menari gelek, boleh?” Mengusik lagi, membuatkan aku ketawa.

“Mengarutlah tu…” Masih gelihati. Syakirah ini, ada-ada saja. Takkan aku menari gelek di hadapan guru-guru dan rakan-rakan setingkatan? Mati hidup balik pun aku takkan melakukannya.

“Aku buat announcement nanti. Malam ni, semua orang kena sporting. Mana boleh mengelak?” Semakin menakutkan. Baru aku teringat, Syakirah itu AJK Persembahan untuk malam ini. Aku, AJK Sambutan. Janganlah hendaknya Syakirah ini membuat permintaan gila-gila dan tidak masuk akal itu.

“Sya pakai baju mana? Minta Aina nak tengok…” Aku kira itu idea yang baik untuk melencongkan perbualan yang menakutkan aku. Syakirah nampak terkejut. Aku faham. Tiba-tiba sahaja, aku tidak lagi menggunakan gantinama ‘aku’ dan ‘hang’ sepertimana yang lazim digunakan di negeri Kedah.
Nasihat Walid masih kemas dalam ingatan. Aku memang berazam untuk menjadi orang yang lebih berhemah. Aku mahu lebih berbudi bahasa. Aku mahu dikenali sebagai orang yang berbudi pekerti mulia. Tidak menggunakan ‘aku’ apabila bercakap, adalah titik awal. Semuanya akan menyusul diam-diam.

Syakirah membuka lokernya, mengeluarkan sehelai jubah ala kelawar berwarna putih krim yang cantik. Kainnya lembut dan nampak selesa dipakai. Ada bunga-bunga minima berwarna oren di bahagian hujung baju. Aku membelek.

“Problem is, aku tak ada tudung yang matching. Sebenarnya ada tapi aku dah tersilap hantar balik kampong. Aku nak kena tanya-tanya, siapa yang ada…” Barulah nampak muram. Tadi bukan main seronok lagi, mengenakan aku, menyuruh menari gelek. Mungkin dia bergurau tetapi menari, bukanlah sesuatu yg aku mampu buat.

Tiada tudung bersesuaian? Aku tiba-tiba teringat selendang berwarna oren yang mempunyai rambu-rambu di hujungnya. Aku tidak pernah memakai kerana tidak gemar rambu-rambu, sulam dan manik. Tudung yang aku pakai semuanya dari jenis ‘Bawal Eksklusif’ polos yang tidak bercorak kecuali mempunyai taburan Kristal Swarovski. Aku sukakan benda cantik tetapi tidak menonjol. Selendang oren ini, pemberian jiran sebelah, khas untukku. Warna oren selendang ini pasti bersesuaian dengan bunga-bunga oren di hujung jubah milik Syakirah.

“I got one. Nak pinjam? Sya nak ambil terus pun tak apa. Aina tak suka rambu-rambu.” Aku pantas mencari selendang yang masih berada dalam loker. Ia terselit di celah lipatan pakaian. Aku menarik keluar namun yang terkeluar bukan sekadar selendang oren tetapi sekeping gambar. Aku cuba mengambil namun gagal. Ia terjatuh di atas kaki Syakirah. Dia spontan mengambil dan membelek. Aku terasa mahu menjerit dan merampas kembali. Itu bukan gambar biasa. Itu gambar aku dan Syed Zain. Kali pertama bertemu di KUPSIS semasa festival drama. Dahi Syahirah berkerut. Memandangku dan memandang lagi gambar itu.

“Ini Syed Zain kan?” Alamak. Kantoi. Macamana pula dia boleh mengenali buah hatiku? Minta-mintalah ini hanya mimpi. Sekejap lagi aku akan terjaga dan berpeluh-peluh. Jantungku mula berdegup kencang. Syakirah mengenalinya? Tak mungkin. Syakirah tidak pernah terlibat walau sekalipun dengan aktiviti drama.

“Macamana Aina boleh kenal dengan Syed Zain?” Dia terus bertanyakan aku soalan cepu mas. Bukankah sepatutnya aku yang bertanyakan soalan itu kepadanya? Terbalik. Aku terfikir-fikir apa jawapan yang sesuai. Bohong sunat? Tapi, apa yang patut aku jawab? Aku bungkam. Angin kencang bertiup tiba-tiba, menerbangkan langsir tingkap sehingga hampir menampar muka kami, membuatkan aku dan Syakirah terus menutup tingkap yang menganga. Biasalah, angin kencang pada hujung tahun seperti ini. Kesempatan sejenak itu memberikan aku idea baik untuk berdalih. Aku perlu berdalih, selagimana aku belum tahu bagaimana Syakirah boleh mengenali Syed Zain aku.

“Tentulah kenal. Syed Zain ada bau-bau bacang dengan Walid.” Aku sehabis kudrat mencuba untuk berwajah selamba agar Syakirah tidak syak.

“Gambar tu diambil semasa festival drama di KUPSIS. Masa Tingkatan Satu. Syed Zain tanyakan nama Syed Omar al Mahsyoor. Katanya sebelah keluarga ayah dia, ada nama macam tu. Bila dia sebut beberapa nama, Aina tahu dan kenal. Gambar tu, kawan dia ambil. Aina tunjuk pada Walid. Tapi Walid tak cam.” Aku bercakap tanpa menatap matanya. Bimbang Syakirah tahu aku berbohong. Wajah Syakirah nampak lega. Kenapa? Hati aku yang tidak lega jadinya.

“Sya pulak, macamana boleh kenal?” Menyesal serta merta. Sepatutnya aku tidak gatal mulut bertanya. Jawapan Syakirah akan menentukan segala-gala.

“Baru kenal je. Yang cuti seminggu sebelum kita SPM, sepupu aku menikah dengan dia.”
“Dia?” Aku terkulat-kulat. Menikah? Dia? Syed Zain? Dengan sepupu Syakirah? Seminggu sebelum SPM? Dia masih tiada apa-apa perubahan. Mengucapkan selamat menempuh SPM, semoga tenang dan berjaya menjawab dengan baik. Tidak sepatahpun dia memaklumkan akan menjadi Raja Sehari.

“Yalah. Saudara bau bacang engkau tu. Aku pun pergi. Menikah di masjid tapi buat kenduri kecil-kecilan di Laguna Merbok. Smart sangat dia pakai baju melayu putih.” Syakirah terus berceloteh, sambil menyarungkan selendang ke kepalanya. Tidak sedar aku di sebelahnya seperti mahu pitam. Tangan menggigil dan mulutku terasa pahit. Entah-entah muka aku sudah pucat lesi gara-gara mendengar khabar buruk itu.

“Bukan ke Syed Zain ni tak habis belajar lagi? Takkan menikah dah?” Suaraku bergetar. Cuba menahan tangisan. Mujurlah Syakirah lebih tekun membelek cermin. Langsung tidak memerhatikan akupun.
“Dia belajar kat mana? Birminghamkan?” Pura-pura tidak tahu.

“Bukan. Kat Bristol. Dia pelajar tajaan Bank Negara. Dulu dia sama dengan sepupu aku, buat A-Level di Prime College. Tapi sepupu aku sambung di Salford University di Lancashire. Syokkan? Dia orang tak bertunang pun. Terus je menikah sebab Syed Zain kata, dia takut sepupu aku ni, Kak Zana disambar orang lain. Bila dia cakap pada Mama dia, tentang nak menikah dengan Kak Zana, Mama dia terus setuju. Memang jodoh dia orang. Mudah saja urusannya.” Panjang huraian Syakirah, sambil membetulkan selendang Pashmina pemberian aku.

“Cantik barangkali Kak Zana ni. Sebab itu dia terpikat.” Itu kesimpulan yang aku buat.
“Taklah. Biasa saja. Orang yang cantik, macam Anne Boleyn sebelah aku ni…” Menyentuh pipiku.
“Tapi Kak Zana tu, orangnya lemah lembut. Percakapan dia, pergerakan dia dan penyabar sangat. Rasanya, kerana itulah Syed Zain pun tergila-gila.” Syakirah tersenyum memandangku. Selendangnya sudah siap. Terletak ayu menutupi rambut. Sekadar belum dipasang kerongsang.

“I guess beauty lies in the eyes of the beholder…” Aku menyerah kalah. Benarlah kata Walid. Rupa paras tiada makna jika dibandingkan dengan budi bahasa. Aku tewas kepada insan bernama Kak Zana. Ataupun, entah-entah, selama ini, Kak Zana memang sentiasa di hati Syed Zain. Aku, tiada kedudukan dalam hatinya. Aku cuma tak lebih dari rakan FB. Aku bertepuk sebelah tangan. Aku ‘Sweet Princess’ yang tidak pernah lekat dalm hatinya, ibarat kelopak bunga ditiup angin dan sekali sekala warna terang itu menangkap matanya, membuatnya berpaling sejenak dari bunga di atas tapak tangannya.
“Ya, betul tu. Syed Zain tak mungkin terpikat pada rupa. Dia terpikat pada budi bahasa Kak Zana.” Syakirah bagai menabur garam di tempat luka yang masih berdarah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience