Bab 3

Drama Completed 20250

“Mama mengandung. Penghujung Januari tahun depan, baby ni due. I’m so happy..” Gembira? Menyambut ahli baru dalam keluarga? Tidak cukupkah dengan empat orang anak yang sedang meningkat dewasa dan menginjak usia remaja? Aku tahu Mama sering mengadu sunyi setelah aku memasuki sekolah berasrama penuh.

Apakah ini balasan yang harus aku terima kerana meninggalkan Mama dan Walid berdua di rumah? Sebelum ini aku sering diperli sebagai anak manja kerana aku anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Aku dituduh tidak mampu berdikari dan tidak boleh berjauhan dengan keluarga. Aku sendiri memilih untuk memasuki sekolah berasrama penuh untuk membuktikan kepada semua bahawa aku bukan seperti yang dituduh abang-abangku. Lalu, aku dipaksa menerima kehadiran seorang adik yang bakal merebut kasihsayang Mama dan Walid? Adilkah ini? Mengapa aku dihukum begini?

“Tapi, umur Mama dah 43 tahun. Tahun depan jadi 44 tahun. Mama tak rasa ke agak terlalu tua untuk nak mengandung dan dapat anak lagi sekali?” Kurang adab dan kasar ayat aku tetapi aku tidak mampu berfikir. Aku terasa bagaikan tercekik. Fikiranku bingung. Mama ketawa. Dia tidak marahpun. Dia sebaliknya mengusap rambutku yang panjang. Lagi lima atau enam inci, akan mencecah paras pinggang.

“Of course I am, Honey. Mama dah tua. Memangpun terasa tua, bila tengok Along, Angah, Bang Chik dan Aina yang dah semakin besar. But, looking on the sunny side of it, kalaulah pada umur setua ini, Allah masih nak bagi Mama peluang untuk jadi ibu lagi sekali, baby ni tentu special. Aina tak rasa macam yang Mama rasa? Bukan semua orang dapat peluang macam ni. Bagi Mama, hadiah ni ibarat satu anugerah.”

Itu perbualan empat tahun lalu. Sudah lama namun setiap kali ia melintasi minda, aku terasa bagai baru semalam menerima khabar tidak diduga itu. Setiap patah perkataan yang terlontar dari bibir delima Mama, masih terngiang-ngiang di telinga. Aku sentiasa berdoa Mama akan mendapat anak lelaki. Setiap kali lepas solat, aku berdoa. Aku mahu menjadi anak tunggal perempuan yang sentiasa berada di hati Walid, Mama, Along, Angah dan Bang Chik.

Namun Allah lebih berhak menentukan segala-gala. 17 Januari tahun berikutnya, Mama melahirkan bayi comel perempuan. Semua ahli keluargaku gembira tidak terkata. Along yang berada di Cardiff University terus ber’skype’ dengan Mama dan Walid yang masih di hospital. Angah yang masih menuntut di Ukraine pun menyebut mahu pulang dalam masa terdekat. Bang Chik yang belajar agak berdekatan iaitu University of Singapore memang akan pulang dalam sehari dua lagi, tanda tidak sabar mahu menatap wajah adik baru.

Rupanya comel benar. Adikku tidak seperti mana bayi baru lahir yang aku tonton di televisyen. Alia itu rupanya seperti bayi yang sudah berusia seminggu. Matanya nampak cerdik dan dia tiada kulit berkedut yang menjelikkan.

Dia memiliki ciri-ciri elok yang ada pada Mama dan Walid. Matanya cantik seperti mata Walid, hidung mancung keturunan Tok Arab namun kulitnya putih gebu dan melepak halus mulus seperti kulit Mama. Mulut comel mungil mengikut Mama. Aku menjadi tidak keruan. Tidak mampu berkongsi kegembiraan mereka. Tiada siapa mempedulikan aku. Saudara mara Mama yang berkumpul di hospital, langsung tidak mengendahkan aku. Entah-entah, jika saudara mara Walidpun datang jauh dari Johor Bharu, merekapun tidak menghiraukan aku.

Pada hari ketujuh, Walid menamakannya Alia. Itu kebiasaan Walid yang memegang teguh tradisi Arab keturunannya. Anak perempuan mesti mempunyai nama pendek. Ketiga-tiga abangku, berjela-jela nama mereka. Muhammad Qushairy Al Qudri, Muhammad Ammar Badiuzzaman dan Muhammad Fakhrul Razzi. Aku, sekadar Aina binti Syed Omar al Mahsyoor, menjadikan aku pelajar yang mempunyai nama yang paling pendek di sekolahku.

Sejak itu, Syed Zain menjadi tempat mengadu. Tempat bergantung harap. Sejak Tingkatan Satu lagi aku mengenalinya. Aku mewakili sekolah untuk festival drama yang diadakan di Sekolah Sains Kubang Pasu. Syed Zain datang dari sekolah berasrama penuh yang tersohor di negeri Perak. Dia tidak terlibat dengan pementasan drama pun. Sekadar datang untuk memberi sokongan moral kepada rakan-rakan yang mengambil bahagian. Dia pelajar Tingkatan Lima, Ketua Pengawas dan ketua pasukan volleyball sekolahnya. Dia tinggi, berkulit cerah, berbadan sasa dan mempunyai rupa maskulin, menjadikannya kumbang yang paling menonjol antara semua kumbang yang berada di KUPSIS pada festival drama yang berdurasi seminggu.

Bagaikan ada magnet yang mendekatkan kami. Kutub berlawanan yang saling tertarik ke arah satu sama lain. Akupun kurang pasti kenapa. Entah-entah kerana ada title ‘Syed’ di pangkal namanya. Dia meminta nombor talipon bimbit namun aku keberatan memberikan kerana talipon bimbitku dipantau Mama. Kami sebaliknya bertukar alamat e-mail. Sejak itu kami terus berhubungan melalui akaun FB rahsia yang tidak diketahui sesiapa. Aku menaruh perasaan kepadanya. Aku yakin diapun begitu.

Namun cinta itu hanya berputik dalam hati. Berada dalam lingkungan alam pengajian membuatkan kami sedar, belum masanya bermain api. Yang terbakar nanti bukan sekadar diri tetapi masa depan. Tidak pernah sekalipun ayat-ayat cinta terluah sesama kami. Apa yang sering disebut ialah dorongan untuk berjaya dalam pengajian dan petikan-petikan nasihat berbau motivasi. Itupun sudah cukup untuk menggembirakan aku. Hidup ini menjadi sangat bahagia dan bermakna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience