“Chinggg!!’’
‘’Alamak! Matilah!’’
Bunyi benda pecah spontan mengejutkan aku dari tidur. Aku yang tidur-tidur ayam sebentar sementara menunggu masuknya waktu Asar bingkas bangun. Kini aku terus duduk dari posisi berbaring tadi. Alia masih berdiri di atas meja bacaanku dengan matanya terkebil-kebil memandang aku. Ada gambaran bersalah di raut wajahnya. Dia beralih pandang, ke arah sesuatu yang berada di lantai.
“Apa dah jadi ni!” Hatiku bagai dilambung ombak Tsunami yang membadai Acheh. Yang pecah berderai di lantai kayu bilikku, ialah kotak muzik. Diperbuat dari porselin. Apabila dibuka penutupnya, irama klasik Rondo Veneziano berkumandang penuh syahdu dan ballerina comel akan menari berpusing-pusing di atas permukaan kaca yang kelihatan seperti air.
Kotak musik itu berbentuk hati dan mempunyai kompartmen tersembunyi untuk menyimpan cincin ataupun kerongsang. Namun, pada saat ini, bukan bekas porselin, bukan irama klasik atau ballerina yang membuatkan aku terkedu. Kotak muzik itu pemberian Syed Zain sempena harijadiku ke 16, diiringi nota ringkas ‘Happy birthday, my sweet princess’. Ia kini hancur berkecai sama seperti hatiku. Manalah aku mampu mengenang sesuatu yang sudah tiada? Alia memang tidak patut.
Petang itu aku menjadi brutal. Punggung Alia aku piat, cubit. Kepalanya aku pukul dua tiga kali dengan bekas pensil. Dia menangis teresak-esak dan lari ke sudut bilik. Dalam esak tangis yang belum reda, dia cuba memberitahu aku, dia tidak sengaja menjatuhkan kotak muzik itu. Aku tahu dia tidak sengaja. Tetapi kalaulah dari mula lagi dia tidak memandai-mandai memanjat sehingga ke atas meja studi aku, membelek barang-barang milik aku dengan tangan kecil gatalnya itu, semua ini tidak akan berlaku. Berbakul-bakul makian aku kepadanya. Ya, kalaulah makian yang terhambur keluar dari mulut aku boleh dikutip dengan bakul, pasti ada lebih dari sebakul. Aku hanya berhenti mengeluarkan kata-kata kurang enak setelah perasan mukanya kebiruan. Kenapa agaknya?
Bibik Tini cepat-cepat datang dan mendukungnya. Bibik Tini tentu terkocoh-kocoh. Dia malah tidak sempat menanggalkan telekungpun. Sambil mendukung mulutnya riuh memarahi aku dalam Bahasa Jawa pekat. Katanya aku sudah hilang akal kerana melepaskan geram pada Alia yang baru tiga tahun. Aku dilabelnya ‘biang kerok’. Itu aku faham maksudnya. Lebih kurang, seseorang yang suka menimbulkan masalah. Aku? Biang kerok? Habis? Alia itu apa pula? Aku takkan mencari masalah dengan sesiapa kalau bukan kerana orang lain yang memulakan terlebih dahulu.
Share this novel