“Aina nak mandi dulu. Nak solat Asar.” Alasan. Aku mahu menangis sepuas hati dalam kamar mandi.
Lama benar aku mandi sambil menangis. Dunia ini bagaikan berkeping dua. Hati aku bagaikan luruh dan dicarik-carik. Patutlah Syed Zain tidak pernah menyebut soal cinta. Rupa-rupanya cintanya berputik pada bunga lain. Kini bunga itu miliknya. Tentulah dia gembira dapat berbisik kepada bunga itu setiap hari. Aku spontan teringatkan Alia. Berapi-api aku memarahinya kerana memecahkan hadiah pemberian Syed Zain. Entah-entah semasa kejadian itu, Syed Zain dambaan jwaku itu sudahpun menjadi suami orang. Sia-sia sungguh aku menaruh harapan pada sesuatu yang tidak pasti dan akhirnya kecewa. Mujur Alia sudah merosakkan music box itu. Jika tidak, aku sendiri yang akan mengambil tukul besi besar, melumatkan music box itu sebagaimana lumatnya hatiku.
Dan malam itu, dalam majlis yang meriah dengan gelak ketawa, makanan enak, irama padang pasir dan costume ala Arab, hanya seorang insan yag berduka. Aku. Tadi lama juga aku termenung sesudah solat Asar. Akhirnya aku membuat kesimpulan, Syed Zain tidak bersalah. Dia tidak pernah menaruh sebarang perasaan pada akupun. Aku yang gila bayang. Mengharap kepada yang belum pasti. Nasib baiklah rahsia hubungan kami kekal terpelihara. Tiada siapa tahu. Mama tidak tahu. Walid tidak tahu.
Abang-abangku tidak tahu. Rakan-rakan juga, sama sekali tidak tahu. Jika tidak aku pasti lebih menderita. Malunya pasti tidak tertanggung. Pujaan hati memilih perempuan lain untuk dinikahi! Selepas ini, aku akan lebih berhati-hati. Kalau ada yang menaruh minat, mula-mula aku akan bertanyakan Mama. Dia tentu arif lelaki bagaimana yang jujur dan lelaki sebagaimana yang patut dijauhi. Dalam apa jua keadaan, aku tidak patut membelakangi ibubapa. Tambahan pula berhubungan secara curi-curi seperti itu. Nasib baik juga kami sekadar ‘bersua muka’ di FB.
“Aina, kenapa ni? Macam sedih saja?” Pemilik suara sudah duduk di sebelah aku, dalam yurt besar. Suasananya meriah. Aku menjeling ke arah Radzi. Seperti tidak percaya. Dia nampak segak, memakai jubah putih yang mempunyai jalur di bahagian hadapan. Ada seperti tali yang diikat di pinggang dan ada pedang Arab bersarung terselit di antara ikatan itu.
Di kepalanya ada kain putih dengan headgear Arab. Selalukah rupanya sesegak ini? Ataupun pada malam ini keelokannya menyerlah? Entah-entah, selama inipun dia ada rupa paras yang elok, tetapi mataku telah dibutakan oleh cintaku pada Syed Zain. Hanya satu wajah itu yang terbayang di minda. Aku tutup pintu hati kepada semua yang lain. Sedangkan Radzi ini, kesayangan semua. Guru-guru, rakan-rakan dan adik-adik junior.
“Sedih? Taklah. Aina cuma…” Tidak tahu ayat yang sesuai.
“Aina, look here. I wasn’t born yesterday. Hari ni, pertama kali Aina pakai celak mata tebal, bersesuaian tema kita malam ni. Arabian Night. But, something tells me, Aina pakai sebab tak nak orang perasan mata Aina bengkak kesan menangis panjang. Soalan saya, kenapa menangis? Hari ni kan hari gembira kita semua?” Selalukah suaranya dalam seperti itu? Selama ini aku tidak perasanpun.
“Entahlah. Tadi rasa sedih sangat. Menangis, tapi tak tahu sebab apa. Agaknya sebab nak berpisah dengan kawan-kawan kot?” Untung-untung dia percaya.
“Okay, saya terima jawapan Aina walaupun saya rasa tak mampu diterima akal. Aina ni hidup dalam zaman apa? Di zaman sekarang, berjauhan dan berpisah tak ada sedihnya. Segala-gala di hujung jari. Boleh skype, boleh hantar whatsapp, boleh follow melalui twitter.”
Aku terdiam. Tiada idea untuk berkata apa lagi. Aku cuma menjeling dan tanpa dapat menahan, tersenyum kepadanya. Ah…Ketua Tingkatan, engkau bijak berhujjah ya? Engkau sesuai duduk serumah dengan Walid. Ada sinar di matanya.
“Aina nak buat apa cuti ni? Nak cari kerja?”
“Entahlah. Kalau ada orang masuk meminang, Aina kahwin je..” Bergurau. Aku ketawa. Dia tidak. Tidak lucukah gurauanku?
“Okay. Petang esok Abang masuk meminang.” Kali ini kami sama-sama ketawa. Barulah lucu dan seri satu sama. Ada guru yang memerhatikan kami. Dia mengangkat kening dan aku mengangguk, tanda akupun perasan. Cikgu Fadhil memerhati penuh minat. Dan dia berbisik kepada Cikgu Wan Mutallib di sebelahnya.
“Jom. Kita masuk khemah lagi satu.” Aku patuh saranan. Mula berdiri dan mengekorinya keluar khemah besar. Di luar khemah yurt besar, aku hampir terjatuh akibat tersepak besi yang ditanam dalam tanah. Besi itu gunanya untuk mengikat tali khemah. Lengannya spontan aku pegang, dalam percubaan mengelak terjatuh. Tindakan aku, bukan disengajakan. Ia tindakan reflex. Selalunya aku berjalan dengn abang atau abang-abang. Apabila takut, cemas atau hampir terjatuh, aku menyambar lengan mereka. Kini, aku terbawa-bawa.
Share this novel