"Eh, apa itu?" Hani terhenti ketawa, cube mendekatkan pemetik api. Menghampiri cermin, dia melihat terdapat tulisan di dinding tandas. Perkataan yang sama ~ Ganas,Botak dan Kurus. Tetapi kali ini lebih besar. Ketika menghampiri, secara tiba-tiba... tulisan itu terbakar! Memerah berapi, maraknya menjulang ngeri. Ia disertai suara orang yang meraung kesakitan. Teramat sangat, bagaikan terbakar hidup-hidup!
"Ya Allah!"
Lolongan suara itulah yang membuatkan Hani terus terjaga daripada mimpi ngerinya.
Dibasahi peluh, debar dalam dada amat menggila. Mimpi itu begitu nyata, macam benar-benar berlaku pada dirinya. Paling diingati adalah tulisan Ganas, Botak dan Kurus pada cermin tandas. Ia begitu jelas dan terang!
"Itu nama panggilan tiga samseng sekolah. Syaarnaz Ganas, Johan Botak dan Beto Kurus. Apa kaitan ini semua?"
Hani tiba di sekolah ketika sesi pagi, misinya nekad mencari tiga samseng. Tempoh hari, Ramli ada memberitahu, Syaarnaz dan rakan-rakan jarang berada di dalam kelas. Mereka lebih gemar berada di tempat-tempat yang tersorok sekitar sekolah.
Mujur nasib menyebelahi Hani. Tidak perlu berpeluh-peluh mencari macam pencarian harta karun... tiba di belakang bangunan Blok A, terlihat geng pembuli itu sedang bersembunyi di situ. Mengetap gigi dan menggenggam tangan, Hani mendekati kawasan. Dia perlu memberanikan diri mendapat jawapan sebenar. Apakah kaitan lukisan tersebut dengan kes tandas terbakar? Apakah benar ada pelajar yang mati ketika itu? Paling penting, kenapa tiga orang samseng sekolah boleh terkait sama?
Itu senarai soalan yang berlegar-legar dalam kepala. Hani mesti merungkai segalanya. Jika tidak, mimpi ngeri yang sama asyik berulang mengacau tidur, sudah tiga malam berturut-turut!
"Assalamualaikum." Hani memulakan bicara dengan memberi salam. Perlahan sahaja, namun boleh didengar.
"Wargh!" Beto menjerit, membuatkan Syaarnaz dan Johan terkejut sekali.
"Woi, Kurus! Kau kenapa?" Johan yang terjaga daripada tidur-tidur ayam, mengherdik dengan mata terbuntang.
Share this novel