Bab 2: Trio Samseng

Horror & Thriller Series 5090

Hani berjalan pulang dengan longlai, teringatkan cerita Cikgu Azizah yang masih terngiang-ngiang pada telinga. Mangsa merupakan anak yatim piatu, seorang pengawas yang pandai di sekolah. Didapati mati terbakar seorang diri, siasatan mengatakan tiada bukti ada orang lain yang terlibat dalam tragedi ngeri. Maka akhirnya kes ditutup dan diklasifikasi sebagai bunuh diri. Pihak rumah anak yatim ada menceritakan, mangsa tertekan mahu mendapatkan keputusan yang terbaik bagi setiap mata pelajaran dalam SPM. Hanya pelajar tingkatan 5 dan para guru yang mengetahui rahsia besar itu. Pada mereka yang lain, kebakaran tandas dikatakan berlaku kerana litar pintas.

"Kenapa hanya saya yang boleh nampak? Kenapa saya? Bukan orang lain?" Hani berulangkali bertanya pada diri sendiri.

"Woi, berani kau mengelak ya? Mana duit upah perlindungan kami?"

"Ingat boleh dibiarkan begitu sahaja? Jangan haraplah!"

"Ya... sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke dalam longkang! Sekarang kau dapat kami tangkap!"

Hani memberhentikan langkahnya apabila terdengar orang berbalah di stor sukan. Mengintai di sebalik dinding, Hani ternampak tiga orang lelaki yang bertubuh besar. Mungkin pelajar tingkatan empat atau lima, sedang mengepung seorang pelajar yang berbadan kecil. Hani mengenali lelaki yang dikerumuni. Itu rakan sekelasnya, Ramli.

"Botak, Kurus... berikan budak ini tanda ingatan mesra. Biar dia tidak lupa pada kita. Tetapi hati-hati... jangan sampai orang tahu. Susah nanti."

Johan Botak dan Beto Kurus mengangguk serentak. Menerima arahan si ketua, terus ditumbuk dan ditendang pelajar tersebut berulang kali tanpa belas kasihan. Selepas puas, mereka bertiga meninggalkan pelajar itu terbaring di tepi longkang dengan gelak berdekah-dekah.

"Jahat betul." Hani menelan air liur geram. Ditoleh ke kiri dan ke kanan, apabila mendapati keadaan selamat, dia pantas menuju ke arah Ramli yang baru sahaja membetulkan pakaian. Mangsa buli itu dengan segala susah payah, cuba bangun. Lalu dicapai begnya sebelum berjalan terhincut-hincut.

Hani menarik beg Ramli, cuba menghentikan pergerakan si mangsa buli.

"Jangan! Jangan pukul saya. Tolonglah... minta maaf, saya janji tidak buat lagi!" Ramli merayu, siap melutut mohon dirinya tidak lagi dipukul bertalu-talu. Cepat-cepat juga ditutup muka dengan tangan, takut dipukul sekali lagi. Beberapa saat kemudian, apabila Ramli merasakan dirinya tidak dipukul dan ditendang... barulah mata dibuka. Dilihat rupa-rupanya Rohani yang berdiri di hadapannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience