Bab 3: Amaran Tandas

Horror & Thriller Series 5090

"Hani... bangun. Hani, bangun..."

Membuka mata, dia terdengar suara guru yang tegas memanggilnya. Hani mendongak dan menggeliat sebelum lemah mengucap permintaan maaf.

"Cikgu... maaflah. Saya tertidur lagi." Hani bersuara malu dengan mata terkedip-kedip.

Pelik!

Kali ini tiada sahutan ataupun gelak ketawa rakan-rakan. Selalu kalau dia tertidur, pasti jadi bahan ejekan dan umpatan. Automatik Hani membuka mata seluas-luasnya. Tersentak apabila dilihat riada sesiapa di dalam kelas kecuali dirinya seorang. Ya, Hani keseorangan di dalam kelas! Betul-betul pada waktu malam!

Melihat sekeliling, suasana kelas begitu sunyi dan gelap gelita. Hanya bermandikan cahaya bulan serta tiupan angin, terasa sejuk melalui celah-celah tingkap kelas. Hani segera bangkit dari kerusi, terus berjalan ke luar kelas. Ketakutan menguasai, Hani tahu dia mesti meninggalkan sekolah. Secepat mungkin, sepantas kilat!

Namun tiba-tiba sahaja dirinya terapung dan ditarik laju. Tubuhnya bergerak seperti berada dalam roller-coaster dan berhenti betul-betul di hadapan tandas tingkat tiga, Blok A. Hani dipaksa memasuki tandas, walaupun cuba mengelak... badannya seperti tidak bertindak balas. Ia bagaikan patung yang dikawal keseluruhan pergerakan oleh si 'puppet master'.

Memasuki tandas yang begitu gelap dan suram, Hani hanya mengharapkan sinaran cahaya rembulan bagi melihat keadaan sekelilingnya. Ditelan air liur berulang kali, ketakutan betul-betul menguasai. Dia sudah bermandi peluh walaupun angin malam bertiup deras di dalam tandas. Membuatkan bulu romanya menegak, menggigil kesejukan.

Tiba-tiba Hani tersepak sesuatu. Dibongkokkan diri, meraba-raba dalam gelap bagi mengutip barang di hujung jari kaki.

"Pemetik api?" Hani memerhati secara dekat objek yang dijumpai. Cuba dinyalakan pemetik api tersebut, pada kali ketiga percubaan... akhirnya ia berjaya dinyalakan, menerangi kegelapan malam.

"Argh!" Hani tiba-tiba terjerit nyaring sambil mengibas pemetik api dengan gaya seperti menghalau lalat yang mengacau makanan. Mata terpejam-pejam ketakutan. Tiga saat berlalu, setelah akhirnya tiada apa-apa yang mengganggu, dia memberanikan diri membuka mata secara perlahan-lahan. Hani menarik nafas lega dan tergelak kecil. Disangkakan ternampak hantu, rupa-rupanya itu hanyalah pantulan dirinya sendiri apabila berhadapan betul-betul dengan cermin tandas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience