DUNIA masa depan. Bagaimana keadaannya kehidupan 200 tahun dari sekarang? Bumi berada dalam keadaan begitu moden, serba canggih dan pelbagai peralatan berteknologi tinggi menguasai seluruh sistem kehidupan manusia. Namun begitu, di tengah-tengah peradaban yang digerakkan oleh ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi ini, Bumi menghadapi kesukaran kerana tidak dapat menampung bekalan mineral akibat dari rempuhan astroid yang mengenai muka Bumi.
Bila ini berlaku, manusia yang sudah mula menakluki kehidupan di angkasa lepas perlu meneroka permukaan planet asing di salah satu orbit sistem cakerawala yang berpusatkan sebutir bintang iaitu Matahari. Matahari dikelilingi sembilan planet iaitu Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptune dan Pluto selain jasad-jasad kecil seperti bulan, meteorid, asteroid dan komet. Sistem planet ini dinamakan Sistem Suria.
Keupayaan manusia menghantar kenderaan angkasa hingga berbilion kilometer merentasi ruang kosong adalah satu kemajuan dalam bidang teknologi tenaga dorongan jet. Dengan perkembangan teknologi canggih, penerokaan ke gugusan dunia baru di angkasa lepas sudah menjadi satu rutin dan planet ke empat dari Matahari iaitu Marikh yang terdapat banyak persamaan dengan Bumi dari segi fizikal dan geologi telah dihuni manusia.
Walaupun saiz planet itu lebih kecil berbanding Bumi, permukaan yang tandus dengan landskap serba merah, Marikh mempunyai kutub utara dan selatan yang bersalji dan diliputi lapisan ais, sama seperti Bumi. Persekitaran lapisan ais (daripada karbon dioksida) ini mengandungi air dalam bentuk cecair telah diubah suai dengan aplikasi teknologi tertentu (mencairkan lapisan ais di bahagian kutub Marikh) yang membolehkan planet ini dikoloni oleh manusia dan menampung kehidupan. Kerana apabila lapisan ais ini cair, permukaan Marikh akan diliputi dengan air dalam bentuk cecair yang mewujudkan semula sungai dan laut yang pernah wujud di Marikh pada suatu ketika dulu.
Salah satu pesawat angkasa lepas di alam cakerawala yang digunakan ialah kenderaan menunda komersil Bintang Terbit yang merupakan sejenis freighter Global Surveyer kelas E. Sebuah pesawat yang memerlukan belanja sebanyak AS$100 juta. Pesawat supersonik paling canggih pernah dicipta ini boleh terbang dengan kelajuan 20 kilometer seminit. Justeru penerbangannya menjadi mulus.
Bintang Terbit yang dilancarkan dari Stesen Angkasa bulan Marikh iaitu Deimos, dihantar ke koloni perlombongan di Titan, bulan planet Zuhal yang paling besar. Pesawat Bintang Terbit kini dalam perjalanannya pulang menuju ke Marikh. Kargonya ialah 20 juta bijeh mineral bahan proses penyaringan. Bintang Terbit dibahagikan kepada tiga aras. Aras tiga menempatkan ruang operasi utama iaitu anjungan kawalan, ruang pod superkomputer, ruang hypersleep, ruang mandi, ruang galley dan ruang penyelia keselamatan. Aras dua ialah ruang taklimat, ruang makmal sains, ruang perubatan, ruang penginapan dan ruang EEV (Emergency Escape Vehicle). Aras satu ialah ruang persenjataan, ruang pengangkutan ATV (All Terrane Vehicle), ruang enjin janakuasa nuklear dan ruang penghasilan bahan bakar pesawat.
Krew Bintang Terbit terdiri daripada 10 orang angkasawan wanita dari satu generasi baru manusia Marikh dan satu dari generasi terkini komputer DA (Data Analysis) - 1000. Komputer prototaip DA- 1000 mulai berfungsi di Cyberjaya Centre For Astronomy & Astrophysics pada 150 tahun dari sekarang. Super komputer ini adalah satu teknologi yang baru dan mengujakan dalam darjah kecerdasan mesin dan berkebolehan membiakkan kebanyakan aktiviti akal manusia dengan kehandalan pengkomputeran yang tidak terhitung besarnya.
Siri 1000 ini merupakan komputer paling muktamad pernah dicipta dengan menggunakan cip yang kebanyakannya direka bentuk oleh syarikat-syarikat Malaysia, sebuah kuasa baru dari Asia dalam dunia digital. Ia menyimpan maklumat yang banyak yang memudahkan semakan dan pencarian semula data. Data disimpan dengan kemas dan teratur. Tiada komputer DA - 1000 pernah membuat sebarang kesilapan atau memutar-balikkan informasi.
Komputer yang diberi nama MAMA itu adalah akal dan urat saraf pusat kawalan Bintang Terbit. Ia sebuah komputer yang boleh melihat, mendengar percakapan dan boleh bercakap. Tanggungjawab misinya ialah melakukan penyelenggaraan operasi pesawat itu. Tanggungjawabnya juga termasuk mengurus dan memantau krew Bintang Terbit yang masing-masing di dalam hibernasi.
Sekembalinya Bintang Terbit daripada misi, ia menerima isyarat kecemasan dari sebuah kapal angkasa misteri yang terhempas di salah satu bulan yang mengelilingi planet Musytari (turut dikenali sebagai Jupiter) iaitu Europa. Selepas melakukan penyiasatan, krew peninjau menyelamatkan seorang lelaki daripada ditimpa kesusahan. Tanpa disedari, lelaki itu sebenarnya makhluk asing dan mampu menyerupai segala bentuk hidup menerusi apa saja yang disentuh secara fizikal. Krew Bintang Terbit terpaksa bertarung dengan makhluk berkenaan untuk terus hidup sebagai manusia. Akibatnya tiada siapa lagi yang boleh dipercayai di atas kapal angkasa tersebut.
BARISAN KREW BINTANG TERBIT.
1 - Roni Hassan, 41 tahun, pengetua/juruterbang.
2 - Alia Sofia Roslin, 28 tahun, timbalan pengetua/juruterbang.
3 - Qieyla Azahar, 28 tahun, penyelaras komunikasi/juruterbang.
4 - Pepino Khoo, 29 tahun, juruterbang.
5 - Ezan Aziz, 30 tahun, jurutera sistem mekanikal.
6 - Sheila Jayamalar, 32 tahun, jurutera sistem mekanikal.
7 - Almaswa Che' Ross, 45 tahun, saintis astropaleontologi (kajian saintifik terhadap fosil di angkasa).
8 - K. Kurumaya, 43 tahun, saintis astrobiologi (penyelidikan saintifik kewujudan kehidupan di angkasa).
9 - Ying Ying, 31 tahun, doktor perubatan.
10 - Zalilah Haron, 35 tahun, penyelia keselamatan.
Share this novel