SOFIA mengangkat tangan. "Boleh saya mencela?"
Roni mengangguk.
Baru saja bibir Sofia bergerak mahu mengatakan sesuatu, Ezan sudah memotongnya, "Katakan kita melakukan semua itu. Ada imbalan untuknya?'
"Ya, melakukan perkara yang betul dan tindakan yang tidak mementingkan diri." Selamba saja jawapan Roni. "Kamu patut buat perkara yang sepatutnya secara sukarela. Kerana kamu seorang krew yang berhemah, Ezan."
Ezan menggelengkan kepala, tegas. "Saya tak berapa suka."
Sofia berganjak berdiri.
"Perkara ini tidak dapat dielakkan. Ada syarat yang dikenakan kepada kita dalam kontrak," jelasnya. "Saya nak cakap tentangnya. Kita tertakluk di bawah Peraturan B. Mana-mana transmisi S.O.S. hendaklah disiasat. Pasukan peninjau mesti dihantar secepat mungkin. Arahan mesti dipatuhi. Ertinya kita tidak punya pilihan lain. Semua harus dibuat seperti mana sepatutnya." Dia menoleh kepada Ezan. "Ini di luar kawalan kamu, Ezan. Kamu mesti mematuhi arahan."
"Betulkah begitu?" Mata Ezan menantang.
Yang lain terdiam mendengar penjelasan tersebut.
"Semuanya adalah benar." Sofia mencondongkan badan ke depan, menatap Roni. "Bukankah begitu, Puan?"
"Tentu sekali," Roni kelihatan merasa yakin. "Sofia bercakap benar. Terima kasih kerana menjelaskannya, Sofia."
Sofia mengangguk kepala dan duduk kembali.
Roni berkata lagi, "Ada satu lagi perkara yang perlu saya jelaskan lagi. Kita terpaksa dan ia perlu berlaku. Apa maknanya? Siapa yang terdorong untuk ingkar arahan boleh dihukum balik ke Marikh dengan tangan kosong. Kalau kamu ingkar, kamu rugi besar."
Hening sesaat. Lalu setiap orang nampak baru tersedar kembali begitu secara tiba-tiba Roni berpaling kepada Ezan dan bertanya, "Sekarang bagaimana? Tentu kamu setuju ada kebenaran dalam kata-kata saya ini."
Ezan berdiam diri, memikirkan apa yang didengarnya.
"Saya rasa saya dah faham dan jika Puan sudah melihatnya begitu, saya terima saja," Ezan mengalah. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menerima sahaja kehendak Pengetua Roni.
"Bagus! Nampaknya kita dah capai kata sepakat. Akhirnya kita sudah ambil ketetapan dalam soal ini!" kata Roni.
Nampak bayangan kepuasan dari wajahnya. Dia mencondongkan badan ke arah Almaswa. "Saya kurang arif dalam perkara-perkara sains. Nasib baik kita bawa pakar. Almaswa, kamu genius dalam sains astronomi," katanya. "Apa yang kamu tahu tentang planet Musytari?"
"Planet Musytari," jawab Almaswa. " Planet terbesar dalam tatasuria kita dan planet kelima dari matahari dan terletak antara Marikh dan Zuhal. Orbitnya mengelilingi matahari berbentuk bulatan yang hampir sempurna."
"Saya tahu. Beritahu saya yang tak tahu," celah Ezan sambil memerhati tepat ke muka Almaswa.
Almaswa menoleh. "Biar saya habis dulu." Dia agak tersentak mendengar celahan itu. "Boleh saya teruskan?"
Ezan mengangguk. "Ya, teruskan taklimat kamu."
"Planet ini adalah planet Jovian iaitu planet yang wujud dalam bentuk gas seperti Zuhal, Uranus dan Neptune. Tidak seperti planet Terrestrial iaitu planet permukaan pepejal seperti Bumi dan Marikh." Almaswa menegaskannya sungguh-sungguh. Kalimatnya terputus sebentar. Lalu dia meneruskan. "Jadi, apa maknanya itu? Hampir semuanya diselubungi oleh hidrogen dan helium. Atmosfera Musytari boleh mencetuskan kilat seperti Bumi. Kilat Musytari disebabkan oleh titisan air awan."
Almaswa berhenti.
"Musytari planet gas pertama dalam sistem suria," Kurumaya menyambung setelah melihat Almaswa mengingat-ingat. "Setahun di Musytari bersamaan 12 tahun di Bumi. Sehari di planet ini adalah lebih singkat berbanding Bumi iaitu cuma sembilan jam dan 48 minit berbanding 24 jam di Bumi."
"Seorang yang beratnya 100 kilogram akan mengalami penambahan berat sebanyak 25 peratus jika berada di kutub Musytari," tokok Almaswa. "Jika manusia di Bumi ingin diangkut ke planet Musytari, masa yang diperlukan bagi satu perjalanan mengikut kelajuan kini adalah dalam lingkungan dua tahun."
"Bagaimana dengan ciri-ciri morphologi, geologi dan keadaan fizikal bulan-bulan Musytari?" tanya Roni tiba-tiba.
Almaswa memerhati ke arahnya. "Planet Musytari mempunyai 79 bulan. Empat daripadanya begitu besar. Salah satunya Europa adalah kecil sedikit dari bulan Bumi. Sementara Lo, Ganymeda dan Callisto adalah lebih besar dari bulan Bumi. Malahan Ganymeda lebih besar daripada planet Utarid."
"Bagaimana dengan Europa?" tanya Sofia.
Sesaat Almaswa menatap Sofia.
"Planet Musytari yang mempunyai saiz lebih 300 kali ganda daripada Bumi, menghasilkan tarikan graviti yang kuat ke atas Europa," katanya. Kemudian dia berkata lagi, "Ini menyebabkan berlakunya tindak balas geothermal di pusat Europa. Tindak balas geothermal ini menghasilkan haba yang banyak sehingga mencairkan lapisan bawah permukaan ais di permukaan Europa yang mungkin menampung kehidupan kompleks seperti kehidupan marin yang terdapat di Bumi. Kewujudan laut di Europa berikutan kuasa graviti Musytari mungkin menyediakan keadaan sesuai bagi kehidupan. Sedikit sebanyak air laut ini keluar dari lapisan bawah dalam bentuk pancutan giza."
Zalillah melihat kepada Almaswa. "Kamu pasti? Agak pasti?"
"Agaknya macam itulah," kata Almaswa untuk menyenangkan hati Zalillah. "Itu bukan satu kepastian. Semuanya adalah satu fikiran anggapan saya. Saya hanya membuat tekaan terbaik. Itulah sains."
"Itu satu teori," Ezan seolah-olah menyindir Almaswa.
"Itu satu penerangan yang mungkin," Almaswa mempertahankan dirinya. "Ia berdasarkan bukti saintifik."
Ezan diam saja.
"Setakat ini, tidak ada bukti kewujudan kehidupan di Europa, bagaimanapun ia muncul sebagai satu lokasi berkemungkinan dalam sistem solar untuk habitan yang berpotensi. Europa mempunyai atmosfera yang beroksigen, bagaimanapun ianya terlampau sejuk. Kemungkinannya cerah radiasi di permukaan begitu ketara. Dari itu kita akan terima padahnya. Nampaknya kita perlu laku penyelamatan yang sukar."
"Ada satu lagi perkara yang perlu saya jelaskan. Permukaan Europa agak rata kerana ketiadaan gunung dan kawah impak," tambah Kurumaya.
Almaswa melihat kepada Zalillah, kepada Sofia, kemudian kembali kepada Roni.
"Apa rancangan Puan?" tanyanya kepada Roni.
Roni kelihatan memikir sesuatu. Sejurus kemudian dia berkata, "Ini rancangan saya." Dia melihat kepada Sofia. "Sofia, saya serahkan anjungan kawalan kepada kamu. Kamu seliakannya. Tetapkan arah ke Europa."
Sofia mengangguk. "Saya akan uruskan hal itu."
Roni terdiam selama beberapa saat. Lalu dia berpaling kepada Ezan dan Sheila. "Ezan dan Sheila balik ke stesen kamu. Uruskan stesen kamu. Pergilah buat apa yang patut." Roni berhenti sebentar, kemudian menambahkan. "Selebihnya ikut saya untuk pereksa peralatan pengangkutan kenderaan semua muka bumi ATV."
Roni melihat ke sekeliling.
"Ada soalan?" tanyanya.
"Saya ada soalan. Perlu senjata?" Zalillah bertanya.
"Saya tak ada sebab untuk katakan sebaliknya," sahut Roni. "Berwaspada tidak salah. Cuma langkah berjaga-jaga."
"Ya, saya sokong penggunaannya," ujar Almaswa menyetujui.
Roni menoleh kepada Zalillah dengan penuh minat. "Kamu pegang kunci lokar senjata?"
Zalillah mengangguk-angguk.
Sekali lagi Roni melihat ke sekeliling.
"Baiklah, taklimat ini tamat. Bersurai," katanya
Share this novel