DUNIA di tahun 2222 di mana manusia berada di puncak kehebatannya. Sebuah kapal angkasa yang sudah begitu lama terapung di ruang cakerawala sedang dalam perjalanan pulangmenghala ke planet Marikh. Sekitar ruang hypersleepnya sunyi sepi.
Tiba-tiba komputer-komputer dan lampu-lampu dalam kapal angkasa yang dinamakan Bintang Terbit itu menyala. Sekumpulan 10 angkasawan sedar semula setelah dibekukan jasad mereka dalam keadaan hibernasi. Dah tiba masa untuk bangun.
Yang tertinggi pangkatnya dalam kelompok itu adalah Pengetua Roni Hassan. Orangnya bekas komander marine yang sudah lebih sedekad menjadi angkasawan. Dia berusia kira-kira 41 tahun, tetapi sang waktu telah memperlakukannya dengan baik. Kulit mukanya masih kencang dan usia lanjut membuatnya kelihatan lebih berwibawa.
Alis Roni melengkung ke bawah, hidungnya mancung, tulang pipinya menonjol. Pada dagunya terdapat bekas luka terhiris.
Beberapa minit berlalu dan perlahan-lahan Roni yang terlentang itu membuka matanya. Wajahnya lesu bagaikan peninju tewas dengan pukulan KO. Dia merenung kosong ke hadapan. Terkebil-kebil matanya mengarah ke siling. Dia bangun dari pembaringan.
Udara dingin menusuk tulang dan jelas terasa mengepung seluruh ruang hypersleep. Pengetua itu menekup wajahnya di telapak tangannya.
Di sebelah kanannya, Qieyla Azahar mencelikkan mata lalu menegakkan tubuhnya. Kemudian menundukkan kepala bagaikan seorang yang mengalami kekusutan akal. Kedua belah tangannya ditemukan ke muka. Qieyla ialah penyelaras komunikasi dan perhubungan merangkap juruterbang.
Roni angkat kepala pada Qieyla. Ombak rambutnya yang hitam kelihatan tenang dan tak tergoyahkan. Muka Qieyla diperhatikannya dengan pandangan yang kosong.
Qieyla terasa dirinya diperhatikan orang lantas mengangkat mukanya. Mata Roni ditentangnya dengan tajam.
Roni memecah kebisuan, "Bagaimana keadaan kamu?"
Setelah merenung sejenak, Qieyla menjawab, "Boleh dikatakan baik. Puan apa kabar?"
"Saya lebih baik dari dulu."
Terjadi keheningan.
Qieyla menatap Roni dalam-dalam. Wajah Roni tidak berubah, cuma sinar matanya yang berubah.
Roni melirik Qieyla. "Tengok orangnya tapi jangan tenung."
Qieyla seperti baru bangun dari renungannya. Dia mengalihkan pandangannya.
"Maaf saya jika saya merenung Puan. Saya tak maksudkannya," katanya, mengoreksi diri sendiri agar tampak rendah diri. Kesal terbayang di wajahnya. "Tapi saya suka rupa Puan."
Muka Roni menunjukkan keheranan, sama sekali tidak mengerti. Dia berkata, "Bagaimana rupanya? Boleh kamu gambarkan?"
Qieyla melirik sebentar kepadanya. "Muka Puan dramatik semula jadi dan lelaki suka perempuan yang berparut.'
"Subjek yang sensitif. Cara menarik untuk memulakan perbualan," ujar Roni.
Qieyla dapat merasa udara sejuk menerjah tubuhnya yang berbaju tank-top. Cepat-cepat dia menutup tubuhnya yang kecil dengan kedua tangan.
Roni mengawasinya. "Sejuk, bukan?"
Qieyla mengangguk. "Boleh dikatakan begitu."
Diam seketika. Di seluruh ruangan itu kesunyian yang sepi mencengkam.
"Saya dah banyak dengar tentang Puan," tiba-tiba kata Qieyla. "Puan cukup terkenal. Puan adalah pakar dalam bidang Puan. Dedikasi Puan kepada kerja memberi inspirasi kepada saya."
"Menjadi Pengetua bukan hanya bergantung kepada kebolehan. Itu perlukan skil dan latihan serius," ujar Roni pada Qieyla.
Sekali lagi Qieyla melihat kepada Roni. "Boleh saya bertanya soalan peribadi?"
Roni mengangguk.
"Puan ada suami?" tanya Qieyla hati-hati.
"Dulu ada," ujar yang ditanya, "tapi dah putus. Hubungan kami tak menjadi. Dia menjalin hubungan sulit dengan orang lain. Ia sesuatu yang dahsyat."
"Saya harap Puan tak fikir saya menyibuk... "
"Tak, kamu tak menyibuk."
"Boleh saya tanya apa yang telah berlaku?"
"Perkara yang tidak menyenangkan. Penyimpangan daripada etika perkahwinan. Saya menangkap dia bersama lelaki lain. Kalau saya tak melihatnya, saya tak akan mempercayainya. Ia menyeksa saya. Bagaikan kami tak saling kenal lagi."
"Tidak ada sesiapa yang sempurna, Puan. Kadangkala peristiwa buruk menjadikan kita lebih kuat," ujar Qieyla. Dia kedengarannya terharu.
"Saya akan cuba ingat itu." Roni berhenti sejenak. Dia menoleh kepada Qieyla. "Macam mana dengan kamu? Kamu pernah berkahwin?"
"Ya, tiga kali," pantas sekali jawapan Qieyla. "Kali pertama ia tidak dirancang. Saya masih muda lagi waktu itu. Dia tiba-tiba menggoda saya. Saya pun bukanlah sempurna sangat. Soalnya saya agak mudah naik birahi."
"Saya pun seperti itu. Dulu saya pernah kahwin, ia tak berhasil," seorang lagi bersuara. Pepino Khoo namanya. Seorang juruterbang merangkap navigator yang berumur kira-kira lewat tiga puluhan. "Ia adalah satu keputusan bersama dan dilakukan tanpa sebarang kekecohan."
Qieyla melirik Pepino yang berada di sebelah kiri Roni. "Ceritakan apa yang berlaku?"
Pepino ragu-ragu sebentar, kemudian dia berkata, "Ceritanya panjang dan menyedihkan tetapi sebabnya sama seperti yang Puan Roni lalui. Itu saja yang saya boleh beritahu. Selebihnya rahsia. Rasanya semua orang pun susah nak kekalkan hubungan masing-masing."
"Kamu tak berkahwin semula?" tanya Qieyla dengan suara mantap.
"Kami dah berpisah. Tapi mungkin kembali semula," balas Pepino dan menegakkan badannya. "Dia pandai memujuk. Itu sebabnya saya masih mencintainya."
Terdengar seseorang berdehem kerana merasakan dinginnya udara saat itu.
Qieyla menoleh ke kanan, menajamkan matanya ke dalam wajah orang kedua penting, Alia Sofia Roslin.
Sofia menegakkan badannya. Dia membalas pandangan Qieyla dengan menatapnya secara langsung.
"Bagaimana dengan kamu? Apa status kamu?" tanya Qieyla kepadanya.
"Saya masih menanti," sahut Sofia sejujur kanak-kanak. Bibirnya mengorak senyuman nipis.
Sofia berusia 28 tahun. Dia bertindak sebagai juruterbang merangkap Timbalan Pengetua pasukan misi Bintang Terbit.
"Bila kamu nak buat komitmen begitu?" Qieyla mendekat, bertanya sungguh-sungguh.
Sofia menerangkan, "Mungkin satu hari nanti. Pada masa hadapan yang terdekat."
"Bunyinya agak kesunyian," kata Roni perlahan.
"Ada kalanya orang kata begitu."
"Kamu ada teman lelaki?" tanya Pepino pula.
Sofia merenungnya. "Tak ada yang tetap."
Qieyla berkata, "Itu sukar dipercayai. Kecantikan kamu boleh memikat lelaki."
Pipi Sofia tampak merah sebentar. "Kamu buat saya tersipu-sipu," ujarnya setelah itu.
"Saya harap kamu akan jumpa lelaki yang layak untuk kamu," Roni berkata.
Sofia menguak-nguakkan rambutnya, "Itu satu kemungkin yang sangat nyata."
"Jangan terlalu pasti. Ia tak semudah yang kamu sangka. Kebanyakan hubungan berakhir dengan teruk," sebuah ucapan jatuh perlahan-lahan dalam gendang-gendang telinga Sofia.
Nun di depannya, dilihatnya Ezan Aziz. Raut mukanya agak kasar, namun memiliki kesan seseorang yang suka humor. Dia adalah jurutera sistem mekanikal yang mengawasi ruang enjin dan ruang penghasilan bahan bakar Bintang Terbit.
Ezan membalas pandangan Sofia dengan air muka hampa.
"Apa maknanya?" tanya Sofia kepada Ezan.
"Saya cuma nak katakan tak banyak hubungan yang kekal."
Sofia diam saja. Mendengarkan perkataannya dengan tenang, wajahnya tak menunjukkan ekspresi apa pun.
"Saya takkan pertikaikannya," seorang sependapat. Tepat di sebelah kanan Ezan duduk seorang lagi jurutera sistem mekanikal, Sheila Jayamalar. Mukanya kusut kerana baru sedar.
"Kamu bercerai?" pertanyaan dari Pepino.
"Tak. Balu. Suami saya meninggal dunia. Kemalangan spinner. Saya menyesal kerana jarang dapat bersamanya," Sheila mengadukan nasibnya. Dia tunduk memandang lantai. Pandangan matanya hampa, tapi otaknya penuh dengan segala macam fikiran. Dia semacam memikirkan dan mengenangkan sesuatu. Kelihatan sekali bahwa dia sangat menyesali nasibnya. Rasa kesal berselut dalam hati.
"Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Matlamat hidup ialah untuk berakhir. Itu dipanggil kenyataan hidupan," Ying Ying yang duduk berseberangan dengan penyelia keselamatan, Zalilah Haron, menyapa Sheila.
Sheila agak kendur sedikit mendengar kata-kata doktor perubatan itu.
Zalillah masih saja belum membuka mulut, dia cuma mendengarkan saja dengan penuh perhatian.
Sofia berpaling ke kanan. Memusatkan perhatian pada Ying Ying.
"Kamu pernah berkahwin?" tanyanya.
Ying Ying menoleh. Dia berumur 31 tahun. Mukanya serius, penuh perhatian dan terarah. "Saya ada suami dan dua orang anak. Kami bahagia."
"Saya cemburu kamu boleh buat begitu," suara Ezan iri. "Apa rahsianya?"
"Kuncinya ialah komunikasi," sahut Ying Ying dengan keyakinan yang dalam.
"Semudah itu."
"Itulah caranya."
"Saya mungkin berfikiran kolot, tetapi seorang suami perlu lebih mengutamakan isterinya," guman saintis astropaleontologi, Almaswa Che' Ross. Dia menempati ruang di sisi kanan Sheila.
Almaswa berumur 45 tahun tetapi dia masih memiliki keanggunannya. Mata bundar dan hidung mancung.
"Tepat sekali. Inilah jawapan kepada segala masalah suami isteri," K. Kurumaya berkata tegas.
Tiap mata memandang saintis astrobiologi itu. Mereka menjadi sedar tentang kehadirannya di samping kanan Almaswa.
Kurumaya itu wanita pendiam, berumur sekitar 43 tahun. Dia hanya berbicara bila perlu.
Roni menjulurkan kakinya ke depan. Kaki telanjangnya yang tidak beralas segera menapak di atas lantai. Dia bangkit berdiri dan merenung ke bawah.
"This floor is freezing," Roni menggigil kedinginan. Dia berjalan sambil saling menggosok-gosokkan kedua telapak tangannya. Langkah diatur cepat ke muka pintu.
Qieyla berdiri dan berjalan tanpa suara mengikuti Roni.
Share this novel