RONI Hassan memberhentikan langkah di muka pintu pod MAMA. Segera dia menekan skrin sentuh berinformasi komputer pengimbas pengenalan di dinding.
Terdengar suara MAMA. "Selamat datang ke Sistem Pengenalan Suara. Sebutkan nama penuh dan jawatan."
"Roni Hassan. Pengetua Misi."
"Kamu lulus Sistem Pengenalan Suara. Pengenalan suara disahkan. Roni Hassan dibenarkan masuk."
Serentak dengan penghabisan ucapan itu, Roni memicit satu butang di dekat skrin sesentuh dan seketika itu pintu ruang pod MAMA ternganga. Dia meneruskan langkahnya perlahan-lahan lalu masuk ke dalam pod pengkalan data yang bertingkap kaca di hadapannya itu. Suhunya sesuai untuk penyelengaraan komputer.
Roni duduk di kerusi dan menghadapi komputer kerangka utama. Kemudian jari-jemarinya menyentuh beberapa ikon yang terpapar di atas skrin peka sentuhan.
Tertera wajah seorang wanita di skrin. Wajahnya cantik. Rupanya sengaja dibuat untuk satu tujuan, iaitu menarik perhatian tanpa harus berbicara. Segala sifat itu dia miliki sebagai komputer bernama MAMA.
"Selamat datang ke Pod MAMA. Kedatangan Puan ditunggu. Ada soalan?" tanya artificial intelligence (AI) yang diprogramkan untuk boleh melihat, mendengar percakapan dan boleh mengeluarkan suara itu kepada Roni.
Roni melihat kepada MAMA dengan pandangan tajam. "Sila bentangkan laporan."
"Ada isyarat gelombang bunyi diterima. Kita sedang dihubungi."
Roni bersandar. Kerusinya kelihatan terjongket sedikit ke belakang.
"Dari mana?" tanyanya setelah beberapa saat berlalu.
"Ia datang dari Europa. Bulan planet Musytari ini dicartakan dan tidak berpenghuni. Isyarat berkenaan telah menghalakan gelombang bunyi ke Bintang Terbit. Kita perlu turun dan siasat. Laksanakan misi peninjau."
Roni cemas, perasaan bimbang bertamu di hatinya.
"Apakah itu satu arahan?" dia bertanya penuh rasa ingin tahu.
"Itu prosedur standard. Itu arahan Majlis. Saya di bawah arahan. Puan pun sama. Puan mesti patuh arahan pada setiap masa," kata MAMA datar.
Si pengetua mengangguk. Dia menerima usulnya. "Baiklah. Kita akan ke sana secepat mungkin. Berapa jauh lagi?"
"Jaraknya dekat. Cukup dekat untuk memastikannya. Paling lama 60 minit."
"Itu tak mungkin!" Roni terperanjat. "Kenyataan mengelirukan."
Suaranya keras dan getir. Seketika air mukanya menunjukkan rasa heran.
"Saya dah ubah urutan penerbangan Bintang Terbit. Sebagaimana yang Majlis arahkan."
MAMA rupanya bisa mengatasi setiap kesulitan.
Roni duduk tegak. "Menakjubkan. Saya sepatutnya dah agak. Saya perlu perinciannya. Beri kordinatnya."
"Isyarat datang dari bahagian kawah yang dalam pada permukaan bulan itu. Ukur lilit kawah itu kira-kira 250 kilometer dan ke dalamnya 13 kilometer, iaitu sama dengan ketinggian Gunung Everest. Terdapat takungan ais yang saiznya kira-kira sebesar tasik kecil. Berdasarkan kepada ketumpatan pembentukan ais, kemungkinan besar ialah 90 peratus daripada ais berkenaan terbentuk daripada air. Bersuhu di bawah paras beku 20 hingga 230 darjah selsius."
ANJUNGAN kawalan Bintang Terbit menawarkan persekitaran yang senyap untuk perbualan yang intim. Anjungan kawalan tersebut adalah pusat pemanduan kapal angkasa itu. Ia dikawal oleh dua individu dengan penyeliaan daripada seorang pemandu senior yang digelar Ketua Pemerhati. Selain memandu kapal angkasa, mereka juga bertugas mengenal pasti arah perjalanan, menjawab panggilan dan apa-apa tugasan untuk melancarkan pergerakan kapal angkasa itu.
Sebaik duduk di kerusi pandu pesawat, Sofia Roslin yang bertindak sebagai Ketua Pemerhati berkata, "Ambil tempat masing-masing."
Pepino Khoo duduk di tempat duduknya, diikuti oleh Qieyla Azahar. Dia ditempatkan di ruangan yang letaknya bersebelahan dengan ruangan Pepino.
Sofia melihat kepada Qieyla. "Bertukar kepada manual. Aktifkan sistem dan mulakan muat turun, Qieyla."
Qieyla mengangguk.
"Sistem dihidupkan," ujarnya menerangkan. Jarinya yang kurus panjang memicit ikon pada skrin peka sentuhan bahagian papan pemukanya. Sekali sahaja ikon disentuh, lampu manual menyala.
"Sedang dimuat turun sekarang. Masa detik ialah lima minit. Kiraan bermula sekarang," ujarnya lagi melaporkan. "Berjalan lancar. Tahap transformasi cukup sempurna."
Qieyla diam sebentar. Keheningan mencengkam ruangan tersebut.
"Sudah dimuatkan!" seru Qieyla penuh bersemangat.
Sofia berkata lagi. "Tukar kepada pemanduan secara manual."
Qieyla mengangguk lagi.
"Pemanduan manual beroperasi sepenuhnya. Kelajuan dikekalkan!"
Sofia mengangguk. Matanya dilayangkan pula kepada Pepino. "Apa kedudukan terkini kita, Pepino?"
Mata Pepino tumpah ke arah skrin peka sentuhan komputernya. Tiba-tiba mukanya kelihatan cemas. Seakan ada sesuatu yang tidak kena. Ada sesuatu yang tidak kena pada imej cakerawala yang dianalisis di skrin. Tak kelihatan apa-apa.
"Kita tidak berada di tempat yang sepatutnya. Sepatutnya dah nampak Deimos. Saya tak boleh tetapkan haluan," Pepino mendedahkan keraguannya pada Sofia. Hatinya gelisah. Waktu itu dia amat keliru.
"Ada yang tak kena?" Suara Sofia getir. Hatinya berkecamuk, tertanya-tanya.
" Kita terkeluar laluan?" tanya Qieyla dengan cemas. Rasa gusar yang menjelma mengundang pelbagai ramalan. Di dalam benaknya kecurigaan kian mengganas.
"Itu munasabah." Pepino tidak menutup-nutupi rasa tidak percaya pada suaranya.
"Tentu itu yang berlaku," ujar Sofia sambil mengimbaukan pandangan ke luar jendela dan matanya merenung angkasa hitam. Wanita itu berhenti sebentar berbicara. Ditatapnya Qieyla dan Pepino dengan penuh minat lalu katanya lagi, "Kenal pastikannya. Lakukan imbasan untuk menentukannya."
"Ada sesuatu yang pelik ni," Pepino berkata entah kepada siapa.
Sofia memandang Qieyla.
"Hubungi Deimos International Space Station Traffic Control," katanya memberi arahan. "Pastikan kedudukan kita."
Qieyla mengangguk.
"This is commercial towering vehicle Bintang Terbit. Registration number 7-3-5-5-1-8-9. Memanggil Deimos International Space Station Traffic Control," katanya sungguh-sungguh. Sejurus dia membisu. Hening untuk satu minit. Qieyla lalu berkata kembali dengan nada yang lebih lembut. "This is commercial towering vehicle Bintang Terbit attempting contact. Registration number 7-3-5-5-1-8-9. Memanggil Deimos International Space Station Traffic Control."
Sekali lagi Sofia memandangnya. "Apa situasi kamu?"
Qieyla mengangkat bahu. Bingung bercampur cemas.
"Saya tak faham. Jawapan tak diterima," keluhnya. "Ia tak beri respons."
"Keep trying!" seru Sofia dengan suara keras.
Penyelaras komunikasi itu mengangguk. "Memanggil Deimos International Space Station Traffic Control. Kamu menerima saya? Sila jawab."
Sehabis Qieyla berkata begitu, Pepino berseru kaget. "Saya sudah menjumpainya! Kordinat disahkan. Menurut susun atur, kita berada lebih dekat di planet Musytari."
Sofia separuh terperanjat. "Adakah ini patut berlaku?"
"I don't know," sahut Pepino datar. Dari sudut matanya dia melihat Sofia terheran-heran.
"Sungguh ganjil," kata Qieyla, hampir tak terdengar. Dia melirik kepada Sofia.
"Itu saya mengerti," sahut Sofia mengiyakan. Dia melihat ke depan dengan pandangan kesangsian. "Hal ini perlu dimaklumkan pada Pengetua. Kita biarkan dia tentukan tindakan terbaik."
Share this novel