Selepas berbulan-bulan penuh tekanan dan rutin yang sama, hari-hari selepas SPM terasa sangat… kosong.
Tiada lagi bunyi loceng sekolah. Tiada lagi prep malam, tiada lagi gaduh kecil dengan Aisy setiap kali study group. Tiada lagi suara cikgu yang bising suruh balik ke kelas bila berlama-lama di kantin.
Kini, aku berada di rumah. Dan aktiviti harian aku hanya satu—memasak.
Masuk dapur, potong sayur, goreng ayam, susun lauk. Ulang. Setiap. Hari.
Bukan sebab aku rajin sangat, cuma aku sendiri tak tahu nak buat apa. Ramai kawan sibuk update story keluar jalan, pergi bercuti, ada yang dah kerja part time pun.
Tapi aku?
Aku macam hilang arah.
Nayla pun dah jarang berhubung sejak habis sekolah. Dia sibuk dengan keluarganya, dan dengan Faaeq.
Cinta jarak jauh bukan mudah, dan aku tahu itu. Mereka tak lagi lepak macam dulu. Kalau nak jumpa pun kena tunggu hujung minggu, itu pun belum tentu dapat. Tapi yang aku kagum, mereka tetap cuba.
Satu malam, aku dapat mesej dari Nayla.
“Aku rindu dia. Tapi aku tahu ini semua sementara. Kalau betul dia untuk aku, jarak takkan pisahkan.”
Aku termenung lama lepas baca tu.
Kalau Nayla ada Faaeq, Aisy pula… masih jadi misteri dalam hidup aku. Kami ada contact beberapa kali lepas sekolah, tapi tak banyak. Cuma mesej-mesej ringkas macam “buat apa?” atau “makan belum?”
Kadang-kadang aku rindu gaduh dengan dia. Tapi nak mesej dulu… ego aku terlalu tinggi.
Satu petang, sambil aku kacau kuah kari atas dapur, mak aku tiba-tiba bersuara.
“Rai, tak bosan ke duduk rumah je? Tak nak kerja part time ke? Atau buat apa-apa yang kakak suka?”
Aku diam. Sebenarnya aku memang bosan. Sangat. Tapi aku takut. Takut melangkah ke fasa baru tanpa arah tuju.
“Kakak cuma penat,” jawabku akhirnya.
“Penat berfikir nak jadi siapa, nak buat apa.”
Mak pandang aku dengan senyuman penuh makna. “Tak apa, Rai. Semua orang akan rasa macam tu. Tapi kau tak boleh terus duduk dalam ‘penat’ tu. Cuba mula dari benda kecil.”
Dan malam tu… aku ambil buku nota yang Aisy beri. Aku buka muka surat pertama, capai pen… dan aku mula menulis:
“Hari ini aku goreng ayam terlalu lama. Tapi sekurang-kurangnya aku tahu aku masih boleh buat sesuatu.”
Satu ayat. Tapi itu cukup.
Esoknya, aku bangun sedikit awal. Masih tak ada perancangan besar, tapi aku rasa… sedikit ringan. Aku buka langsir, biar cahaya matahari masuk.
Dan untuk pertama kalinya sejak tamat sekolah, aku rasa... mungkin aku belum jumpa arah tuju, tapi aku dah mula melangkah.
Tiba-tiba sahaja telefon aku berbunyi. Ada mesej masuk.
Aku segera mengambil fon dan melihat nama yang tertera pada skrin iaitu 'Nayla'. Dia kata nak jumpa aku lepak dengan aku petang ni dan aku pun setuju.
Share this novel