Suasana di asrama pagi ini lain daripada biasa. Biasanya, kami yang paling awal bersiap, tapi hari ini satu kamar terlewat bangun. Entah kenapa, jam loceng tak berbunyi, dan kami semua tersentak dari tidur hanya beberapa minit sebelum loceng masuk kelas berbunyi.
Aku dan Nayla bergegas, tak sempat bersarapan. Dengan muka separuh siap dan perut kosong, kami melangkah laju ke kelas.
Setibanya di kelas, aku belum sempat duduk, suara sinis yang sangat aku kenal terus menyapa.
"Lambat masuk hari ni? Selalu korang awal."
Aku mendongak perlahan, menatap wajah Aisy yang sudah pun berdiri di sisi meja aku, tersenyum nakal seperti biasa.
“Kau ni kan, Aisy. Bagi la aku duduk dulu, baru kau tanya soalan. Dah la tiba-tiba muncul kat meja aku,” aku merungut sambil menarik kerusi.
Baru je tapak kaki masuk kelas, terus kena terjah dengan mamat ni. Nasib baik aku tak moody hari ni.
“Sorry la, Rai,” dia senyum lebih lebar. “Kenapa lambat sangat hari ni?”
“Bangun lambat la…” aku balas ringkas sambil tersengih kecil, cuba sembunyikan rasa malu.
“Bukan ke kau memang selalu bangun lambat?” dia balas sambil buat muka seolah-olah tahu semua benda pasal aku.
Dan macam biasa, dia dan Nayla terus gelak serentak. Aku jeling mereka berdua dengan muka konon marah. “Hoi! Tak baik la!”
Tapi dalam hati aku tahu, mereka cuma bergurau. Dan aku tak pernah betul-betul marah pun—lebih kepada malu dan… entah, rasa selesa yang aku susah nak jelaskan.
“Memang betul pun, Aisy,” Nayla menyokong sambil senyum. “Tapi hari ni satu bilik kami terlambat. Semua orang bangun lewat.”
Aku angguk perlahan. Tapi dalam diam, ada sesuatu yang mengganggu. Suasana di sekolah kelihatan seperti biasa, pelajar berbual, ketawa, saling bertukar cerita… tapi hati aku rasa lain. Hari ini terasa berat. Macam ada sesuatu yang tak kena.
Sebaik aku duduk, aku tenggelam dalam pandangan kosong ke arah tingkap kelas. Aku nampak pokok yang selalu bergoyang lembut ditiup angin pagi. Tapi semua itu kelihatan kabur di mata aku. Hati aku… kosong.
Bayangan lama kembali menghantui. Wajah-wajah yang dulu menyakitkan, suara ejekan yang aku cuba lupakan, semua itu muncul semula dalam kepala. Orang yang pernah membuli aku dahulu… kini berada di sekolah yang sama. Mungkin tak ingat aku, tapi aku takkan lupa mereka.
“Rai, kau okay ke?” suara Nayla perlahan, tapi cukup untuk menyedarkan aku dari lamunan.
Aku tersentak sedikit. “Hah? Oh… ya. Aku okay,” aku cuba senyum, walaupun senyuman itu lebih kepada topeng.
Nayla merenung aku sejenak sebelum mengangguk perlahan. “Kalau ada apa-apa, cakap je. Jangan simpan sorang-sorang, okay?”
Aku angguk, dan dalam hati, aku tahu aku bersyukur ada kawan macam dia. Tapi pada masa yang sama, aku tak mahu dia risau atau terbeban dengan apa yang aku rasa. Masalah aku bukan mudah. Luka aku… bukan calang-calang.
Kelas bermula, dan aku cuba fokus. Tapi fikiran aku tetap melayang. Perasaan gelisah itu tak mahu pergi. Aku tahu ini bukan pasal cinta. Bukan pasal Aisy. Ini tentang aku, tentang luka lama yang aku masih tak berjaya sembuhkan. Tentang bayangan silam yang masih duduk teguh dalam ingatan.
Namun aku tahu… satu hari nanti, aku kena cari jalan. Jalan untuk lepaskan semuanya. Untuk maafkan, mungkin. Atau sekurang-kurangnya, untuk berdamai dengan diri sendiri.
Dan sampai hari itu tiba… aku hanya mampu bertahan.
Share this novel