Pagi itu, suasana kelas seperti biasa—bising, hiruk-pikuk dengan suara pelajar yang sibuk menyiapkan kerja rumah last minute dan bergosip tentang drama terbaru.
Aku duduk di tempat biasa, cuba fokus baca nota sambil kunyah roti krim yang aku sempat capai dari pantri asrama. Tapi seperti yang dijangka, ketenangan aku tak bertahan lama.
“Wah, hari ni baca nota? Kau demam ke, Rai?” suara Aisy kedengaran, disertai dengan gelak kecil yang aku kenal sangat.
Aku menjeling tanpa angkat kepala. “Tak macam kau yang asyik main, markah rendah, otak pun kosong.”
“Ouch, pedas! Tapi tak dinafikan, aku tetap lebih pandai dari kau,” Aisy duduk di kerusi sebelah sambil sengaja menyandar dekat meja aku.
“Hoi, meja aku okay?” aku tolak bahunya perlahan, tapi dia hanya ketawa lagi.
Hubungan kami masih sama. Penuh dengan perbalahan kecil, saling mengusik tanpa henti. Tapi entah kenapa, aku suka suasana ni. Walaupun hanya sekadar gurauan, walaupun dia tak tahu apa-apa tentang hati aku.
“Rai, serius, kau tak rindu aku ke masa cuti minggu lepas?” Aisy sambung, kali ini suaranya lebih perlahan, seolah-olah hanya untuk aku dengar.
Aku mencebik. “Rindu nak sepak kau, adalah.”
Aisy ketawa besar, sambil ambil buku aku dan selak-selak halaman depan. “Tapi kau tetap tak halau aku. Tu tandanya kau sayang aku juga.”
Aku hanya menjeling. Kalau kau tahu apa yang aku rasa, Aisy… mungkin kau takkan cakap macam tu.
Tak lama kemudian, Nayla masuk ke kelas dengan senyuman lebar, di tangannya ada sebuah kotak kecil berbalut cantik dengan reben merah jambu.
“Rai! Tengok ni!” Dia letak kotak tu atas meja aku dengan semangat. “Faaeq bagi aku hadiah!”
Aku tersenyum. “Wow, romantiknya boyfriend kau. Apa dalam tu?”
Nayla buka kotak tu perlahan-lahan. Di dalamnya ada rantai leher bertulis nama Nayla dalam tulisan halus berwarna emas. Aku terdiam sekejap, kagum. Cantik sangat.
“Faaeq kata dia tempah khas. Aku tak sangka dia ingat aku pernah sebut pasal benda ni dulu,” Nayla senyum, matanya berkilau. Dia nampak sangat bahagia.
Aku pandang Nayla, dan hati aku rasa hangat—campuran antara gembira untuk sahabat, dan sunyi untuk diri sendiri. Aku tumpang bahagia, sungguh. Tapi aku juga tertanya-tanya, bilakah giliran aku akan rasa yang sama?
Sementara Nayla masih tersenyum seorang diri, aku kembali pandang Aisy yang kini sibuk conteng sesuatu di hujung buku nota aku.
“Tak habis-habis kacau aku…” aku bisik sendiri.
Loceng berbunyi menandakan sekarang waktu rehat.
Aisy tiba di meja aku, tangan menyelak buku aku tanpa izin. Aku biarkan, kononnya malas nak layan, padahal… aku suka tengok cara dia senyum waktu baca tulisan tangan aku yang bersambung-sambung tak teratur tu.
"Apa ni? Nota sejarah atau surat cinta?" Dia angkat kening, senyum nakal.
Aku hempas lembut pen aku atas meja. "Tu fakta penting, la. Tak semua orang macam kau boleh bergantung harap pada markah muka."
Dia ketawa lagi. Satu bunyi yang aku benci untuk suka. Tapi tak dapat elak.
"Eh, aku rasa… kau ni ada potensi jadi cikgu garang. Serius," dia cakap sambil buat muka konon takut, tapi tangan dia masih tak berhenti conteng.
Aku hanya geleng kepala. Aku tahu Aisy jenis tak ambil serius banyak benda. Tapi kadang-kadang, aku harap… dia ambil serius perasaan aku.
Selepas loceng berbunyi, semua pelajar mula ambil tempat masing-masing. Cikgubelum masuk, jadi kelas masih riuh. Nayla duduk di sebelah aku, masih senyum sambil main-main dengan rantai barunya.
“Rai, kau okay ke?” dia tiba-tiba tanya, matanya merenung aku dengan serius.
Aku angkat bahu. “Kenapa tanya macam tu?”
“Entah. Aku rasa kau… lain sikit hari ni. Macam banyak fikir.”
Aku senyum nipis. “Biasa lah. Kepala penuh dengan formula matematik.”
Dia senyum kecil, tapi aku tahu dia tak percaya sepenuhnya.
Dan sebenarnya, aku pun tak tahu nak cakap apa. Macam mana aku nak jelaskan rasa kosong yang datang tiba-tiba? Atau rasa cemburu yang tak patut wujud bila tengok orang lain bahagia? Atau… rindu pada seseorang yang tak pernah betul-betul jadi milik aku?
Malam itu di asrama, aku pandang siling sambil pegang buku nota yang Aisy conteng tadi. Ada satu lukisan kecil di penjuru muka surat—gambar dua batang lidi dengan dialog komik:
"Jangan rindu aku sangat."
"Tak pernah pun."
Aku senyum. Tipikal Aisy.
Tapi dalam diam, aku balas dalam hati.
Kalau kau tahu, Aisy... aku dah lama rindu kau, walaupun aku tak pernah berani tunjuk.
Share this novel