Bab 7

Romance Series 49

Kertas terakhir akhirnya selesai. Suasana dalam dewan peperiksaan tak lagi tegang seperti hari-hari sebelumnya. Ramai yang tersenyum lebar, ada juga yang menangis lega. Aku sendiri… masih terdiam, cuba hadam hakikat yang satu fasa dalam hidup aku kini telah berakhir.

“Dah habis… kita dah habis SPM, Rai!” Nayla peluk aku kuat-kuat sampai aku tergelak kecil.

“Tak sangka kita sampai juga ke penghujung,” balasku perlahan. Mata aku mula terasa hangat. Terlalu banyak yang dah berlaku sepanjang tahun ni. Tawa, air mata, kecewa, marah, semuanya bercampur.

Pelajar mula keluar dari dewan, dan seperti dijanjikan, ramai berkumpul di dataran sekolah. Ada yang ambil gambar dengan kawan-kawan, ada yang bawa papan tanda “WE DID IT!”, dan ada juga yang mula melakar coretan terakhir di baju uniform.

“Kita ambil gambar sama-sama nak?” Faaeq datang sambil hulurkan kamera polaroid. Senyumannya macam biasa—tenang dan penuh semangat.

Nayla angguk teruja. “Jom! Kita panggil Aisy sekali!”

Tak lama lepas tu, kami berempat berdiri rapat. Aku, Nayla, Faaeq, dan… Aisy. Dia berdiri di sebelah aku, seperti biasa, dengan senyuman senget yang dia selalu bagi bila nak menyakat.

“Okay, ready semua! 1… 2… 3… SENYUM!”

Klik! Gambar keluar perlahan-lahan dari polaroid. Gambar kami—penuh dengan ketawa, seragam penuh tandatangan, dan mata yang menyimpan sejuta kenangan.

Selesai sesi bergambar, Faaeq tiba-tiba hulurkan satu kotak kecil kepada Nayla.

“Untuk awak. Sebab awak dah kuat sampai akhir.”

Nayla buka perlahan-lahan. Di dalamnya ada gelang kecil perak dengan loket berbentuk hati.

“Saya tak tahu nak cakap apa… Cantik sangat,” Nayla pandang Faaeq dengan mata yang hampir bergenang.

Aku tersenyum lihat mereka. Aku tahu betapa Faaeq hargai Nayla, dan betapa Nayla sayang dia.

Tiba-tiba, Aisy hulurkan sesuatu padaku juga. Sebuah buku nota kulit coklat yang kemas, dengan nama aku terukir di hadapan.

“Untuk kau. Buku baru untuk kisah baru. Mungkin lepas ni kau boleh mula tulis pasal hidup kau… tanpa marah-marah aku sangat.”

Aku tergelak kecil, ambil hadiah tu perlahan. “Terima kasih… Aku suka sangat.”

“Aku tahu kau suka benda sentimental,” Aisy senyum, tapi pandangannya kali ini agak dalam—macam dia cuba nak sampaikan sesuatu… tapi tak terluah.

Aku genggam buku tu kuat-kuat. Hati aku bergetar perlahan.

Sekolah mungkin dah habis, tapi kenangan takkan pernah hilang. Dan mungkin, sesetengah hubungan hanya mula berkembang bila semuanya berakhir.

Hari ini, kami melangkah keluar dari pagar sekolah bukan lagi sebagai pelajar—tetapi sebagai insan yang pernah jatuh, bangun, dan bertahan bersama.

Malam itu, suasana rumah sunyi. Hanya bunyi kipas siling berputar perlahan mengisi ruang bilik. Aku duduk di meja belajar, memerhatikan timbunan buku yang dulu menemani setiap malam aku. Tapi malam ini… semua itu tinggal kenangan.
Di hadapan aku, buku nota coklat yang Aisy beri tadi. Aku buka perlahan-lahan. Muka surat pertama kosong, kecuali satu nota kecil yang terselit di penjuru:

“Untuk Raihana—yang selalu nampak kuat walaupun dalam diam dia luka. Mungkin sekarang masanya kau mula menulis untuk diri sendiri. Tak semua rasa boleh diceritakan, tapi semuanya boleh disimpan di sini.” – Aisy.

Aku tarik nafas panjang.

Hari ni, hidup aku berubah. Bukan lagi seorang pelajar sekolah menengah. Bukan lagi rutin prep malam, lencana sekolah, atau loceng rehat.

Tapi apa yang kekal… adalah kenangan. Gelak tawa Nayla, pandangan penuh makna dari Faaeq, dan… Aisy—dengan semua usikan dia yang aku tak sangka akan aku rindui seawal ini.

Aku capai pen. Dan buat kali pertama, aku menulis bukan untuk ulang kaji. Tapi untuk aku. Tentang rasa, tentang mereka, tentang hari ini… dan tentang permulaan yang baru.
Kerana aku tahu, walaupun sekolah sudah tamat… kisah aku masih sedang ditulis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience