Hari yang ditunggu-tunggu tiba juga. SPM. Semua orang bercakap tentangnya selama bertahun-tahun, dan kini ia hanya tinggal beberapa jam dari realiti yang harus kami hadapi.
Aku berada di bilik asrama, menatap wajahku dalam cermin. Mata aku kelihatan lesu, sedikit merah akibat tidur yang kurang, tetapi aku tetap cuba untuk tetap tenang. Dalam hati, ada sedikit debaran. Bukan kerana takut gagal, tapi kerana inilah saat yang menentukan perjalanan hidup kami seterusnya.
"Aku yakin kau boleh, Rai," kata Nayla sambil betulkan rambutnya di depan cermin.
“Kau pandai, kau takkan fail punya.”
Aku tersenyum sedikit.
"Harap-harap. Tak nak buat orang kecewa, terutama cikgu dan ibu."
Kami berdua keluar menuju ke dewan peperiksaan. Suasana agak tegang, tapi aku boleh rasa kesungguhan dalam setiap langkah kami. Bila masuk ke dewan, bau kertas ujian yang segar menambah rasa cemas, dan setiap meja sudah siap dengan kertas soalan dan pensil yang disediakan.
Aisy sudah duduk di tempatnya. Dia pandang aku, memberikan senyum sokongan yang biasa. Aisy, walaupun kadang-kadang mengusik, tetap menjadi rakan yang baik. Aku angguk padanya, memberi isyarat supaya tidak risau. Kami berdua tahu, peperiksaan ini lebih daripada sekadar memikirkan markah—ia tentang bagaimana kita menghadapinya bersama-sama.
"Okay, masa dah tiba. Jangan gementar," aku berbisik pada diri sendiri.
Bila kertas soalan matematik diturunkan di hadapan aku, nafas aku jadi lebih dalam. Aku buka helai pertama, dan mata aku segera melangkah ke soalan pertama. Semua soalan Matematik yang ada—seperti sudah aku kenal sejak kecil. Formula, cara penyelesaian, semuanya berjalan dengan lancar. Aku boleh lihat gambaran-gambaran tentang topik yang kami belajar sepanjang tahun.
Aku kembali menumpukan perhatian pada kertas. Setiap soalan yang aku jawab, semakin jelas bahawa aku akan melalui perjalanan ini dengan kekuatan sendiri. Bukan kerana aku tiada sokongan, tapi kerana aku tahu, inilah masa untuk berdiri atas kaki sendiri.
Kring! Masa tamat. Semua pelajar berhenti menulis. Aku letakkan pensil dengan perlahan, menatap kertas soalan sekali lagi. Peperiksaan pertama sudah selesai.
Ketika kami keluar dari dewan, peluh yang sejuk masih membasahi dahi aku. Tapi ada sesuatu yang lebih penting—perasaan lega kerana berjaya lalui satu lagi ujian besar dalam hidup.
“Rai, kau okay?” Aisy tanya, seperti biasa, dengan senyuman sinisnya
.
Aku ketawa kecil. “Selesa, lebih kurang je. Kau?”
“Macam biasa. Tapi…” dia berhenti sekejap, melihat aku dengan cara yang sedikit berbeza. “Aku bangga dengan kau.”
Aku terdiam. Aisy tak pernah cakap macam tu, apatah lagi selepas kami selalu bergaduh. Tapi mendengar dia cakap macam tu, terasa sedikit... ringan di hati.
Nayla datang menghampiri kami, tersenyum lebar. “Macam mana? Senang je kan soalan tu?”
Aku ketawa. “Senang kalau kau belajar.”
Kami bertiga berjalan keluar dari dewan peperiksaan. Suasana kini terasa lebih tenang, tapi dalam hati kami, semua tahu, ini hanyalah permulaan.
Share this novel