BAB 28

Romance Completed 344019

DINGIN pagi membangunkan Sara dari lena yang panjang. Tanpa membuka mata dia mencari-cari sesuatu untuk menyelimuti tubuh yang kesejukan. Lalu ada satu tangan sasa melingkari ke pinggang dan menarik tubuhnya rapat untuk menghangatkan kedinginan itu.

Buat seketika Sara merasai suasana nyaman, tenang dan damai. Hurm rasa macam tak nak bangun. Nak tidur lama-lama.

Bagaimana pun, lima detik kemudian Sara tersentak bila menyedari di mana dia berada. Pantas dicelikkan mata lalu terpandang dada berotot ‘six-pack’ tanpa baju yang berada di depannya.

Membuntang mata Sara waktu itu. Sedang menempel rapat ke tubuhnya ketika ini adalah Ian Khalif yang nyenyak tidur bersama pakej berdengkur!

Tak tunggu lagi, Sara terus menolak tubuh Ian ke tepi sebelum dia melompat turun dari katil. Sempat diperhati ke tubuhnya sendiri. Mujurlah masih tersarung pakaian yang lengkap.

Tapi… tapi… macam mana dia boleh tidur di katil bersama Ian? Wait, apa yang berlaku malam tadi? Tak mungkin dia tidur mati sehingga tak sedar si Ian datang tidur bersama. No!!!

Lantas pandangan Sara beralih semula ke arah Ian yang masih ‘terbungkang’ di atas katil.

“Kau!”

Spontan Sara mencapai satu kusyen kecil di hujung katil lalu dilontar laju ke muka Ian. Membuatkan lelaki itu terjaga dari tidur.

Ian yang masih mamai terkebil-kebil membuka mata memandang ke arah Sara dalam reaksi keliru.

“Apahal ni?”

“Kau buat apa kat aku malam tadi?!” Sara menyoal sambil menjegilkan mata.

“Buat apa?” Ian menyoal kembali kurang faham.

“Kenapa kau peluk aku? Ni, kenapa kau tidur sini? Kenapa kau tidur dengan aku?!”

Sambil memisat kelopak mata dan menguap, Ian bangun dari baring lalu duduk bersila di tengah katil. Pandangannya terarah kepada Sara yang sedang bercekak pinggang bersama mimik muka garang macam mak singa.

“Kenapa pulak aku tak boleh tidur sini? Bilik hotel ni aku yang bayar. Suka hati akulah nak tidur kat mana pun.” Ian membalas semula.

“Tapi, aku tak nak tidur dengan kau. Kenapa kau tak kejut aku malam tadi? Aku sanggup tidur atas lantai dari tidur bersama kau!” Sara membentak tidak berpuas hati.

Ian meraup muka yang masih mengantuk. Haih, masalah betullah perempuan ni. Itu tak nak, ini tak nak. Satu-satunya perempuan yang menolak untuk tidur bersamanya.

Hakikatnya malam tadi Ian sendiri tidak sedar waktu bilakah dia tertidur bersama Sara di atas katil. Asalnya dia cuma nak berbaring sekejap sambil melihat-lihat ke telefon pintar. Nak kejutkan si Sara tak sampai hati. Mungkin kerana keletihan lantas dia pun terlelap. Sedar-sedar pagi ini si isteri dah mengamuk.

“Alah, small matter lah. Bukan buat apa-apa pun. Aku tidur sebelah kau je.” Bagi Ian isu yang dibangkitkan Sara terlalu kecil untuk diperdebatkan.

Sebaliknya Sara semakin marah dan menyinga. Ini bukan isu remeh-temeh. Dia tak pernah bermimpi sekali pun untuk ‘sekatil’ dengan lelaki kasanova seperti Ian yang pernah meniduri ramai perempuan. Jijik!

“Small matter kau cakap? Aku tak nak tidur dengan kaulah, Ian Khalif! Kau faham tak?!!” Suara tinggi Sara menjerit nyaring.

Bukan setakat tidur bersama, untuk menghabiskan seluruh hidupnya bersama Ian juga Sara tidak sanggup. Ini bukan lelaki dambaannya. Ini juga bukan jodoh yang dia inginkan!

“Calm down, okay. Pagi-pagi kau terjerit-jerit macam ni. Merosakkan ‘mood’ aku tau tak?!”

“Mood kau je rosak? Mood aku? Ergh!”

Saat ini Ian akui dia merindui ‘Alyka’ yang dulu. Alyka yang lemah lembut. Alyka yang sopan dan ayu. Alyka yang suka tersenyum sampai dia angau terigau-igau.

Sebaliknya yang ada di depan mata sekarang jauh berbeza. Asyik nak marah-marah dan membentak. Muka tu sikit pun tak pernah senyum sejak mereka bergelar suami isteri. Monyok je sepanjang masa.

Haih, tapi dia tetap sayangkan perempuan ini. Dia cintakan Sara Alyka. Dan tak akan dilepaskan walau apa pun berlaku.

“Okey, aku mintak maaf. Aku tak sengaja. Aku tak sedar pun waktu bila aku tertidur kat sini,” ujar Ian mengalah.

Malas nak teruskan perbalahan yang tidak penting itu. Sebetulnya telinga Ian bingit mendengar suara nyaring Sara terjerit-jerit marahkannya.

Mendengar perkataan maaf diucapkan Ian mengendurkan sedikit kemarahan Sara. Namun, muncung di mulutnya masih terlihat.

Ian mengambil peluang untuk menyakat Sara. Sengaja nak sakitkan hati perempuan itu.

“Tapi, kau dah jadi bini aku. Suka hati akulah nak tidur dengan kau ke, nak peluk ke, nak… emm…”

Bebola mata Ian melirik penuh makna ke tubuh Sara.

Serentak itu Sara menyilang kedua tangannya ke dada. Sebagai reaksi terhadap mimik muka ‘miang keladi’ ditunjukkan Ian.

Ian lantas tertawa kuat. “Kau tak payah tutuplah. Aku dah tengok semua. Lagipun, dah halal kan?”

Sara makin geram dan menyampah dengan makhluk seorang ni. Terus diambil sebiji bantal lalu ditekap kuat ke muka Ian. Hah, biar kau mati lemas!

Bagaimana pun, tenaga Ian yang jauh lebih kuat dengan mudah dapat menangkap tangan Sara. Lalu dengan tangkas tubuh perempuan itu ditolak ke katil. Kedua tangan Sara kemudian dikunci dengan tangannya. Manakala tubuh Sara dihimpit dengan tubuhnya agar tidak boleh bergerak.

Saat ini pandangan mereka saling bertautan. Gelora perasaan mula mengunjungi. Detak jantung Ian bergerak laju. Begitu juga Sara. Masing-masing saling tenggelam dalam perasaan yang tak terungkap.

Ian mendekatkan mukanya ke wajah Sara. Dan dalam sesaat kemudian bibirnya mendarat di bibir Sara. Cup!

Sara tersentak. Refleksi daripada tindakan Ian, spontan lututnya diangkat lalu menyepak ke alat sulit lelaki itu.

Erk!

Riak muka Ian terus bertukar. Senak perut dan berpinau matanya waktu itu. Pegangan di tubuh Sara terus terlepas. Dan Sara bingkas bangun menjauhi Ian.

“Sakitlah woi!!” Ian menjerit dalam marah sambil menahan kesakitan.

Adui. Perempuan ini memang sukar dijangka tindakannya. Baru dua hari mereka berkahwin dia sudah menerima sepak terajang. Silap-silap boleh hilang ‘kejantanannya’ nanti.

Sara tersenyum mengejek ke arah Ian. Puas hatinya. Padan muka kau!

“Kau ni boleh tahan ganas ye. Perangai sopan-santun kau dulu tu berlakon je la kan? Dasar penipu!”

“So, dah tahu aku penipu yang kau kahwin dengan aku kenapa?!” Sara membidas semula.

Ian memandang Sara dengan muka yang ‘panas’. Perempuan ni ada je nak menjawab. Niat nak sakitkan hati dia. Alih-alih hati sendiri yang ‘bengkek’!

Tidak mahu menunggu ayat balasan Ian, Sara mencapai tuala serta pakaian bersih dan cepat-cepat berlalu ke kamar mandi. Lebih baik dia ‘hilangkan diri’ segera daripada mengadap muka si kasanova itu.

“Ha, nak larilah tu. Sini kau!”

Sebaliknya Sara sudah masuk ke dalam bilik air dan pintu ditutup dengan kuat. Dum!

Ian mendengus nafasnya kasar. Geram dan bengang dengan perangai bini sendiri. Nasib baik aku sayang kau. Kalau tak aku dah lipat-lipat kau. Urgh.

“Jangan bertapa pulak dalam bilik air tu!” Pesan Ian dalam sindiran di depan pintu bilik air.

KETIKA Sara keluar dari kamar mandi sebaik selesai membersihkan diri, dia melihat kelibat Ian sedang berbicara telefon di satu sudut. Entah dengan siapa Sara tidak pasti.

Namun, Sara menyedari riak muka Ian yang tampak amat serius, kusut dan serabut seakan mempunyai masalah besar.

Tamat panggilan yang diterima, Ian menoleh ke arah Sara lalu menuturkan ayat ringkas.

“Kita balik KL hari ni.”

Cuma itu. Lalu lelaki itu menonong melangkah ke bilik air.

Sara memerhati gelagat Ian dengan perasaan tertanya-tanya. Hendak disoal apa yang berlaku kepada Ian tak mungkinlah. Lebih baik dia diam sahaja.

Selesai bersiap, dengan diiringi pengawal dan pembantu peribadi Ian, mereka berdua keluar dari hotel. Range Rover yang dinaiki bergerak meninggalkan kawasan hotel penginapan dan seterusnya memasuki lebuhraya untuk kembali semula ke Kuala Lumpur.

Di sepanjang perjalanan, masing-masing menyepi tanpa suara. Ian lebih banyak mengeluh dan mendengus. Entah apa yang dikusutkan sejak tadi.

Manakala Sara pula memilih untuk tidur. Tak tahu nak buat apa. Amat membosankan berada di dalam kenderaan bersama Ian.

Jam dua petang, kenderaan yang dipandu pemandu peribadi Ian membelok masuk ke pekarangan sebuah banglo dua tingkat yang terletak di pinggir Bandaraya Kuala Lumpur.

“Aku ada hal. Nak keluar kejap. Kau duduk di rumah ni diam-diam. Nanti aku balik.”

Begitulah tutur bicara Ian ketika turun dari kenderaan dan berdiri di muka pintu bertentangan Sara. Dia tidak masuk ke dalam. Hanya menurunkan Sara bersama pengawal dan pembantu peribadi sahaja. Sebentar lagi dia akan keluar semula untuk menuju ke destinasi lain.

Mendengar kata-kata Ian, secara tiba-tiba mata Sara bagai bersinar. Otak geliganya mula memikirkan sesuatu. Hurm..

“Ingat! Kau jangan berani keluar atau cuba nak lari. Kalau tak siap kau aku kerjakan!” Sempat Ian memberi amaran.

“Baik, tuanku. Patik menurut perintah tuanku,” balas Sara dalam sindiran.

Menyampah! Penat telinganya mendengar amaran yang sama diucapkan Ian.

Ian hampir tergelak dengan reaksi spontan Sara. Loyar buruk juga perempuan ni. Lalu Ian menghulurkan tangan kanannya ke arah Sara.

“Salam,” ucap Ian sepatah.

“Untuk apa?” Sara menyoal tidak faham.

“Aku suami kau. Kau kena salam tangan aku.”

Hek! Sara mencebik. Tak inginlah nak salam tangan mamat ni.

“Cepatlah! Atau kau nak aku paksa kau?!”

Dalam riak muka yang masam mencuka Sara terpaksa menuruti kehendak lelaki ‘arrogant’ itu.

“Cium sekali.”

Eee melampaulah mamat ni. Siap suruh cium tangan pulak. Benci!

“Cepatlah!”

Nak tak nak Sara turutkan jua. Tangan Ian dikucup dalam terpaksa. Sementara Ian tersengih macam kerang busuk. Seronok dapat membuli isteri sendiri.

Ian kemudian berlalu ke arah kenderaan yang berada di halaman rumah. Dia akan memandu sendiri. Pemandu peribadi pula ditinggalkan di rumah bersama orang bawahannya yang lain. Mereka semua diarahkan untuk mengawal dan menjaga Sara.

Sebaik sahaja kelibat Range Rover yang dipandu Ian hilang dari pandangan, hujung bibir Sara terjongket ke atas. Riak wajahnya bertukar gembira.

‘Pergilah lama-lama wahai suamiku. Aku tahu nak buat apa semasa kau tak ada.’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience