BAB 2

Romance Completed 362980

HELAIAN kertas yang terlampir di atas meja kaunter dihulurkan oleh seorang lelaki.

“Ini jumlah kos keseluruhannya, cik.”

“RM50,000…”

Desis Alyka perlahan sambil membetulkan bingkai cermin mata rabun yang dipakai. Hampir terduduk saat tangannya mencapai helaian kertas berkenaan.

Sambil menghela nafas panjang, Alyka meneliti amaun yang tercatat. Terlalu besar. Apatah lagi untuk seseorang yang berpendapatan kecil sepertinya. Di mana mahu dicari wang sebanyak itu dalam kadar segera?

“Okey. Terima kasih.”

Lalu Alyka berjalan keluar dari bangunan tersebut. Fikirannya masih ligat berfikir mengenai perihal perkara tadi.

Tika kaki melangkah menuju ke stesen LRT berdekatan, dia terdengar bunyi panggilan telefon dari dalam beg sandang. Lantas dikeluarkan telefon itu.

“Helo...”

“Sara.” Suara lunak si pemanggil menyapa.

“Jes, ada apa?”

“Aku nak jumpa kau. Aku tunggu kau di Starbucks Bukit Bintang sekarang.”

“Aa—“

Belum sempat dia membalas, panggilan terlebih dahulu ditamatkan. Alyka mendengus nafas sambil mengetap bibir.

Lalu dikeluarkan kad Touch N Go dari poket jeans sebelum disentuh ke mesin berpalang automatik untuk memasuki kawasan Stesen LRT.

Setengah jam kemudian, Alyka tiba di hadapan sebuah bangunan. Terletak berhampiran persimpangan Lintasan Bukit Bintang. Yang juga dikenali sebagai laluan lintasan pejalan kaki ala ‘Shibuya Crossing’ di Tokyo.

Pintu kafe ditolak sambil matanya meliar mencari-cari wajah seseorang. Dari jauh terlihat kelibat seorang gadis sedang melambai tangan ke arahnya.

Jesrina, si teman baik merangkap rakan sekuliah dan rakan sebilik dari zaman universiti. Disebabkan kesibukan dengan urusan kerjaya masing-masing, mereka sudah jarang berhubungan. Hanya sesekali bertemu.

“Sara, duduk.” Gadis itu menjemput bersama segaris senyuman.

Alyka mengambil tempat di kerusi bertentangan. Dia menolak saat temannya mempelawa untuk membelikan minuman. Dia tidak bercadang untuk singgah lama ke sini.

“Sara, aku ‘straight to the point’ aje ye. Aku nak jumpa kau hari ni atas satu sebab…” Jesrina memulakan bicara.

“Sebab apa?” Alyka menyoal dalam curiga. Keningnya sedikit bertaut.

Tanpa membuang masa, Jesrina menceritakan tentang apa yang berlaku dan tujuan pertemuan mereka berdua hari ini. Berkerut-kerut dahi dan mimik muka Alyka saat mendengar kisah yang diceritakan.

Dan apabila si teman baik mengajukan satu cadangan, matanya terus membuntang. Laju Alyka menggeleng. Usul Jesrina langsung tidak dipersetujui.

“Aku tak boleh,” ucap Alyka dengan tegas.

“Sara, kau je yang boleh tolong aku. Sebab dia tak pernah kenal siapa kau. Please, Sara. Kau kawan baik aku.” Jesrina merayu.

Hembusan keluhan berat terluah. Alyka membelek ke foto seorang lelaki muda yang terpapar di skrin telefon.

Kacak. Penuh bergaya. Punya aura tersendiri. Tak mustahil ramai wanita di luar sana mudah cair hanya dengan melihat paras rupanya sahaja. Termasuklah teman baiknya yang seorang ini. Sehingga diri terjerumus menjadi mangsa cinta palsu.

“Sara, kerja ni bukan ‘free’. Aku akan bayar kau. Berapa pun jumlah yang kau minta. Please, Sara. Tolong aku…” Jesrina masih belum berputus-asa memohon.

Saat itu reaksi wajah Alyka berubah. Pandangannya bercahaya ketika Jesrina menyebut soal bayaran. Hurm, tugasan yang ada upah. Menarik.

“RM50,000.00?” Alyka membuat tawaran.

Jesrina sedikit tersentak. Banyaknya! Kerja mudah sahaja tapi minta upah sampai lima puluh ribu? Namun, dia cuba bertoleransi. Tak mengapa. Jumlah itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan kepuasan saat dia melihat jejaka sombong dan angkuh yang telah mempermainkan perasaannya jatuh tersungkur kelak.

“Fine. Aku akan bayar kau RM50,000 bila tugasan kau selesai nanti.”

Hujung bibir Alyka terjungkit. Gembira. Tidak perlu lagi dia bersusah-payah. Apa sahaja sanggup dilakukan demi wang yang diperlukan.

“Okey, aku setuju. So, bila kita nak start ‘tundukkan’ si Ian Khalif tu?”

Alyka dengan penuh yakin bertanya. Tidak sabar-sabar ingin memulakan ‘tugasan’ tersebut.

“Kita mulakan secepat mungkin. Cepat dia ‘jatuh’, cepat kerja kau selesai.”

Yes. Dan cepat juga dia akan mendapat bayaran upah seperti yang didambakan. Terbayang-bayang jumlah wang berkepuk dilambakkan di hadapannya. Bibir Alyka dihiasi senyuman.

Namun, waktu itu ada sedikit getar di benaknya. Wajah lelaki muda sang ‘buaya’ yang terpapar di skrin telefon ditenung lama.

Ian Khalif. Mampukah aku ‘tundukkan’ kau?

We’ll see.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience