Bab 4 - Redhakan

Romance Completed 113370

Nuha tersentak. Matanya terbeliak luas. Nafasnya memburu, seiring degup jantung yang tiba-tiba jadi tidak menentu. Untuk beberapa saat, dia hanya mampu memandang Mama di hadapannya, seolah-olah baru tersedar lantai yang dipijaknya sedang retak perlahan.

Mama sudah tahu?

Lebih awal daripada dia?

Jadi semalam, ketika Seth menyuarakan permintaan itu dengan wajah konon penuh bersalah… Mama sebenarnya sudah pun berada di pihak Farah?

Mama Seth tidak segera berpaling. Wajahnya tetap tenang, terlalu tenang untuk berita yang sepatutnya menggemparkan rumah tangga.

“Seth dah cerita semuanya,” kata Mama, suaranya rata. “Dan Mama dah jumpa Farah. Mama sendiri temankan dia jumpa doktor untuk pastikan dia betul-betul mengandung.”

Ayat itu memukul Nuha tepat di dada. Tenaganya seakan mengalir keluar. Kalau dia berdiri, mungkin lututnya sudah lembik. Dia hanya mampu duduk kaku, menahan rasa pening yang datang bersama gelombang pengkhianatan baru.

Rupanya semuanya sudah bergerak jauh, jauh di luar jangkaannya. Dan lebih menyakitkan, orang yang Nuha anggap harapan terakhir untuk menahan Seth… rupanya menjadi orang yang membuka pintu untuk Farah masuk.

Mama menyambung, seolah-olah itu hanya perkara biasa.

“Jadi Mama fikir permintaan Seth untuk berkahwin dengan Farah tu keputusan paling baik untuk kamu semua.” Mama memandang Nuha, tenang dan tegas. “Farah mengandung. Maknanya… anak yang Seth tunggu selama ni ada dalam rahim dia. Apa salahnya kamu bagi restu, Nuha? Seth cuma nak kahwin dengan Farah, bukan ceraikan kamu. Kamu tetap menantu Mama sampai bila-bila. Walaupun ada Farah nanti.”

Darah Nuha mendidih. Kata-kata itu menyiram garam ke atas luka yang masih berdarah. Dia menggenggam hujung kerusi kuat-kuat, menahan diri daripada menjerit kerana satu-satunya sebab yang masih tinggal dalam dirinya, hormat pada orang tua.

“Apa-apa pun, Seth perlukan warisa,” Mama menyambung lagi, kali ini lebih dalam, lebih menekan. “Depan kamu, Seth nampak kuat. Tapi Mama tahu… dia dah lama nak dukung darah daging dia sendiri. Itu yang kamu belum mampu bagi selama ni, kan? Jadi redha jelah dengan keputusan yang kami buat. Insya-Allah ini yang terbaik untuk semua.”

Nuha mengangkat muka. Matanya merah, tetapi suaranya masih cuba teratur.

“Bukan tak mampu, Ma,” katanya, berusaha menahan getar. “Cuma belum rezeki lagi. Saya dengan Seth… doktor kata kami sihat. Tak ada masalah.”

Mama mengangguk perlahan, tetapi bukan tanda setuju. Lebih seperti tanda “aku faham, tapi itu tak ubah apa-apa”.

“Nuha, Mama faham.” Mama meletakkan sudu, memandang Nuha tanpa goyah. “Maksudnya Allah belum bagi rezeki tu dari rahim kamu. Jadi apa salahnya kalau rezeki untuk keluarga kita datang dari rahim Farah? Kami tak salahkan Seth atas apa yang berlaku… sebab kami cuba faham apa yang dia rasa selama ni.”

Nuha berdiri mendadak. Kerusi berdecit halus. Sesak naik ke dada, menolak naik ke tekak.

Kata-kata Mama menghentamnya seperti tukul besi
. Yang paling menyakitkan, nama Allah digunakan untuk membenarkan sesuatu yang jelas salah. Nuha menahan nafas, cuba menelan marah yang hampir tumpah.

“Kami?” suaranya hampir berbisik. “Apa maksud Mama dengan ‘kami’?”

Dia menghela nafas, lalu menatap Mama tajam, kali ini tidak mampu lagi menyembunyikan luka.

“Mama tak nak salahkan Seth… jadi siapa patut salah? Saya, Ma?”

Mama memandang Nuha dalam-dalam, masih dengan ketenangan yang membuat Nuha rasa seperti dia yang sedang disalahkan kerana gagal “menjadi sempurna”.

“Mama dan Hana,” jawab Mama akhirnya. “Kami dah tahu pasal Farah sejak awal, Nuha. Seth tak sorok apa-apa dari kami. Kami keluarga dia.”

Nuha berundur selangkah, seperti baru saja ditampar.

Jadi pengakuan Seth tentang “khilaf” itu… hanya lakonan?

Maknanya hubungan itu bukan terjadi “tak sengaja”. Maknanya Seth sudah lama menyimpan Farah, dan keluarganya merestui.

“Jadi Mama dan Kak Hana dah tahu pasal curang ni dari dulu lagi?” Suara Nuha pecah. “Saya seorang yang bodoh… tak tahu apa-apa? Mama… restu benda ni?”

Mama mengangguk, wajahnya penuh keteguhan.

“Nuha, Mama restu.” Nada Mama tidak berubah. “Nak buat macam mana lagi? Bila Seth mengaku Farah dah hamil, Mama dan Hana tak boleh buat apa-apa. Lagipun Mama dah pesan kat Seth, dia tak boleh ceraikan kamu walau apa jadi. Kamu tetap menantu terbaik Mama, Nuha. Dan kamu dengan Farah kawan, kan? Senanglah kamu berdua nak terima keadaan. Lima tahun bukan sekejap.”

Dadanya terasa seperti dihentam badai. Nuha terkedu. Perkataan-perkataan itu tersekat di kerongkong, tetapi api dalam dada semakin marak. Sakit, marah, kecewa, semuanya bercampur, membakar seluruh tubuhnya.

“Jadi sebab saya belum ada anak…” Nuha menahan esak. “Mama sanggup tengok Seth khianat saya?”

Dia ketawa kecil, ketawa yang lebih mirip tangis.

“Ini yang Mama panggil keluarga? Cinta?”

Nuha menelan nafas. Lalu dia melontarkan soalan yang selama ini dia simpan, soalan yang dia tahu akan memalukan tetapi perlu.

“Mama pernah fikir tak… kalau Kak Hana di tempat saya? Kalau anak Mama sendiri diperlakukan macam ni oleh keluarga suami dia?” Nuha memandang Mama penuh luka. “Mama tak sakit hati?”

Mama menghela nafas perlahan. Dia bersandar pada kerusi, dan pandangannya jatuh pada hidangan di meja, makanan yang masih tidak terusik, tetapi kini terasa seperti simbol betapa kecilnya perasaan Nuha di rumah itu.

“Ini bukan soal cinta,” kata Mama, suaranya makin tegas. “Ini soal keluarga. Soal keturunan. Kamu tahu betapa pentingnya cucu untuk kami. Lagi-lagi dari anak lelaki.”

Mama berhenti seketika, kemudian menyambung dengan nada yang lebih tajam, seolah-olah mahu mengunci hujah Nuha.

“Dan kamu tak boleh bandingkan diri kamu dengan Hana. Tujuh tahun perkahwinan, dah ada dua cucu. Kalau bukan sebab perancang… Mama yakin mesti banyak lagi. Tapi kamu, Nuha… kamu lain. Kamu dengan Seth lain. Tak boleh nak samakan.”

Nuha menggeleng perlahan, tidak percaya apa yang didengarnya.

“Ingatkan Mama sayang saya,” katanya, suara hancur, “...akan bela saya.”

Dia menahan tangis, tapi gagal.

“Tapi rupanya Mama… restu curang ni? Mama ungkit kekurangan saya macam ni?”

Mama bangun sedikit, lalu menepuk bahu Nuha perlahan, seolah menenangkan anak kecil yang merajuk.

“Nuha, jangan salah faham,” kata Mama, lembut pada permukaan tetapi keras di dalam. “Mama sayang kamu. Tapi ini tanggungjawab Seth sebagai anak Mama. Keluarga kita perlukan waris, dan Farah boleh—”

“Saya pun boleh!” Nuha hampir menjerit, suaranya pecah, kerana dia sendiri sedar ayat itu kedengaran lemah.

“Saya cuma perlukan masa lagi untuk—”

“Lima tahun bukan sekejap, Nuha.” Nada Mama jadi lebih dingin. “Mama dah bagi kamu berdua peluang. Tapi ini bukan semata-mata soal masa… ini soal kenyataan. Kamu dah cuba. Tapi hasilnya?”

Mama mengetuk meja perlahan, seolah menekankan satu kata yang paling menyakitkan.

“Kosong.”

Nuha terdiam. Setiap perkataan Mama terasa seperti pisau yang menyayat perlahan-lahan. Dia mahu menjerit, mahu memukul meja, mahu memecahkan pasu bunga mawar itu, tetapi dia cuma mampu menahan, menahan, dan menahan.

“Mama…” Suara Nuha melemah, tinggal harap yang sisa. “Tak ada sedikit pun simpati untuk saya? Mama tak rasa sakit saya?”

Esaknya semakin kuat.

“Jadi apa Mama nak saya buat?” Nuha mengangkat muka. “Mengalah? Biar perempuan perampas tu masuk rumah tangga saya macam tu je?”

Wajah Mama berubah lebih serius. Matanya menatap lurus, tajam.

“Mama tak suruh kamu buat apa-apa,” katanya. “Tapi kalau kamu cintakan Seth, kamu akan faham apa yang terbaik untuk dia. Kalau kamu cintakan keluarga ni, kamu tahu apa yang kamu perlu buat. Kebahagiaan sebenar… ialah bila kita tengok orang yang kita sayang ketawa dan bahagia.”

“Walaupun saya yang kena telan sakit?” Nuha membalas, getar suaranya jelas.

“Itulah pengorbanan,” jawab Mama tanpa ragu. “Hidup ni ujian, Nuha. Anggaplah ini ujian kamu. Mama yakin kamu boleh laluinya.”

Nuha menggigil. Dia tidak menyangka hari ini akan jadi begini. Dia datang membawa harapan… tetapi pulang dengan rasa dikhianati sekali lagi.

Mama menyambung, kali ini lebih santai, seolah-olah keputusan sudah muktamad.

“Tak ada apa berubah lepas ni. Semua tetap sama. Lepas kahwin nanti, Farah Mama bawa tinggal kat rumah ni. Jadi tak ganggu kehidupan kamu dengan Seth. Mama yang akan urus. Mama yang tanggung.”

Dengan tenang, Mama mula mencedok nasi ke dalam pinggannya, seolah-olah perbualan tadi hanya angin lalu.

“Makanlah, Nuha.” Mama menyuap nasi. “Kamu kena kuat. Kamu perlukan tenaga untuk lapang dada hadap semua ni.”

Nuha mengumpul sisa kekuatan yang tinggal. Dia berdiri, menolak kerusi ke belakang, lalu berjalan keluar, tanpa salam, tanpa izin, tanpa mampu lagi berpura-pura dia masih “menantu yang baik”.

Dari belakang, suara Mama mengejarnya, tenang tetapi tajam.

“Kalau kamu tak nak dimadukan, tak apa.” Mama berkata. “Pilihan cerai mungkin terbaik untuk kamu. Tapi bukan untuk ibu kamu, Nuha. Fikir baik-baik sebelum kamu buat keputusan. Mama yakin kamu bijak.”

Nuha tidak menoleh.

Dia terus melangkah keluar dari rumah yang dulu dia anggap syurga kedua selepas rumah kecilnya di kampung. Kini rumah itu terasa seperti mahkamah yang sudah menjatuhkan hukuman sebelum dia sempat membela diri.

Di luar, angin petang menyapa, tetapi Nuha tidak rasa apa-apa lagi selain panas yang membakar dalam dada.

Dia mengesat pipinya yang basah, lalu berbisik dengan suara yang penuh tekad, penuh dendam yang akhirnya bangun.

“Kalau itu yang Mama nak… baik.” Nuha menggigit bibir, matanya tajam. “Aku ikut permainan kamu semua. Kita tengok… siapa yang akan menang.”

Share this novel

salina Sa'amin
2026-07-18 20:07:56 

kno x bt nk bli coin terlapau mhl rakyat marhaen cam kami ni x mampu,ni unk org yg have2 je la lbh bc?

Roses
2026-04-17 23:50:57 

emosi juga

zila
2026-01-30 15:16:20 

Emosi juga membacanya.. Best


NovelPlus Premium

The best ads free experience