Completed
113370
Nuha menghela nafas panjang sebaik sahaja enjin kereta dimatikan. Dia turun perlahan, lalu berdiri kaku di sisi kenderaan, memandang bangunan besar di hadapannya. Rumah itu bukan asing, dia sudah berkali-kali datang ke sini. Namun entah mengapa, kali ini setiap langkah terasa seperti ada beban yang menariknya ke belakang.
Di depan pagar, Nuha menelan air liur. Dadanya berdebar, bukan kerana takut pada rumah itu, tetapi kerana apa yang akan dia pecahkan di dalamnya.
Dalam hati, Nuha memujuk dirinya sendiri.
“Ini je yang aku boleh buat sekarang,” dia meredakan getar dalam dada. “Sekarang ni cuma Mama je harapan untuk batalkan permintaan Seth tu. Seth mesti dengar Mama cakap… Kalau Mama suruh dia tinggalkan Farah, mesti dia ikut.”
Dia melangkah masuk ke halaman rumah, jari-jemarinya menggenggam tali beg erat, seakan itu satu-satunya benda yang boleh menahan dirinya daripada runtuh. Rumah itu tetap sama, besar, tenang, dan kemas. Rumah yang penghuninya selama ini selalu menyambut Nuha dengan hangat. Seorang wanita yang melahirkan Seth ke dunia, tetapi tidak pernah memandang Nuha dengan hina hanya kerana rahim Nuha masih kosong.
Mama bukan jenis ibu mertua yang suka menekan atau membanding-banding. Mama jauh daripada stereotaip cerita novel. Mama selalu mengabaikan “kekurangan” Nuha dengan senyuman dan doa.
Namun hari ini, Nuha datang bukan untuk makan gulai ayam kampung atau bertanya khabar. Dia datang untuk meminta sokongan. Mama mesti tahu permintaan anak lelakinya, permintaan yang meluluhkan hati Nuha.
Dan lebih menyakitkan, suara Farah semalam masih menjerit dalam kepalanya, seperti bayang-bayang yang tidak mahu pergi.
“Buatlah apa kau nak, Nuha! Silakan! Tapi kalau orang luar hina aku, Seth pun akan terkena sama. Keluarga mertua kau pun takkan terlepas. Aku takkan hancur sorang-sorang, Nuha. Kalau aku jatuh, Seth pun ikut sekali. Kehamilan ni takkan jadi kalau aku seorang je buat, kan? Kau dah fikir semua risiko tu? Kau betul-betul sedia? Kerjaya Seth akan musnah dengan semua kecaman ni!”
Ayat itu membuat Nuha tidak lena tidur semalaman. Setiap kali mata terpejam, kata-kata itu kembali, menekan-nekan kesedarannya sampai dada terasa sesak. Dan akhirnya Nuha membuat keputusan yang terasa paling logik, walau pahit, Mama mesti tahu semuanya. Mereka perlu berbincang tentang langkah seterusnya, kerana Nuha tidak boleh terus bergerak dengan emosi semata-mata.
Dia menekan loceng.
Pintu rumah terbuka perlahan. Wajah Mama muncul di ambang pintu, dengan senyuman hangat seperti biasa. Senyuman yang selalu membuat Nuha rasa disayangi… dan hari ini, membuat tekaknya tersumbat kerana dia tahu dia datang membawa ribut.
“Assalamualaikum, Ma. Mama sihat?” Nuha menghulurkan tangan.
Mama menyambut tangan itu, lalu Nuha mencium tangan ibu mertuanya dengan takzim seperti selalu. Pelukan hangat menyusul selepas itu, pelukan yang membuat Nuha hampir menangis di situ juga.
“Seorang je?” Mama melepaskan pelukan, tetapi tangannya masih memegang lengan Nuha penuh lembut. “Masuklah, Nuha.”
“Ya, Ma… Nuha seorang je,” jawab Nuha perlahan. “Maaf ganggu Mama.”
“Ganggu apa pulak,” Mama tersenyum. Dia menarik Nuha masuk seperti anak sendiri. “Kamu pun dah lama tak datang sini. Hampir dua bulan. Kamu sibuk?”
Soalan itu menusuk. Nuha tercekat. Mama benar, dia sudah lama tidak menziarah.
Bukan kerana kerja. Nuha sebenarnya mengelak. Dia tidak sanggup menatap mata Mama yang sentiasa menyimpan harapan yang sama, tangisan bayi dari satu-satunya anak lelaki Mama.
Mama sudah menjadi janda sejak dua tahun lalu. Arwah Papa pergi secara tiba-tiba, pagi-pagi dikejutkan, rupa-rupanya arwah sudah tidak bernyawai, denyut nadi terhenti. Sejak itu Mama mengurus hidupnya sendiri. Ada pencen, dan ada kebun sawit peninggalan arwah yang menjadi sumber pendapatan. Mama tidak pernah menyusahkan anak-anak. Keperluannya cukup, malah lebih daripada cukup.
“Maaf, Ma,” Nuha akhirnya menjawab, nada bersalah jelas terasa.
Mama tidak menekan lagi. Dia hanya memimpin Nuha masuk, langkahnya terus menuju ke ruang makan.
“Masuklah. Kebetulan Mama baru masak gulai ayam kampung dengan urap,” kata Mama ceria. “Kegemaran kamu, kan? Kebetulan betul hari ni, Nuha.”
Nuha menelan liur, cuba menahan air mata yang hampir tumpah. Ada sesuatu yang menusuk, hangat Mama, perhatian Mama, kasih Mama… semuanya membuat Nuha rasa bersalah kerana apa yang dia bakal dedahkan.
Mama sangat menyayanginya. Menganggap Nuha seperti anak sendiri. Tidak pernah memandang Nuha sekadar menantu, sekadar perempuan yang dinikahi oleh anaknya.
“Terima kasih, Ma,” jawab Nuha, mengekori Mama.
Mereka melalui ruang tamu dan ruang keluarga. Di atas meja makan, bunga mawar dalam pasu kelihatan masih segar. Harumnya memenuhi ruang, menambah rasa sayu yang tidak diminta.
“Marilah makan dulu. Sementara masih panas ni,” Mama berkata sambil menyusun pinggan. “Mama pun belum makan. Kita makan sama-sama.”
Mama bergerak lincah. Nuha hanya duduk diam. Dia sudah hafal, Mama tidak suka dibantu. Anak dan menantu cukup duduk, cukup makan.
“Sunyi je,” Nuha cuba mengalihkan sedikit perhatian, walaupun dadanya masih menekan. “Bik Yanti mana, Ma?”
Sepasang suami isteri tinggal bersama Mama, membantu kerja-kerja rumah. Yanti mengurus bahagian dalam, manakala Beni mengurus halaman dan kebersihan luar.
“Yanti dengan Beni keluar beli barang rumah,” jawab Mama. “Awal bulan, kan? Kamu tahu jelah… Mama paling malas nak beli belanja macam tu.”
Nuha tersenyum nipis. Mama memang begitu, malas urus belanja besar, tetapi kalau bab dapur, sayur, dan rempah ratus, Mama sanggup berpusing satu pasar.
Nuha menarik nafas panjang. Sekarang atau tidak langsung.
“Ma… boleh kita cakap dulu sebelum makan?”
Tubuh Mama yang baru duduk di seberang meja kaku seketika. Dahinya mengerut, tatapannya menunjukkan kebingungan yang perlahan-lahan bertukar curiga.
“Sekarang?” tanya Mama. “Tak boleh lepas makan dulu?”
Nuha menggeleng. Perutnya kosong sejak semalam, tetapi selera makannya sudah hilang sejak Seth melafazkan ayat yang memecahkan hidupnya. Teh hangat dan potongan buah semalam pun masuk tanpa rasa.
Dia mengumpul kebeHanan, menahan getar dalam suara.
“Sebenarnya… Nuha nak mengadu kat Mama,” katanya perlahan. “Nuha tak tahu apa patut Nuha buat sekarang. Mungkin Mama boleh bagi pendapat.”
Wajah Mama menegang. Tatapannya lurus. Dan tiba-tiba Nuha dilanda takut, bagaimana kalau Mama tidak mampu menerima kenyataan ini? Bagaimana kalau Mama jatuh sakit kerana terkejut? Jika sesuatu terjadi pada Mama, Nuha tahu rasa bersalah itu akan membunuhnya.
“Nuha nak cakap pasal Seth, Ma,” sambung Nuha. “Pasal apa yang dia buat belakang Nuha selama ni.”
Wajah Mama berubah, bukan marah, bukan terkejut. Lebih kepada tenang yang pelik. Terlalu tenang untuk topik seperti itu.
“Apa yang Seth buat belakang kamu, Nuha?” tanya Mama lembut… namun hujung suaranya ada dingin yang halus.
Nuha menahan nafas. Ini lebih sukar daripada yang dia bayangkan. Lidahnya terasa kelu. Tetapi dia tidak ada jalan lain. Jika Seth tidak dengar dia, mungkin Seth akan dengar Mama.
Seth sangat sayang ibunya. Dan Nuha yakin, kalau Mama bersuara, Farah boleh “disingkirkan” dengan cara yang lebih… berhemah. Paling tidak, perkahwinan itu boleh dibatalkan.
“Seth… khianat Nuha, Ma,” kata Nuha akhirnya, suara pecah. “Seth curang belakang Nuha.”
Mama diam. Wajahnya datar. Reaksinya tidak seburuk yang Nuha sangka, dan itu membuat Nuha semakin tidak sedap hati.
“Mama tahu Farah, kan?” Nuha menyambung, suara bergetar.
“Dia… dia buat belakang Nuha. Khianati kepercayaan Nuha.” Nuha menarik nafas, lalu melontarkan ayat yang paling menyakitkan. “Sekarang ni… Farah mengandung, Ma. Anak Seth. Sekarang ni Seth minta izin dengan Nuha untuk kahwin dengan Farah.”
Tangis Nuha meledak. Dia benar-benar tidak mampu menahannya lagi. Dia cuba keras, cuba tegar… namun gagal juga. Air matanya jatuh tanpa malu.
Mama menghela nafas panjang. Kemudian dia menatap Nuha dengan pandangan yang lebih tajam, seolah-olah menilai bukan hanya cerita, tetapi langkah yang Nuha mahu ambil selepas ini.
“Jadi…” Mama bertanya lembut. “Apa jawapan kamu, Nuha?”
Nuha tersentak.
Kenapa Mama nampak begitu tenang? Kenapa Mama tidak terkejut? Kenapa Mama tidak terus bangun marah?
“Apa maksud Mama?” Nuha membalas, suaranya mula meninggi kerana panik dan marah yang bercampur. “Nuha datang sebab Nuha harap Mama boleh tegur Seth. Ini salah, Ma. Ini tak betul. Seth tak boleh bawa madu masuk dalam rumah tangga kami. Nuha tak nak dimadukan!”
Keheningan menggantung di antara mereka, berat dan menyesakkan. Mama menatap Nuha tajam, tatapan seorang ibu yang sedang menimbang sesuatu yang besar, sesuatu yang sudah lama tersimpan.
Perlahan-lahan, Mama bangun dari kerusinya. Dia berjalan ke arah tingkap besar di sisi ruang tamu, berhenti di situ dengan membelakangi Nuha. Lama dia diam, seolah-olah sedang menenangkan sesuatu dalam dirinya sendiri.
Nuha menunggu, dada berombak. Jantungnya berdegup keras.
Dan akhirnya Mama bersuara, tenang, jelas, tetapi cukup untuk meruntuhkan semua harapan yang Nuha bawa dari luar tadi.
“Mama dah tahu,” kata Mama perlahan. “Sebelum Seth minta izin kat kamu, Mama dah tahu dulu.”
Nuha membeku.
Seolah-olah lantai hilang di bawah kakinya, seolah-olah udara di sekeliling tiba-tiba menipis.
Mama sudah tahu?
Maksudnya… sejak bila?
Dan kenapa Mama diam?
Share this novel