Completed
113370
“Dah berapa lama?”
Nuha menatap perempuan di hadapannya dengan tajam. Meja bundar kecil yang memisahkan mereka terasa seperti tembok tebal, bukan sekadar kayu dan besi, tetapi penghalang yang menahan segala emosi yang hampir meletup dari dadanya.
“Apa maksud kau?” tanya Farah, mata bulatnya mempamerkan wajah pura-pura tidak tahu.
Nuha tidak lagi mahu menjadi wanita yang lemah. Semalam dia sudah terlalu banyak menangis, menumpahkan segala kecewa di atas hamparan sejadah panjang, memohon kekuatan daripada Tuhan saat hatinya terasa seperti diragut hidup-hidup. Namun hari ini dia tidak datang untuk merayu, bukan juga untuk meratap. Dia datang untuk menuntut kebenaran dan menuntut harga.
Jika Seth dan Farah yang memulakan semua ini, Nuha berjanji pada dirinya, dia akan melayan mereka sampai noktah.
“Jangan buat-buat baik,” suara Nuha rendah, tetapi tajam seperti bilah. “Tak payah nak berlakon. Kau tahu sangat apa yang aku tanya.”
Farah menelan liur, tetapi masih cuba memelihara topeng bersalah yang dibuat-buat. Nuha dapat melihatnya dengan jelas, cara Farah mengelak tatapannya, cara jari-jarinya bermain di tepi cawan, cara bibirnya bergetar seolah dia mangsa keadaan.
Nuha hampir ketawa. Betapa mudah manusia menukar peranan, dari pelaku menjadi “terpaksa”.
Dia menghela nafas perlahan, mencondongkan badan ke depan. Jemarinya menggenggam rapat di atas meja, menahan getaran yang bukan lagi semata-mata sedih, tetapi marah yang sudah lama dipendam.
“Berapa lama kau jalinkan hubungan dengan suami aku?”
Farah memalingkan muka, seakan mencari ayat yang paling selamat untuk memutar belit. Dia tunduk seketika sebelum mengangkat wajahnya semula. Wajah itu berusaha kelihatan menyesal.
“Nuha… bukan macam yang kau fikir. Kami tak—”
“Jangan nak tipu!” potong Nuha, kali ini suaranya lebih keras.
Beberapa orang di kafe menoleh, tetapi Nuha tidak peduli. Dalam hidupnya, dia sudah terlalu lama menjaga maruah orang lain, terlalu lama menutup aib dengan alasan ‘jangan malukan keluarga’. Hari ini, dia tidak datang untuk menjadi baik.
“Aku tahu semuanya, Farah. Aku dah baca mesej-mesej korang. Kau tak payahlah nak sembunyi dengan lakonan kau tu lagi.”
Farah terdiam, bibirnya menggigil halus.
“Aku… aku tak berniat nak sakiti kau,” gumamnya perlahan.
Nuha menyandar seketika, seolah ayat itu membuatkan dadanya semakin sempit.
“Tak berniat nak sakiti aku?” Nuha mengulang, nada sinis menitis di hujung setiap perkataan. “Kau tidur dengan suami aku di belakang aku. Kau ingat itu tak sakit?”
Mata Farah mula bergenang. Dia menggigit bibir, cuba menahan tangis yang mahu pecah.
“Aku jatuh cinta kat dia,” Farah berkata akhirnya, suara bergetar. “Aku tak mampu nak hentikan perasaan tu. Dan… rupanya bukan aku seorang je yang rasa macam tu. Hari demi hari kami bersama, lama-lama perasaan tu jadi makin kuat. Semua tu berlaku tanpa aku sedar, di luar kawalan.”
Nuha menggeleng perlahan, senyuman pahit terukir tanpa rela. Dia memandang Farah seolah-olah sedang menatap sesuatu yang asing, perempuan yang dulu dia anggap sahabat sampai mati.
Farah, nama itu pernah menjadi bahu untuk Nuha bersandar, telinga untuk meluah. Mereka berkawan sejak zaman universiti. Sama-sama perantau dari negeri yang sama, walau daerah berbeza. Tahun kedua, mereka berkongsi bilik, berkongsi duit makan, berkongsi mimpi. Mereka tamat pengajian pada hari yang sama, bergambar dengan jubah konvokesyen dan gelak yang kononnya ikhlas.
Dan hari ini, perempuan itu duduk di hadapannya, mengaku “jatuh cinta” pada suaminya.
Nuha meraup udara, menahan rasa sakit yang membuak kembali.
“Kau mungkin lupa,” katanya perlahan, tetapi setiap suku kata menekan. “Kau lupa apa peranan aku dalam hidup kau.”
Farah memandangnya, teragak-agak.
“Bila pejabat kau buang pekerja, apa yang kau buat?” Nuha menyambung, suaranya makin keras. “Kau datang merayu kat aku, suruh carikan kerja. Lepas dengar ada kekosongan kat tempat kerja suami aku, kau minta lagi. Aku pujuk Seth, aku yakinkan dia supaya bagi kau peluang. Aku yang jadi orang tengah.”
Nuha berhenti sekejap, menelan sesak yang tiba-tiba naik ke kerongkong.
“Tengoklah apa hasilnya?” dia ketawa kecil, ketawa yang lebih mirip luka. “Kau pijak aku. Kau tikam aku dari belakang. Lepas aku tolong kau, kau pilih jalan buat aku mati perlahan-lahan.”
Farah menunduk, bahunya terhenjut kecil. “Maafkan aku Nuha… aku sendiri tak faham kenapa perasaan tu datang. Aku cuba jauhkan diri, tapi aku… gagal.”
“Kau panggil ini cinta?” Nuha mencelah, suaranya dingin. “Kau tahu lelaki yang kau kata kau cinta tu suami orang. Isterinya pernah makan satu meja dengan kau. Pernah ketawa dengan kau. Tapi kau tetap buat juga. Itu bukan cinta, Farah. Itu ego. Itu tamak.”
Farah teresak. “Aku tak nak semua ni jadi…”
“Aku tak nak dengar,” Nuha menyampuk kasar. “Aku cuma nak kau jawab satu benda. Berapa lama?”
Farah diam lama. Nafasnya berat, seolah-olah jawapan itu batu yang tersangkut di dada. Akhirnya dia bersuara, serak, hampir tidak kedengaran.
“Lapan bulan.”
Dunia Nuha seolah-olah berhenti lagi. Lapan bulan.
Lapan bulan mereka menghancurkan hidupnya sambil dia masih bergelar isteri yang setia. Lapan bulan mereka pandai menutup segalanya, pandai tersenyum di hadapannya, pandai bersalaman seolah tiada apa.
Nuha mengangkat kening, pandangannya tajam dan beku.
“Kau puas?” soalnya, nada terlalu tenang sampai menakutkan.
Farah menangis lebih kuat, tetapi Nuha tidak lagi tersentuh. Tangisan itu tidak memadam dosa, tidak membetulkan kerosakan, tidak menampal maruah yang tercalar.
“Lapan bulan dengan dia… berbaloi sampai kau sanggup hancurkan rumah tangga aku yang aku bina bertahun-tahun?” Nuha menyambung. “Berbaloi sampai kau sanggup khianat semua yang aku buat untuk kau?”
“Aku… aku tak tahu…” Farah tersekat-sekat. “Aku menyesal. Menyesal sangat-sangat. Aku tak pernah berniat pun untuk sakitkan siapa-siapa, terutamanya kau.”
Nuha memandangnya tanpa belas.
“Penyesalan kau tak ubah apa-apa. Kau dah buat. Kau dah hancurkan.”
Farah menyeka air mata, kemudian bersuara, seolah cuba menyelamatkan dirinya dengan alasan yang sama yang Seth guna.
“Aku minta maaf… aku sanggup buat apa je supaya kau maafkan aku. Tapi jangan suruh Seth gugurkan bayi ni. Aku tak nak tambah dosa. Kami dah sepakat nak pertahankan kandungan ni. Lagipun… Seth dan keluarga dia memang lama nak zuriat, kan?”
Ayat itu menikam Nuha di tempat yang paling dalam, tempat yang selama ini dia cuba sembunyikan dengan senyuman dan sabar. “Zuriat” dijadikan tiket untuk menghalalkan pengkhianatan, dan Nuha diletakkan sebagai punca segala kekurangan, seolah kegagalan itu miliknya seorang.
Nuha tidak menjawab. Dia hanya memerhati Farah yang menangis di depannya, mulutnya mengulang dosa dan “tak nak tambah dosa” dalam nafas yang sama. Ironi itu membuat perut Nuha memulas.
Farah menyambung dengan suara merayu, “Kami memang salah.. Tapi jangan korbankan bayi ni, Nuha. Kalau kau nak marah aku, nak maki, nak hina, buatlah. Aku memang layak. Maaf beribu kali pun takkan padamkan salah aku. Tapi benda ni dah jadi. Aku cuma mampu terima takdir ni dan cuba untuk berubah. Aku akan minta maaf sampai bila-bila.”
Sekali lagi, Nuha diam.
Keheningan jatuh di antara mereka. Makanan yang dipesan atas meja masih tidak terusik. Tidak ada selera, tidak ada rasa. Cuma ada luka yang menunggu keputusan.
Farah memandang Nuha dengan mata penuh harap, seperti seorang peminta simpati.
Dan pada saat itu, Nuha sedar sesuatu, dia masih ada pilihan. Dia masih boleh menentukan siapa yang akan menang dan siapa yang akan dihukum.
“Kau nak aku maafkan kau?” tanya Nuha akhirnya, perlahan.
Farah cepat-cepat mengangguk, seolah-olah melihat jalan keluar. Bahkan ada sedikit lega terpancar di wajahnya, dan itu membuat Nuha semakin muak. Farah benar-benar menyangka Nuha akan menjadi perempuan yang “baik”, yang akan mengalah, yang akan menelan semuanya demi menjaga aib.
Nuha tersenyum kecil. Bukan senyuman manis. Senyuman yang dingin.
“Baik,” katanya. “Tapi aku ada satu syarat.”
Farah mendongak, mata berkaca, harapan melekat pada setiap gerak bibir Nuha.
“Apa saja… aku sanggup buat apa saja. Cakap je. Cuma yang tadi tu, jangan. Kau pun tak nak kami tambah dosa lagi, kan?”
Nuha menyandar pada kerusi, menikmati seketika rasa kuasa yang akhirnya kembali ke tangannya.
“Kau mesti keluar dari hidup aku,” katanya, tenang. “Dan keluar dari hidup Seth. Selamanya.”
Farah terpaku.
“Kau akan pergi tanpa jejak, tanpa berita. Hilang.” Nuha menegaskan, suaranya semakin dingin. “Kalau kau betul-betul menyesal, kau akan buat benda ni.”
Farah menelan nafas, wajahnya semakin pucat.
Nuha tidak berhenti di situ. Dia sengaja menusuk lebih dalam, bukan kerana dia suka menjadi kejam, tetapi kerana dia sudah terlalu lama menjadi mangsa.
“Dan satu lagi,” Nuha menambah, matanya tajam. “Kau mengandung. Kalau kau faham hukum, kau tahu sendiri apa maknanya pada ‘pernikahan’ yang kau kejar tu.”
Mata Farah membesar. Dia terkedu, seolah-olah baru sedar Nuha bukan lagi wanita yang boleh dipujuk dengan tangisan.
“Tapi…” Farah akhirnya bersuara, suara halus seperti debu.
“Tak ada ‘tapi’,” Nuha memotong pantas. “Itu satu-satunya cara kalau kau nak aku maafkan kau. Kau kena hilang dari hidup kami. Dari suami aku, dari keluarga aku, dari semua yang berkaitan dengan aku.”
Farah tampak panik. Tangannya menggigil, mulutnya bergerak-gerak mencari ayat, tetapi tiada satu pun keluar. Kafe yang tadi riuh terasa semakin sempit, seolah dunia hanya tinggal mereka berdua dan ancaman yang menggantung di udara.
Akhirnya Farah bertanya, hampir berbisik, “Kalau… kalau aku tak buat?”
Nuha tersenyum, senyuman yang tidak membawa kasih, hanya membawa amaran.
“Kalau kau tak buat,” katanya perlahan, “aku akan pastikan semua orang tahu.”
Farah terkaku.
“Keluarga kau, kawan-kawan kau, orang pejabat,semua akan tahu siapa kau sebenarnya.” Nuha mencondongkan badan sedikit, setiap perkataan disusun rapi seperti peluru. “Dan aku pastikan kau akan hilang lebih banyak daripada yang kau sangka. Kerjaya kau pun akan hancur. Takkan ada syarikat yang nak ambil perempuan perosak rumah tangga… lebih-lebih lagi yang sanggup khianat kawan sendiri.”
Wajah Farah benar-benar pucat. Ketakutan jelas di matanya. Untuk pertama kali, Nuha melihat Farah bukan sebagai “sahabat”, tetapi sebagai seseorang yang sedang sedar dunia boleh runtuh atas kesilapannya sendiri.
Nuha bersandar semula, tenang, seolah-olah semuanya sudah diputuskan.
“Jadi,” katanya, mata tajam tidak berkelip, “apa pilihan kau, Farah?”
Share this novel
jatuh cinta je tido...jtuh cinta ...tido... huhuhu...easy sungguh