Password reset is available in the NovelPlus App.
Use the app to securely reset your password.
Reset in App
Completed
113370
Get the app for full experience
Cawan kopi hitam di tangan Nuha terlepas begitu sahaja. Bunyi pecahan di lantai langsung tidak didengarinya, seolah-olah seluruh dunia tiba-tiba menjadi sunyi. Langkah kakinya terhenti serta-merta. Tubuhnya kaku, tidak mampu bergerak walau seinci.
Apa yang baru sahaja Seth katakan?
Nuha memandang suaminya dengan wajah terpaku. Ayat itu seakan berputar-putar di kepalanya, namun langsung tidak mampu difahami.
“Abang… apa maksud abang?” suaranya hampir tidak kedengaran.
Kerongkongnya tersekat. Tubuhnya mula menggigil, peluh dingin merembes keluar dari setiap liang pori. Jarinya terasa panas, perit akibat cawan yang pecah tadi, namun Nuha langsung tidak mempedulikannya. Ada sesuatu yang jauh lebih menyakitkan daripada luka di tangannya.
Seth tidak memandangnya. Lelaki itu hanya menunduk, seolah-olah tidak berani bertentang mata. Suaranya kedengaran serak.
“Abang minta izin untuk berkahwin lagi. Abang minta maaf kalau benda ni buat sayang terkejut.”
“Kahwin?” suara Nuha bergetar halus. “Dengan siapa?”
“Awak… kenal dia...”
Kening Nuha berkerut. Dia masih berdiri di tempat yang sama, menahan rasa sakit yang mencengkam seluruh tubuhnya.
“Siapa? Cakap jelah! Tak payah nak berbelit-belit!” bentaknya, tidak lagi mampu menahan emosi.
“Farah… dia mengandung. Anak tu… anak abang, Nuha.”
Kata-kata itu menghentam Nuha tanpa amaran. Dadanya seolah-olah diremas kuat, nafasnya tersekat. Seluruh tubuhnya terasa sejuk membeku.
Farah, sahabatnya sendiri!
Suaminya berlaku curang dengan sahabat baiknya sehingga mengandung, dan dia langsung tidak tahu apa-apa selama ini?
Nuha tidak pasti yang mana lebih menyakitkan, pengkhianatan Seth atau hakikat bahawa Farah, orang yang paling dipercayainya, sanggup menikamnya dari belakang.
“Apa?”
Suaranya meruncing, hampir hilang kawalan.
“Apa maksud abang dia mengandung?! Abang yang buat Farah mengandung? Abang tidur dengan kawan saya sendiri! Abang! Abang tak main-main, kan?”
Seth akhirnya memandangnya. Wajah lelaki itu penuh rasa bersalah.
“Abang tak boleh biarkan dia sendiri, Nuha. Dia mengandungkan anak abang. Abang kena bertanggungjawab.”
Nuha berundur selangkah, menahan rasa mual yang tiba-tiba menyerang. Segalanya terasa seperti mimpi ngeri.
“Jadi sebab tu abang nak kahwin? Sebab dia mengandung? Maknanya selama ni abang curang? Lepas tu abang nak minta restu dari saya? Kalaulah dia tak mengandung, sampai bila-bila pun abang akan buat benda ni? Macam tu?!”
Seth mengangkat wajah, jelas gelisah.
“Abang tak pernah berniat untuk jadi macam ni. Abang cintakan awak, Nuha. Tapi Farah… dia—”
“SUDAHLAH!”
Nuha menjerit. Tangannya menggigil hebat.
“Abang kata abang cintakan saya? Munafik! Abang pembohong!”
Dia cuba menarik nafas sedalam mungkin. Dadanya terasa sesak, sakit yang menghimpit hampir tidak tertanggung.
“Kalau abang cintakan saya, abang takkan tidur dengan kawan saya! Kawan saya, abang! Bukan perempuan lain! Abang takkan hancurkan rumah tangga kita!”
Nuha terduduk lemah di kerusi. Kepalanya tertunduk, air mata mengalir tanpa henti. Sakit ini terlalu dalam, melangkaui apa sahaja yang pernah dirasainya. Bertahun-tahun dia berjuang dalam perkahwinan ini. Berusaha menjadi isteri yang baik, isteri yang setia, walaupun mereka belum dikurniakan anak.
“Abang minta maaf. Abang tahu benda ni sakitkan hati awak. Tapi Farah mengandung… dan abang memang dah lama nak ada anak. Awak pun tahu kan, tiap kali kita jumpa saudara-mara, soalan tu mesti keluar juga.”
“Abang ingat saya tak rasa bersalah?” Nuha mendongak, matanya merah.
“Abang ingat saya tak nak ke? Saya siap berhenti kerja, abang. Untuk apa kalau bukan sebab nak bagi abang anak. Saya tak sanggup dengar orang cakap saya sibuk kerja sampai tak boleh mengandung.”
Air mata terus membasahi pipinya.
“Kita kan sama-sama disahkan sihat. Ini cuma soal masa je. Tapi abang tetap pilih jalan ni. Abang khianat janji perkahwinan kita. Saya tak cukup ke, Seth? Saya ni isteri yang tak baik ke?”
Seth cuba mendekat, tetapi Nuha segera berundur.
“Abang tak pernah niat nak sakitkan hati awak. Ini salah abang. Abang sayangkan awak… tapi abang juga kena bertanggungjawab pada anak tu. Abang tak nak kehilangan awak, Nuha.”
“Habis tu? Abang nak bertaubat?” suara Nuha meninggi.
“Dengan menduakan saya? Dengan buat saya sengsara macam ni? Saya yang jadi bayaran untuk ‘taubat’ awak?”
Suaranya menggema di seluruh rumah.
“Abang sanggup buat apa saja supaya awak maafkan abang. Abang cuma tak nak jadi lelaki pengecut. Kita masih boleh hidup bersama.”
Hati Nuha semakin hancur. Betapa mudahnya Seth mengucapkan semua itu.
“Abang ingat saya boleh bertahan?”
Tubuhnya menggigil hebat.
“Abang nak saya hidup sebumbung dengan Farah? Dengan perempuan yang khianati saya?”
Keheningan menyelubungi ruang itu. Hanya tangisan Nuha kedengaran. Namun jauh di sudut hatinya, satu keputusan mula terbentuk.
Dia menyeka air mata, menarik nafas perlahan. Pandangannya tepat menikam Seth.
“Baik,” katanya perlahan tetapi tegas. “Saya akan terima perkahwinan abang dengan Farah.”
Seth terpaku.
“Tapi,” Nuha menyambung, suaranya dingin. “Saya ada satu permintaan.”
Seth menelan air liur.
“Apa je sayang. Abang akan tunaikan.”
Nuha tersenyum sinis.
“Saya nak jumpa dengan Farah.”
menarik..
test_account
