Bab 4

Romance Series 128

Bab 4: Ketibaan

Matahari masih tinggi ketika Ferhan melangkah turun dari kereta yang ditumpangnya itu di Pusat Latihan Islam. Tempat itu kelihatan lebih seperti pusat percutian sunyi berbanding kem biasa—gabungan asrama kayu lama, dewan solat terbuka, dan rumpun pokok kelapa yang bergoyang perlahan ditiup angin. Sunyi di sini lebih berat daripada kebisingan kota, tetapi entah bagaimana terasa lebih damai.

Beberapa pelajar universiti lain—kebanyakannya fasilitator—sudah pun mengangkat barang dari sebuah van. Dia cam beberapa wajah dari kelab universiti mereka, manakala selebihnya mungkin datang dari kampus lain. Seseorang melambai ke arahnya. Dia hanya mengangguk sopan dan berjalan menghampiri.

"Ferhan, kan?" tegur seorang lelaki berkaca mata sambil memegang papan klip. "Kami tengah siapkan dewan untuk sesi ice-breaking pertama. Kau ditugaskan dalam Kumpulan 3."

"Baik," jawabnya ringkas. "Khalif mana?"

"Oh! Dia datang pagi tadi. Tapi dia balik semula ke Kuching, jumpa orang dari jabatan."

"Jabatan mana?"

"Majlis Islam."

"Oh, okay."

Lelaki itu kembali ke kumpulannya. Ferhan pula mengangkat tikar dan botol air masuk ke dalam dewan. Di sekelilingnya kelihatan belia dan remaja saling berbual, ketawa, dan berseloroh sambil bekerja. Dia sempat terpandang seorang fasilitator, tingginya hampir sama dengan dirinya dengan postur tubuh begitu yakin serta senyuman mesra. Dia kelihatan seperti seseorang yang boleh membuatkan sesiapa sahaja jatuh hati. Malah Ferhan sendiri, kalau hidup ini lebih mudah dan ringkas.

Tapi hidup tidak pernah mudah.

***

Menjelang ketibaan bas sekolah, hampir semuanya sudah siap. Para pelajar keluar beramai-ramai, berpakaian seragam biru dan putih, dengan tenaga yang bising dan tidak terkawal. Ada yang kelihatan gementar; ada yang teruja. Dua orang belia, barangkali fasilitator mereka, turun dan memberikan sedikit ucapan.

Dia turun dari bas dalam diam dengan beg tergantung di bahu. Matanya melilau kawasan persekitaran dilihatnya pokok tinggi, blok asrama yang sudah usang, dan juga ada keramaian. Masih belum nampak sesiapa yang dikenal, walaupun Zahra sepatutnya sudah bersama-sama.

Zahra memang begitu, fikirnya lagi. Entah ke mana saja dia pergi kali ini. Mungkin masih bercakap dengan kucing dekat rumah atau sibuk tolong maknya masak di dapur. Takkanlah dia lupa hari ini sepatutnya datang ke kem? Dia sendiri yang kemaruk nak jumpa banyak lelaki, rungutnya lagi di dalam hati.

Selepas beberapa minit berdiri dalam barisan, satu perkara yang Amina perasan, tak ada sesiapa yang menyapa dirinya. Dia berasa sepi, namun sedikit lega. Untuk sekali ini, dia tak kisah dengan detik sunyi sendirian.

Ia terasa seperti dia meninggalkan dunianya buat seketika. Hanya untuk lima hari. Atau sekurang-kurangnya sampai si lambat itu datang nanti. Hmm, mana pula budak satu sekolah aku ni? Hari tu tengok banyak borang dihantar, fikir Amina pula.

Tidak berapa lama, semua peserta diarahkan berkumpul di dewan untuk orientasi. Masing-masing berdiri dalam tiga barisan panjang di dewan itu sambil diberikan nombor. Orang di sebelahnya mendapat nombor 2 sementara dia pula mendapat nombor 3. Di sebelahnya memegang nombor 2 lagi.

Eh, kenapa tak ada yang nombor 4?

Satu pengumuman meminta mereka duduk dalam kumpulan mengikut nombor masing-masing. Ketika itu barulah dia melihat kumpulan 4 yang bersebelahan dengannya semuanya lelaki. Cemburu juga rasa hatinya, kalaulah baik dia juga masuk kumpulan semua perempuan.

Amina memperhatikan perihal kumpulan dirinya. Ahli kumpulan 3 bercampur 4 orang lelaki dan 6 orang perempuan. Abag fasilitator pula Syafiq dan yang perempuan Kak Yani. Cantik, kulit cerah. Tapi cara bercakap macam bukan Melayu lokal.

Sambil memerhatikan kumpulannya, pandangan Amina beralih kepada kumpulan 4. Fasilitator mereka dua orang juga. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Abang fasilitator lelaki itu berkulit gelap, namun wajahnya bagaikan cuaca mendung dengan awan hitam ada kilat saling memancar. Entah mengapa pelik betul wajah lelaki ini. Walaupun rupanya bukanlah hodoh, atau senget menyenget, namun aura kesulitan hidup yang bersiri dan bersambung-sambung jelas menyelubungi. Nampak macam orang mati bini.

Dan ketika itu hatinya tergelak sendiri.

Amina terdengar namanya dipanggil. “Nurul Amina Binti Mahzan,” dia bangun lalu memberi tabik “Sedia melapor, cikgu”

Terdengar ahli kumpulan 3 ketawa. Amina sendiri tiba-tiba menutup mulutnya sambil ketawa. Ketika itulah dia tersedar dirinya diperhatikan abang fasilitator group sebelah. Lelaki dengan awan itu. Amina duduk membelakang. Waktu itu pula dia terpandang Zahra yang baru masuk dewan. Sekal lagi dia bangkit mendapatkan Zahra yang rupa-rupanya masuk kumpulan 3 juga.

Apabila mereka duduk, Amina sempat menjeling sekali lagi. Hmm, dia pandang sini? Pandang siapa sebenarnya? Hatinya tertanya-tanya.

***

Lewat petang itu, Ferhan bersandar pada tiang kayu di luar dewan utama, tangan berpeluk tubuh sambil separuh mendengar penerangan seorang fasilitator perempuan. Dia bercakap tentang slot esok—mungkin idea untuk aktiviti ice-breaking atau cara menangani pelajar yang terlalu teruja. Ferhan mengangguk bila perlu, tapi matanya kerap melilau.
Kemudian dia terdengar satu tawa.

Bunyi ketawa itu bagaikan mesra, namun tak mungkin dia mengenalinya. Lagipun, tidak ramai fasilitator yang dikenalinya di sini. Perempuan, jauh sekali.

Ini bukan tawa biasa. Tawa yang kuat. Asli. Jenis yang tidak dibuat-buat untuk memikat sesiapa. Suara begini memecah kehangatan petang—jernih dan terang, umpama percikan air sejuk. Matanya terus melilau, mencari punca di kawasan berhampiran asrama.

Dari situ Ferhan dapat melihatnya, seorang peserta kem — mata bersinar, senyuman lebar, satu tangan menutup mulut sambil cuba menahan ketawa. Beberapa helai rambut terkeluar dari tudung kuningnya, ditiup angin, ketika salah seorang kawannya menarik-narik tudung itu dengan manja. Serabut, tapi bukan kasar. Cuma sekumpulan remaja perempuan yang terlalu bebas tanpa guru, ibu bapa—atau pengawasan dewasa yang sebenar.

Ferhan berkedip. Hatinya tertanya-tanya apalah agaknya yang bermain di fikiran mereka. Apakah mereka fikir, kami tak cukup dewasa untuk mengawasi mereka? Sedangkan mereka hanyalah umur adik-adik bagi para urusetia.

Ferhan melihat gadis itu —tak ingat pula namanya —menolak bahu kawannya dengan manja ketika kumpulan itu meledak ketawa sekali lagi.

Ferhan baru sedar apa yang mereka buat—mereka sedang mengusik seorang fasilitator lain. Katanya, cara lelaki itu berjalan macam ayam, dan wiselnya dianggap seperti lambang kuasa. Salah seorang gadis meniru gaya itu, hampir tergolek atas rumput. Gelak tawa meletus lagi.

Ferhan tidak ketawa. Tapi ada sesuatu dalam wajahnya yang melunak.

Kemudian Farhan melihat gadis itu berpaling. Pandangan mereka bersatu. Tak lama. Satu saat. Mungkin dua. Tapi cukup.

Ferhan tak terus alihkan mata. Dia pun tidak.

Matanya tidak malu-malu, tapi ingin tahu. Malah berani. Seolah-olah dia tidak kisah diperhatikan. Seolah-olah dia ingin tahu apa Ferhan akan buat dengan detik itu.

Ferhan tak buat apa-apa. Hanya kekal menatap, kemudian berkedip dan kembali memandang fasilitator di sebelahnya.

"Apa pendapat awak?" gadis itu bertanya.
"Hm?" Ferhan separuh sedar.

"Aktiviti ice-breaking yang saya sebut tadi tu?"
"Oh. Ya. Boleh juga."

Tapi fikirannya tidak pada aktiviti itu. Ia masih pada tawa itu. Dan mata itu.

Dan rasa halus yang tiba-tiba muncul di dadanya. Perlahan, tanpa izin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience