Bab 1

Romance Series 128

Bab 1: Counter Strike dan Filem Perang

“Habis, tak jadilah ni?”

“Macam tulah.”

Ferhan pun tak mahu cakap banyak. Dia hanya menunduk sedikit, menghela nafas perlahan sebelum menyarung kasut. Beg galas disandang ke bahu, beg bagasi diseret keluar. Usai bersalam ringkas, dia meninggalkan rumah sewa. Teksi sudah menunggu di tepi jalan.

Dia melangkah masuk, pintu ditutup rapat. Dalam diam, dia tahu — dia sedang melarikan diri dari sesuatu. Atau mungkin sedang mencari sesuatu yang hilang.

Dalam perjalanan, dia terasa kesal juga. Perancangan cuti semesternya berubah di saat akhir. Dua bulan lebih yang akan datang, dia sepatutnya kerja sambilan di sini. Padahal tempat kerja sambilan itu sudah pun didaftarkan dan disahkan. Terpaksalah dia meminta maaf kepada Yunus yang mengantarnya ke depan pintu rumah tadi. Niat untuk kumpul duit poket sebelum sambung degree terbantut.

“Tak apalah,” katanya dalam hati. “Sekurang-kurangnya nanti, hati ni boleh tenang sikit.”

Itu pun selepas mendengar nasihat Halim, senior dan teman serumah yang tiga tahun lebih tua. Waktu dia tengah duduk termenung di meja makan, Halim cuma geleng kepala dan letak tangan di bahu.

“Kau tak payah fikirkan sangat,” katanya lembut. “Benda dah jadi, tak boleh buat apa dah. Kalau tak, boleh meracun hati.”

“Maksud tu, bang?” Ferhan bertanya, walaupun dia rasa macam dah tahu.

“Kalau fikiran tengah kusut, jangan buat keputusan besar. Kau baru kena uji macam ni, terus nak berhenti belajar. Rugi, Ferhan. Orang lain pun pernah rasa ditinggalkan, malah lagi teruk pun ada. Ada yang mak ayah meninggal, ada yang putus tunang, cerai lepas kahwin. Kau ni baru…”

“Baru kena tinggal girlfriend,” Ferhan menyambung perlahan, hampir-hampir berbisik. Peritnya tetap sama.

Sebab itulah akhirnya dia setuju untuk balik kampung. Hatinya perlu dipulihkan.Jernihkan semula agar pertimbangan yang lain dapat dibuat sewajarnya. Tukar angin seketika sebelum bermulanya semester baharu.

“Kau anggaplah benda yang jadi semalam macam keputusan semester. Kehidupan kau tak berakhir lagi. Walaupun putus percintaan, anggaplah ianya tamat di akhir semester.” Bagaikan terngiang-ngiang suara Halim berkata kepadanya. Suatu keputusan yang datang tanpa amaran, datang dalam keadaan yang terlalu mendadak. Lebih menyakitkan, perpisahan itu berlaku dengan cara paling tenang — tiada amarah, tiada air mata, tiada sengketa. Hanya kenyataan hidup dan itulah yang paling sukar untuk diterima.

KLIA menyambut Ferhan seperti pelawat-pelawat lain. Tiada siapa peduli dia dari mana, atau ke mana hala tujunya. Namun, ruang itu seolah-olah tahu — manusia datang dan pergi, membawa kisah yang kadang-kadang tak sempat diluahkan.

Kerusi-kerusi menunggu, lampu neon, dan suara pengumuman — semuanya membingitkan dalam kebisuan. Baginya, semuanya terasa asing walaupun setiap kali balik kampus dan pulang kampung pasti akan singgah di sini.

Dia ke kaunter dan bertanya, “Tiket ke Kuching, berapa?”

“Encik nak bila?”

“Next flight,” jawabnya, tanpa fikir panjang.

Pegawai kaunter menaip tenang, seolah-olah dunia ini tidak pernah tergesa. Hidup begini rupanya — bergerak ikut jadual, walau kadang-kadang hati manusia tak sempat bersedia.

Tiket pukul 4:30 petang dihulurkan bersama-sama kad pengenalan. Ferhan ambil dan terus berlalu. Dia tak ingin berlama-lama di ruang yang terlalu sibuk.

Hanya lagu-lagu pop punk dari kugiran kegemarannya menjadi teman — Green Day, Third Eye Blind, Good Charlotte. Tapi lagu-lagu itu kini hambar. Dulu, irama itu yang memberi semangat. Sekarang, cuma ia hanya mengisi ruang. Bunyi tanpa nada. Bahasa tanpa irama.

Demonstrasi keselamatan oleh pramugari semasa dalam kapal terbang tidak menarik perhatian. Pemandangan dari tingkap — tanah semenanjung, Kepulauan Riau, Pekan Lundu, Gunung Santubong — semuanya seperti latar belakang kepada sebuah filem lama yang sudah diketahui pengakhirannya. Dia hanya melihat, tapi tidak benar-benar memandang.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pula, tak banyak yang berubah. Manusia, mesin, kedai-kedai dan tangga eskalator. Semuanya tidak menjanjikan teman hidup yang setia. Keluar saja dari pintu di balai ketibaan, Ferhan mengambil teksi untuk ke rumahnya.

Setibanya di pintu rumah, sudah tentu ahli keluarga agak terkejut. Kepulangan tidak dijangka. Malam itu, tidak banyak cerita. Ferhan kata dia cuma mahu berehat, cuti panjang lepas diploma. Tambahnya lagi kalau sambung degree nanti, mungkin susah nak balik selalu.

Padahal dia tahu — itu semua cuma alasan. Padahal perkara sebenarnya, hanya dia yang tahu. Betapa dia sedang terluka. Dia sedang cuba merawat hari sedang lara. Paling penting, dia belum bersedia untuk membuka cerita.

Biarlah, dia fikir. Biar diam menanggung, asalkan tak perlu ulang kisah yang menyakitkan. Luka itu macam beg galas di bahunya — berat, tapi selesa jika dibawa sendiri.

Beberapa hari pertama di rumah, dia banyak diam. Belum seminggu, semua CD dan VCD filem perang dan aksi dalam laci sudah habis ditonton. Kalau bosan, dia main Counter Strike atau Red Alert 2 — permainan lama yang dulu dia main waktu sekolah.
Kadang-kadang, dia tengok skrin lama-lama. Tapi otak tak fokus. Hatinya masih berpusing ke belakang. Kenapa benda yang nampak tenang itu tetap menyakitkan?

Sekali-sekala, dia keluar ke kedai runcit seberang jalan bila disuruh ibunya. Itulah satu-satunya aktiviti luar rumah.

Perubahan sikap itu sedikit sebanyak disedari ibunya. Satu petang, ketika dia baru habis panaskan lauk, ibunya menoleh dan bertanya perlahan,
“Apa plan cuti kali ni, An?”

Ferhan senyum sedikit. Tapi matanya tak betul-betul senyum. Dia letak sudu dalam pinggan, ambil tisu, lap tangan perlahan.

“Cuti panjang sikit, mak. Saja nak berehat. Sebelum degree mula nanti,” jawabnya, cuba berlagak biasa.

Ibu duduk di kerusi seberang meja. Suara kipas berdengung perlahan. Ferhan tahu — soalan mak bukan sekadar tentang cuti.

“Kamu dengan Emi… macam mana sekarang?”

Soalan itu jatuh perlahan, tapi tepat.

Ferhan tunduk, pandang meja. Nafasnya terasa berat.

Sudah agak soalan itu akan datang. Tapi bila ia betul-betul tiba, lidahnya kelu.

“Kami… dah tak sama macam dulu.”

Ibu angguk perlahan. “Mak agak dah.”

Ferhan senyap. Dia genggam jari sendiri, kemudian lepaskan. Akhirnya dia bersuara, perlahan seperti sedang meluah pada diri sendiri.

“Mak tahu… masa dia call rumah dulu, dia ada cakap. Pasal masa depan dia, pasal keluarga dia. Tapi masa tu, saya tak fikir benda tu akan betul-betul jadi.”

Ibu hanya diam, beri ruang.

“Kami putus cara baik, mak. Tak gaduh, tak salahkan sesiapa. Tapi… pedih juga. Macam potong sesuatu yang dah sebati.”

“Dia pilih ikut cakap keluarga?” tanya ibu perlahan.

Ferhan angguk. “Mak dia dah jodohkan. Lelaki tu kerja stabil. Saya pula, masih belajar. Tak mampu janji apa-apa.”

Mata ibu berkaca, tapi dia senyum kecil. “Mak tahu kamu sayang dia.”

Ferhan pandang ibunya buat pertama kali sejak mereka duduk makan tadi. Wajah mak tenang, tapi dalam mata tu… ada empati yang tak perlu dijelaskan.

“Saya rasa kalah, mak.”

“Bukan kalah,” jawab ibunya. “Cuma belum sampai rezeki. Kalau benda tu milik kita, ia akan tunggu. Kalau bukan, Tuhan akan gantikan dengan yang lebih baik.”

Ferhan senyum, tapi matanya bergenang. Dia cepat-cepat tunduk, ambil tisu. Lap hidung.

Ibu bangun perlahan, lalu berdiri di belakangnya. Tangan ibu mengusap bahunya — seperti masa kecil dulu, bila dia menangis sebab jatuh basikal.

“Rehatlah dulu, An. Tak semua luka kena rawat dengan kata-kata. Ada luka yang hanya masa boleh sembuhkan.”

Ferhan angguk perlahan. Dalam hati,dia masih belum sedia untuk sembuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience