Bab 2

Romance Series 128

Berteman Dengan Sepi
Novel by el-Eidi al-Imrea F
Bab 2:

Pagi itu, burung berkicauan riang dalam limpahan cahaya mentari yang masih lembut selepas hujan malam. Langit Kuching terbentang biru dengan awan putih berarak perlahan, dan jalan-jalan masih lembap, menambah kesegaran pada suasana. Segalanya terasa sedikit lebih indah.

Begitulah permulaan hari seorang gadis yang melangkah usianya.

Amina berjalan masuk ke sekolah dengan langkah ringan. Hari ini dia genap enam belas tahun. Dari pintu pagar hingga ke kelas di tingkat dua, kawan-kawan silih berganti memberi ucapan.

“Selamat hari jadi, Min!”

“Sweet sixteen, girl!”

Dia senyum, tunduk malu-malu. Dia tak minta disambut, tapi ucapan-ucapan itu cukup untuk membuatkan hatinya terasa hangat.

Sekurang-kurangnya, di sekolah, ada ruang untuk dia merasa hidup—walaupun rumahnya tetap sunyi dan sempit dengan beban yang jarang dia luahkan.

Dalam kelas, Zahra datang dengan sepotong kek kecil dalam bekas plastik.

“Aku buat semalam. Tak lawa sangat, tapi harap kau suka.”

Amina memeluknya erat. “Zahra, kau memang paling sweet.”

Waktu rehat, suasana bertambah meriah. Beberapa pelajar datang ke mejanya dengan kad buatan sendiri dan gula-gula. Ada yang sekadar ucap dan berlalu. Tapi kemudian datang Hafiz, pelajar Tingkatan Lima yang pernah satu program Kelab Dakwah dengannya. Tangannya memegang kotak kecil yang dibalut kemas.

“Amina,” katanya perlahan. “Selamat hari jadi. Ini… untuk kau.”

Amina sambut dengan senyuman paling sopan yang mampu dia ukir.

“Terima kasih, Hafiz. Awak baik sangat.”

Dia duduk semula, matanya tidak lagi menoleh ke arah Hafiz yang masih berdiri beberapa saat sebelum berlalu.

Zahra menjeling, menekan suaranya. “Macam tahu-tahu je budak tu suka kau.”

Amina menyandar. “Aku tak nak bagi harapan. Aku cuma… nak fokus belajar sekarang. Itu je.”

“Tapi dia boleh tahan hensem juga,” Zahra menambah, cuba mengusik.

“Hensem ke, baik ke, buat masa sekarang semuanya tak penting. Aku ada banyak masalah. Tak perlu nak tambah lagi. Kalau kau nak, kau try lah ambil dia.”

Zahra tergelak kecil. Mereka sama-sama tahu Amina banyak memendam. Di sekolah, dia ketawa. Tapi di rumah, ada ruang kosong yang menyesakkan.

Waktu rehat yang masih berbaki, mereka berdua berjalan perlahan di sekitar kawasan sekolah. Sekadar mengisi waktu dengan sembang ringan.

“Aku ada soalan,” kata Zahra. “Kalau kau boleh buat satu permintaan untuk hari jadi kau tahun ni… kau nak apa?”

Amina diam sebentar. Pandangannya jauh.

“Aku nak hidup aku berubah sikit,” jawabnya perlahan. “Aku nak peluang keluar, tengok dunia luar, jumpa orang baru. Aku nak tahu kalau ada sesuatu yang menanti aku… selain apa yang aku dah biasa lalui.”

Zahra senyum kecil. “Doa lah. Mana tahu, Tuhan dengar.”

Lepas waktu terakhir, pelajar mula beransur pulang. Amina dan Zahra masih di koridor tingkat dua, menunggu giliran untuk ke bilik guru. Mereka ditugaskan menghantar fail kelas.

Dari arah bilik guru, muncul Cikgu Khairul—guru muda baru yang mengajar Pendidikan Jasmani. Umurnya barangkali sebaya pelajar universiti. Sering ramah dan suka senyum. Tapi sejak kebelakangan ini, ada senyum yang berbeza bila ditujukan kepada Amina.

“Hari jadi awak hari ni, kan?” katanya sambil berhenti di depan mereka.

Amina tunduk sedikit. “Ya, cikgu.”

“Selamat hari jadi. Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki.” Nada suaranya bergetar halus, seolah mahu lebih daripada sekadar ucapan.

“Terima kasih, cikgu.” Jawapan Amina tenang. Matanya tidak memandang terus ke wajah cikgu itu. Sekadar sopan.

Cikgu Khairul seperti ingin berkata sesuatu lagi, tetapi sebelum sempat, suara tegas menyapa dari belakang.

“Cikgu Khairul,” panggil Ustazah Rahmah yang muncul dari tangga. “Boleh tak datang ke bilik guru? Cikgu Helmi cari.”

“Baiklah, ustazah.” Cikgu Khairul mengangguk perlahan. “Happy birthday, ya.” Sekali lagi dia memandang Amina—dan pandangan itu tidak lepas daripada perhatian Ustazah Rahmah.

“Saya rasa elok kita semua jaga batas bila berinteraksi dengan pelajar. Terutama sekali pelajar perempuan.” Suara ustazah lembut, tapi mengandungi amaran yang jelas.

Cikgu Khairul mengangguk dan terus melangkah masuk ke bilik guru.

Zahra dan Amina hanya berpandangan.

“Dah agak dah,” bisik Zahra. “Ustazah tu memang peka.”

Amina tak balas. Dia cuma tarik nafas perlahan. Dunia sekolah kadang-kadang macam pentas kecil, tapi bagi remaja sepertinya, setiap langkah terasa besar dan penuh makna.

Petang itu, Amina dan Zahra singgah di papan kenyataan luar bilik kaunseling. Di situ, satu poster besar baru digantung—poster kursus kepimpinan pelajar anjuran Ikatan Siswa Sarawak.

“KEM PEMIMPIN MUDA”
Tarikh: 22–26 Mac
Tempat: Pusat Latihan Islam, Telaga Air
Terbuka kepada pelajar Tingkatan Empat dan Pra-U

Amina membaca senarai aktiviti—latihan dalam kumpulan, ceramah motivasi, aktiviti luar. Matanya berhenti pada satu baris kecil di bawah:

“Peserta akan dibimbing oleh fasilitator daripada kalangan mahasiswa Sarawak.”

Zahra menyiku lengan Amina. “Jom daftar. Cikgu Kaunseling kata tempat terhad. Kena cepat.”

Amina mengangguk perlahan. Entah kenapa, hatinya terasa lapang membaca maklumat itu. Bukan sebab tempatnya di Telaga Air, atau sebab boleh ponteng kelas selama beberapa hari. Tapi kerana ia… lain.

Rutin hidupnya kini penuh dengan sakit, senyap, dan tanggungjawab. Mungkin dia perlukan ruang baru. Udara baru. Walaupun hanya untuk seketika.

Dia tak cari cinta. Tak pernah.

Tapi dalam ruang sunyi itu, seperti ada suara kecil yang memanggil. Bukan suara lelaki, bukan suara manja. Cuma bisikan halus dari dalam dirinya sendiri—ingin tahu, apakah ada makna dalam sepi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience