Pagi itu, matahari memancar cerah seperti biasa. Namun dalam diri Amirul, cahaya hari langsung tidak memberi sebarang rasa tenang. Sepanjang malam, dia hanya mampu melelapkan mata beberapa minit, terganggu oleh bayangan ‘makhluk’ yang dilihatnya malam sebelumnya—merangkak dalam kegelapan, di tempat yang tidak sepatutnya wujud.
Tangannya menggigil kecil saat menyarungkan jam tangan. Pandangannya dilemparkan ke arah lif melalui jendela kecil di ruang tamu. Lif itu kelihatan biasa, pintunya tertutup rapat. Namun, hatinya tahu, apa yang berlaku semalam bukan mimpi.
“Ayah keluar dulu, ada mesyuarat,” sapa Encik Roslan sambil menyarungkan kasut.
Amirul hanya mengangguk, tak mampu menjawab seperti biasa.
“Ayah tahu kamu berani, tapi jangan cari benda yang tak perlu. Rumah ni tempat berlindung. Jangan biarkan rasa ingin tahu tu bawa kamu ke tempat yang tak sepatutnya,” pesannya sebelum keluar.
Pukul 10 pagi, Amirul bersiap untuk turun membeli barang dapur di kedai runcit berhampiran. Walaupun hati berat, dia tetap melangkah ke depan lif. Suasana lorong agak sepi, hanya bunyi kipas siling dari unit jiran yang kedengaran samar.
‘Ting!’
Pintu lif terbuka perlahan.
Lif kosong. Bau pewangi baharu masih melekat. Amirul menelan liur dan melangkah masuk, menekan aras G.
Ketika pintu hampir tertutup, tiba-tiba terdengar suara halus seorang kanak-kanak menangis dari belakang.
“Aaaaaaa… Ibu… Ibu…”
Suara itu sangat dekat, seolah-olah berada dalam lif. Amirul segera menoleh.
Kosong.
Namun suara itu masih jelas. Tangisan sayu dan perlahan. Bukan seperti suara rakaman, tetapi suara nyata yang seakan berada betul-betul di telinganya.
Dia segera menekan butang ‘open’ dan keluar semula ke aras 9. Lif itu terus tertutup, tetapi tangisan itu masih kedengaran dari dalam, dan perlahan-lahan menghilang apabila lif bergerak turun.
Amirul berdiri kaku beberapa minit. Dadanya turun naik dengan laju.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya bergetar.
> [Mesej daripada nombor tidak dikenali]
“Jangan naik lif sorang-sorang. Kalau terdengar tangisan, tutup telinga dan baca ayat kursi. Aras 13 sedang mencari mangsa baru.”
Amirul terkejut. Dia cuba menghubungi nombor itu, tetapi ia terus dimatikan.
Petang itu, ketika duduk di bangku taman kecil bawah blok, Daniel dan Hafiz, dua rakannya dari kolej, tiba-tiba datang mengejutkannya dari belakang.
“Weh! Kau duduk sini sekarang rupanya? Aku pun baru pindah sini, blok D!” kata Daniel dengan senyum lebar.
“Wah, dunia kecil…” balas Amirul, berusaha kelihatan tenang.
Hafiz menepuk bahu Amirul. “Lif kat sini laju, tapi pelik sikit. Tadi aku nampak butang 13, tapi bila tekan tak jadi apa.”
Amirul segera berpaling. “Kau tekan?”
“Tekan je lah. Aku ingat lif ni ada penthouse ke apa. Tapi tak pergi mana pun. Sekali terus turun balik ke G,” jelas Hafiz sambil ketawa.
Daniel menyampuk, “Tapi aku rasa macam ada budak kecil lalu belakang lif tadi. Serius, bro. Aku nampak bayang je… macam budak kecil pakai baju tidur putih.”
Amirul terus bangun.
“Jangan main-main dengan benda tu,” katanya perlahan.
Daniel dan Hafiz berpandangan, kemudian mengikut Amirul menuju ke kedai. Mereka tahu, kalau Amirul sudah serius begitu, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
Di kedai, mereka bertembung dengan Sofea Nurin, gadis bertudung labuh yang Amirul temui dalam lif semalam. Dia sedang membeli roti dan susu.
“Saya nak cakap sikit…” Amirul memberanikan diri.
Sofea menoleh, memandang tepat ke matanya. “Tentang lif semalam?”
Amirul mengangguk.
Sofea menghela nafas perlahan. “Saya dah nampak tempat tu sejak seminggu saya pindah. Dah dua kali saya dibawa ke aras 13. Setiap kali saya masuk lif waktu malam… mesti ada gangguan.”
“Apa sebenarnya tempat tu?” soal Amirul dengan nada mendesak.
Sofea mendekat, suaranya rendah. “Ada sesuatu yang tertinggal di aras itu. Sesuatu yang tak dapat pergi… dan dia mencari orang yang ‘boleh nampak’.”
Daniel dan Hafiz yang mendengar dari tepi semakin resah.
“Siapa yang boleh nampak?” soal Daniel.
Sofea menoleh ke arahnya. “Orang yang pernah berhadapan dengan kematian.”
Amirul tersentak. Dia pernah hampir maut dalam kemalangan kereta semasa kecil. Daniel pula pernah hilang ayah akibat serangan jantung ketika usianya baru 9 tahun.
Sofea memandang mereka seorang demi seorang. “Kamu semua ada ‘pintu’ yang terbuka. Itu sebabnya kamu nampak… dan dengar.”
Pada malam itu, satu kejadian berlaku.
Pasangan suami isteri, Suraya dan Hazim, dari aras 5 tiba-tiba mengetuk pintu rumah Amirul dalam keadaan cemas.
“Anak kami… Rayyan… dia hilang!” jerit Suraya sambil menangis.
“Bila?” soal Encik Roslan yang turut keluar membantu.
“Kami turun dengan lif tadi. Rayyan ada sekali. Sampai aras G, pintu lif terbuka… tapi Rayyan tak ada!” Hazim menjawab.
Polis dipanggil. Semua penduduk diminta membantu mencari. CCTV diperiksa. Dalam rakaman, Rayyan kelihatan masuk ke lif bersama ibu bapanya. Tapi rakaman seterusnya hanya menunjukkan dua orang keluar di aras G.
Tiada siapa tahu ke mana Rayyan pergi. Tiada bukti dia keluar dari lif.
Esoknya, satu poster ditampal di semua aras.
> Amaran kepada semua penghuni Blok C!
Jangan gunakan lif selepas jam 10 malam.
Kes kehilangan masih dalam siasatan. Gunakan tangga untuk keselamatan.
- Pengurusan Residensi Dahlia Indah
Namun ramai yang mula berpindah. Blok C menjadi sunyi. Unit-unit mula kosong. Tinggal beberapa keluarga yang masih bertahan.
Amirul tahu, semua ini belum berakhir. Dia percaya Rayyan masih hidup — terperangkap di aras 13.
Dan dia mahu menyelamatkannya.
Malam itu, Amirul memanggil Daniel, Hafiz dan Sofea ke rumahnya. Mereka berbincang panjang.
“Kita kena naik lif tu semula,” kata Amirul tegas.
Daniel teragak-agak. “Kau gila?”
“Saya setuju,” kata Sofea. “Tapi kita kena buat pada masa yang betul. Aras 13 hanya muncul apabila ada ‘pintu’ terbuka. Dan biasanya selepas jam 12 malam.”
Hafiz menambah, “Kita bawa lampu suluh, dan rakam. Kalau kita tak keluar dalam 10 minit, orang lain kena cari kami.”
Amirul bersetuju. Mereka tetapkan rancangan: jam 12.30 tengah malam, mereka akan masuk ke lif, dan menekan butang 13 — satu cubaan untuk masuk secara sengaja.
Jam berdetik tepat 12:30 pagi.
Mereka berempat berdiri di depan lif Blok C. Suasana sunyi. Angin malam menyapu halus di lorong. Langit di luar mendung.
Amirul menekan butang lif.
Pintu terbuka perlahan.
Mereka masuk. Tanpa cakap sepatah, Amirul menekan butang 13.
Butang itu menyala merah samar.
Lif mula bergerak naik. Tiada muzik, tiada suara sistem. Hanya bunyi deruman motor lif yang perlahan-lahan memecut.
10…
11…
12…
"Ting!"
Lif berhenti. Paparan menunjukkan: 13.
Pintu terbuka.
Kegelapan. Tiada cahaya.
Bau hapak terus menyergah hidung mereka.
Mereka melangkah perlahan, cahaya dari lampu suluh menerangi lorong sempit yang seolah-olah tidak siap dibina. Dinding konkrit kasar, lantai berpasir dan kotor.
Tiba-tiba, suara kanak-kanak kedengaran.
“Ibu… ibu…”
Itu suara Rayyan.
Amirul memandang yang lain, kemudian melangkah lebih dalam.
Namun ketika mereka melewati satu simpang lorong, satu susuk tubuh hitam legam, seperti hangus terbakar, berdiri di tengah laluan — matanya merah menyala.
Makhluk itu menghambur ke arah mereka.
Sofea menjerit. Hafiz jatuh terduduk. Daniel menjerit sambil menarik Amirul kembali ke lif.
Mereka berlari, nafas tercungap.
Makhluk itu mengejar, tangannya seperti cakar panjang, bunyinya seperti seretan rantai besi di lantai.
Akhirnya mereka masuk ke lif. Amirul menekan butang G berkali-kali.
Pintu hampir tertutup…
Makhluk itu meluncur ke arah mereka…
“BAM!”
Pintu tertutup sepenuhnya.
Lif mula turun. Semua terdiam, peluh membasahi dahi. Nafas laju. Jantung bagai mahu pecah.
Apabila lif sampai ke aras G dan pintu terbuka… mereka semua menjerit serentak.
Rayyan berdiri di hadapan mereka.
Pucat, tidak bersuara.
Dia hanya mengangkat tangan… dan berkata perlahan,
“Tolong… adik saya masih di sana…”
Share this novel