Bab 4: Bunyi Derapan dari Atas

Thriller Series 59

Malam semakin larut di Residensi Dahlia Indah. Jam di dinding ruang tamu rumah Amirul menunjukkan pukul 12.27 pagi. Hujan yang turun sejak awal malam sudah mula reda, namun awan gelap masih menyelimuti langit. Bagi penghuni blok C, malam itu terasa lebih sunyi dan menyesakkan daripada biasa.

Amirul masih duduk di meja belajarnya, mengulang kaji untuk kuiz Matematik Moden. Walaupun dia cuba fokus, fikirannya sering terganggu dengan kejadian lif terbuka sendiri malam tadi. Bunyi ‘ding’ lif yang kosong, suara Sofea yang kelihatan ketakutan, dan nombor 13 yang muncul seketika di skrin lif semuanya bermain-main dalam mindanya.

Dia menoleh ke arah pintu balkoni yang sedikit terbuka, membiarkan angin malam masuk sambil menenangkan dirinya. Namun, sebaik sahaja dia hendak bangun untuk menutup pintu itu, satu bunyi halus kedengaran — derap kaki.

Ia datang dari atas.

Langkah demi langkah, perlahan tetapi jelas. Seolah-olah seseorang sedang berjalan ulang-alik di atas siling rumahnya.

Amirul membeku. Rumahnya di tingkat 11. Di atasnya adalah aras 12 — aras tertinggi mengikut pelan bangunan. Tapi tiada siapa tinggal di unit atas rumahnya, kerana sejak berpindah masuk, dia tidak pernah mendengar bunyi orang berjalan. Unit itu masih kosong, menurut maklumat yang diberi Pak Mail.

Bunyi itu semakin jelas.

Tok. Tok. Tok.

Amirul cuba memujuk dirinya. "Mungkin bunyi paip air... atau tikus besar..." bisiknya, walau tahu penjelasan itu tidak masuk akal. Dia berdiri perlahan-lahan dan menapak ke arah balkoni, menutup pintu kaca itu dengan berhati-hati.

Sebaik pintu ditutup, bunyi derapan itu berhenti serta-merta.

Dia menarik nafas dalam-dalam.

Ding!

Bunyi lif berbunyi dari arah luar rumahnya.

Amirul segera melangkah ke pintu dan mengintai melalui lubang kecil. Lif di hujung lorong betul-betul terbuka. Kosong. Tiada sesiapa. Sekali lagi, perasaan seram menjalari tubuhnya.

Dia mencapai telefon bimbit dan membuka aplikasi pesanan. Jari-jarinya laju menaip mesej kepada Daniel.

> Amirul: Bro, ko free? Ada benda pelik kat rumah aku…

Belum sempat mesej itu dihantar, loceng pintu rumahnya berbunyi. Ting tong.

Dia terkejut dan hampir menjatuhkan telefonnya.

Siapa pula yang datang tengah malam begini?

Dia menoleh ke arah ibu bapanya yang telah tidur di bilik mereka. Nurin, adiknya, juga sudah lena.

Dengan langkah perlahan, dia menghampiri pintu dan memandang melalui lubang intai. Tiada sesiapa.

“Benda ni memang nak main dengan aku,” gumam Amirul.

Dia tidak membuka pintu, cuma mundar-mandir dalam rumah, menenangkan dirinya. Tapi belum sempat duduk semula, bunyi langkah itu kedengaran lagi.

Kali ini lebih kuat. Lebih jelas.

Dan lebih dekat.

Bukan lagi dari atas, tapi dari luar pintu rumahnya sendiri.

Dia berdiri kaku, menahan nafas. Bunyi tapak kaki itu berjalan perlahan-lahan melepasi pintu rumahnya, seakan seseorang sedang berkeliaran di lorong, mencari... sesuatu.

Lalu... bunyi itu hilang.

Amirul terus masuk ke biliknya, menutup lampu, dan bersembunyi di bawah selimut. Walaupun dia cuba memujuk diri untuk tidak terlalu takut, hatinya tetap berdebar-debar.

Keesokan pagi

Amirul bangun awal. Dia ingin segera keluar dari rumah untuk menyegarkan fikiran. Dia menuju ke lif, berharap semuanya kembali normal.

Tetapi apabila dia menekan butang ke bawah, lif lambat sampai. Ketika lif terbuka, dia lihat Pak Mail sedang memeriksa suis kawalan kecil di dinding bersebelahan panel lif.

“Pagi Pak Mail,” sapa Amirul.

“Pagi, Amirul. Kau nak turun?”

Amirul mengangguk. “Lif ni ada masalah ke, pakcik?”

Pak Mail menjeling ke arah panel.

“Entahlah... sejak dua tiga hari ni, lif ni buat hal. Sekejap-kejap terbuka sendiri. Kadang-kadang tak berhenti di aras yang ditekan,” jelasnya.

“Pak Mail... Aras 13 tu, memang tak ada kan?” soal Amirul, cuba memasang perangkap.

Wajah Pak Mail berubah sedikit. Seperti tidak selesa.

“Aras 13? Mana ada... kan bangunan ni sampai aras 12 je,” jawabnya sambil mengalih pandangan.

“Tapi malam tadi... saya nampak nombor 13 muncul sekejap dalam lif.”

Pak Mail diam. Dia menyimpan peralatannya dan menutup penutup panel.

“Saya nasihatkan, kalau lif terbuka sendiri... jangan masuk. Tunggu je lif lain.”

Amirul ingin bertanya lagi, tetapi Pak Mail sudah berlalu.

Di kafeteria berdekatan

Amirul berkumpul dengan Daniel dan Hafiz. Dia menceritakan semua yang berlaku malam tadi.

“Bro, kau nak tahu yang paling pelik?” kata Daniel sambil menghirup milo aisnya. “Malam tadi pun aku dengar bunyi pelik. Macam budak menangis... dari arah koridor.”

Hafiz menyambung, “Aku sempat rakam. Tapi bila aku buka balik video tu pagi ni, kosong... langsung tak ada bunyi apa-apa dalam rakaman tu.”

Amirul menoleh. “Kau rasa benda ni... berkait dengan lif tu?”

Daniel mengangguk. “Mungkin. Kita kena siasat.”

“Tapi hati-hati,” tambah Hafiz. “Kalau betul benda tu bukan dunia kita... jangan sampai kita jadi mangsa.”

Sementara itu, di aras 10

Sofea duduk di ruang tamunya yang sempit. Dia menggenggam telefon bimbitnya. Setiap malam sejak kejadian lif tempoh hari, dia mendengar suara dari biliknya — suara yang memanggil namanya.

Sofea… Sofea… datang balik…

Dia cuba berdoa dan membaca zikir setiap kali terdengar suara itu. Tapi suara itu makin kerap dan makin dekat.

Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Satu mesej muncul.

> Tidak lama lagi. Lif akan buka semula. Jangan lari, Sofea.

Dia menjatuhkan telefon dan mundur ke belakang, matanya membulat ketakutan.

Petang itu, Aras 5

Suraya baru selesai solat Asar. Dia duduk termenung di ruang tamu. Gambar anak lelakinya, Arman, masih tergantung di dinding. Sudah seminggu anak mereka hilang selepas menaiki lif sendirian.

Polis sudah membuat laporan kehilangan. Tapi tiada sebarang petunjuk.

Sejak kehilangannya, Suraya dan suaminya Hazim sering terdengar suara Arman bermain dan ketawa. Seolah-olah dia masih berada di dalam rumah.

Petang itu, ketika Suraya sedang melipat kain, dia terdengar suara kecil memanggil.

“Ibu…”

Suraya tergamam. Suara itu... suara Arman.

“Ibu... saya di atas. Aras tiga belas...”

Waktu Maghrib

Ustaz Azri turun dari aras 8 untuk solat berjemaah di surau bawah bangunan. Ketika sampai di lif, dia ternampak seorang budak perempuan berdiri sendirian di hadapan pintu lif yang terbuka.

“Assalamualaikum, adik. Ibu bapa adik mana?”

Budak itu tidak menjawab. Cuma menoleh dan senyum nipis.

Sebelum sempat dia bertindak, lif itu tertutup dengan sendiri. Skrin digital menunjukkan angka pelik: 13.

Ustaz Azri memandang dengan dahi berkerut. Hatinya mula tidak sedap.

Residensi Dahlia Indah bukan sekadar sebuah bangunan moden biasa. Semakin hari, semakin ramai mula menyedari ada sesuatu yang wujud... di luar logik manusia. Aras 13, yang tidak pernah dibina, sedang membuka pintunya — satu demi satu.

Dan mereka yang memasukinya... belum tentu akan kembali.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience