Completed
143368
-Now I can’t walk. You have to take care of me… it’s your fault.-
AREESA masih menatap skrin telefon bimbit dengan kening yang semakin berkerut. Degup jantungnya laju, seolah-olah tubuhnya sendiri cuba memberi amaran. Dia ulang baca mesej itu beberapa kali, cuba memahami apa maksud sebenar bait ayat yang terlalu… intim bunyinya.
“Siapa pula hantar mesej macam ni? Dan kenapa dia cakap Luqman salah? Suami aku dah buat apa? Tapi kenapa ayat dia macam fishy… macam bukan lelaki yang mesej.” Areesa berbisik perlahan, bibirnya mengetap sendiri.
Dia meneliti nama pengirim itu sekali lagi.
Qarim.
“Qarim? Siapa pulak Qarim ni?” Dia cuba mengingat tapi langsung tak ada sesiapa yang bernama begitu muncul dalam mindanya.
Areesa membuka ruangan chat pula namun tiada apa.
Satu mesej.
Satu sahaja.
Tiada mesej sebelum itu, tiada susulan.
Seolah-olah nombor itu baru muncul hari ini, hanya untuk menghantar ayat pelik itu pada Luqman.
Hatinya makin tak sedap.
Areesa cepat-cepat buka log panggilan, mencari sama ada nombor itu pernah dihubungi Luqman sebelum ini. Sekurang-kurangnya kalau ada sejarah panggilan, logiknya dia boleh mengagak sesuatu.
Tetapi… kosong.
Tiada panggilan masuk.
Tiada panggilan keluar.
Seolah-olah nombor itu wujud semata-mata untuk satu mesej itu saja.
Yang memenuhi rekod panggilan hanyalah panggilan biasa antara dia dan Luqman, tiada nombor yang pelik atau asing.
Semakin lama Areesa memerhati skrin itu, semakin perutnya terasa berputar dan firasatnya kuat mengatakan nombor itu bukan sekadar mesej tersalah hantar.
Areesa menarik nafas panjang, duduk di tepi katil dengan telefon Luqman masih di tangannya. Areesa sempat terfikir untuk menelefon nombor tersebut menggunakan telefon Luqman sekurang-kurangnya dia boleh cari tahu siapa sebenar pengirim mesej yang bernama Qarim itu.
Namun sebelum sempat Areesa menekan butang dail…
Suara seseorang muncul dari belakangnya.
“Sayang…”
Areesa terlonjak kecil.
Luqman tiba-tiba sudah berdiri di belakangnya tanpa bunyi.
“Itu telefon abang, kan? Sayang nak buat apa dengan telefon abang tu?” Luqman segera mendekatinya dan menghulurkan tangan untuk mengambil telefonnya dari tangan Areesa.
Areesa serba salah, lalu menyerahkan telefon itu kepada Luqman.
“Oh, tadi telefon abang berbunyi. Reesa cuma tengok if abang dapat call atau mesej urgent je,” ujar Areesa cuba senyum tenang walaupun hatinya masih rasa pelik.
Luqman mengangguk. Namun saat Areesa bersuara semula, senyum lelaki itu sedikit tergugat.
“Bang…Kawan ofis abang ada ke nama Qarim? Tadi dia WhatsApp abang dan Reesa terbaca. Dia bagitahu yang dia tak boleh jalan. Tapi kenapa dia minta abang yang ‘take responsibility’? Anything happened semalam?” tanya Areesa dengan kening berkerut, cuba mencari kebenaran di wajah suaminya.
Luqman tersenyum nipis sebelum membongkok dan mencium kening isterinya.
“Tu kawan abang masa belajar dulu. Si Qarim tu mesti salah hantar mesej. Sebenarnya dia kena langgar semalam masa nak pergi ke Seremban lawat kawan kitorang tu. Ni dia mesti nak minta ganti rugi kat orang yang langgar dia sebab semalam dia tak sempat nak settle dengan orang tu. Bukan abang.”
“Oh…” Areesa menarik nafas lega, dadanya turun naik perlahan.
Dalam hati sempat Areesa rasa bersalah kerana sudah berprasangka buruk terhadap suaminya.
Selama ini Luqman memang berjaya membuat Areesa rasa disayangi sepenuhnya. Dia selalu nampak Areesa sebagai ratu hatinya. Selain romantik, Luqman juga seorang lelaki yang jujur, setidak-tidaknya itu yang Areesa percaya.
Tambah pula, Luqman bukan jenis lelaki yang suka habiskan masa di luar rumah. Dia bukan kaki lepak, bukan juga jenis yang gemar keluar malam tanpa tujuan. Dari dulu lagi fokusnya hanya satu, kerjaya dan rumah tangga mereka. Areesa sendiri lihat bagaimana Luqman bermula dari bawah sebagai staf biasa di bahagian produksi, sebelum perlahan-lahan naik hingga menjadi pengurus pemasaran dua tahun lalu.
Areesa menyaksikan sendiri setiap titik peluh dan usaha keras lelaki itu. Dia tahu Luqman tak pernah berhenti mencuba dan kerana ketulusan itulah Areesa memilih untuk menyembunyikan identiti sebenarnya bahawa dia merupakan salah seorang pemegang saham dalam syarikat tempat Luqman bekerja. Dia tidak pernah mahu Luqman rasa kecil atau terpinggir bila dibandingkan dengan dirinya, sedangkan dia sendiri tidak pernah campur tangan dalam operasi syarikat.
Segala urusan perniagaan dan pentadbiran syarikat itu Areesa serahkan sepenuhnya kepada Dato’ Ehsan, sahabat baik arwah papanya merangkap rakan kongsi syarikat tersebut. Lelaki itulah yang banyak menjaga Areesa sejak kecil, lebih-lebih lagi selepas dia kehilangan kedua-dua ibu bapanya sewaktu masih di bangku sekolah. Bagi Areesa, Dato’ Ehsan bukan sekadar penjaga amanah… tapi bapa angkat yang sentiasa mengawasi daripada jauh tanpa mengongkong hidupnya.
“Sayang macam ada fikir something je?” Luqman bertanya lembut.
Areesa menggeleng dan tersenyum. “Tak adalah. Areesa tak fikir apa-apa pun.”
Dia menipu sedikit… tetapi bukan menutup rasa cinta, cuma rasa risau.
Luqman tersenyum nakal.
“Sayang fikir tu mesej dari perempuan lain ke? Tapi kan dah terang-terang abang save nama Qarim tu. Takkan sayang boleh fikir Qarim tu perempuan?” Sengaja Luqman mahu menguji tahap curiga Areesa kerana selama berapa bulan ini semuanya masih kekal selamat.
Areesa tarik nafas, kemudian angguk perlahan. “Okey, Reesa jujur. Tadi memang Reesa sempat fikir macam tu. Siap Reesa fikir mungkin abang sengaja save nama Qarim tapi sebenarnya Qarimah!”
Luqman cepat-cepat memeluk Areesa dengan erat. Ternyata Areesa sangat cerdik sehingga dapat berfikir sampai begitu jadi Luqman perlu lebih berhati-hati mulai sekarang jika tidak mahu rumah tangganya hancur di tangan sendiri. Dia mencium kening Areesa berkali-kali, seolah-olah mahu menenangkan gejolak dalam hati isterinya itu.
“Sayang… abang sayang sangat kat Reesa. Dengan anak kita sekali. Mustahil abang nak main perempuan kat luar sana.” Tangannya turun ke perut Areesa lalu mengusapnya lembut.
Kandungan Areesa baru saja stabil tapi doktor pernah pesan yang kandungan isterinya boleh kembali berisiko tinggi jika Areesa terlalu letih atau tertekan.
Areesa menarik bahu Luqman supaya lelaki itu berdiri semula.
“Reesa percaya abang takkan buat semua tu. Macam abang pernah janji dulu… kita akan selalu jadi pasangan romantik, kan? Saling mencintai antara satu lain. Tiada siapa boleh gantikan tempat Reesa dalam hati abang.” Air mata bergenang di hujung mata Areesa, berusaha meyakinkan hatinya sendiri.
Luqman tersenyum… tapi senyumannya sedikit kaku. Dia menangkup wajah Areesa dan menautkan hidung mereka rapat seketika.
“Ya, tiada seorang perempuan pun boleh gantikan tempat Reesa dalam hati abang.”
Areesa mendekat dan memeluk pinggang suaminya.
“Abang mula risau kalau sayang dah mula tak percayakan abang. Tu tanda abang dah kurang beri perhatian pada sayang. Sebab tu sayang dah mula fikir bukan-bukan, kan?”
Areesa menyandar di dada bidang Luqman, sesekali mendongak dengan mata yang sudah berkaca. “Taklah… Reesa tak pernah rasa abang kurang bagi perhatian. Reesa rasa lebih daripada cukup sebenarnya.” Dia tersenyum nipis, cuba menenangkan hatinya sendiri. “Maybe Reesa yang cepat sensitif sekarang… pembawakan budak, kot?”
Areesa berkata begitu bukan sekadar menyakinkan Luqman tapi juga untuk meyakinkan dirinya bahawa layanan suaminya selama ini memang cukup malah terlebih cukup.
Areesa benar-benar bersyukur dipertemukan dengan lelaki sebaik Luqman. Dia amat takut kehilangannya.
“Abang sayang Reesa. Abang sayang baby kita…” kata Luqman perlahan. “I love you.”
“I love you too, abang,” balas Areesa tersenyum manis.
Luqman melihat jam di pergelangan tangannya.
“Sayang…abang dah kena gerak ke ofis ni. Takut stuck jammed karang kalau gerak lambat sikit. Nanti tak pasal abang kena marah dengan Uncle Ehsan sebab lewat.”
“Alamak! Reesa tak sedar dah pukul berapa. Padahal Reesa dah siapkan breakfast untuk abang. Reesa bekalkan jelah untuk abang eh,” balas Areesa tersenyum kecil sambil merapikan tali leher Luqman.
Luqman senyum sambil geleng kepala. Sudah dipesan banyak kali tapi Areesa tetap nak susahkan diri untuk sediakan sarapannya.
SEBELUM keluar dari rumah dengan bekal sarapan di tangannya, Luqman mencium dahi Areesa kemudian berpaling ke arah perut Areesa, lalu menyapa si kecil dalam rahim isterinya.
“Baby duduk baik-baik dalam perut mama tau. Tunggu papa balik, okay,” ujar Luqman sambil mencium perut Areesa pula.
Areesa memerhatikan suaminya penuh rasa sayang. Dua tahun penantian akhirnya mereka dikurniakan cahaya mata.
Areesa dan Luqman memang sudah kenal lama kerana Dato Ehsan bukan saja orang yang diberi amanah oleh keluarga Areesa untuk menjaganya dan syarikat mereka tetapi lelaki korporat itu juga ada hubungan keluarga dengan Luqman di mana Dato Ehsan adalah saudara terdekat di belah ibu Luqman.
Walau Luqman dan keluarganya tidak mengenali sangat dengan arwah ibu bapa Areesa tapi mereka memang sudah kenal Areesa dari zaman sekolah lagi. Dato Ehsan pula lebih suka perkenalkan Areesa sebagai anak angkatnya dan sebab itu Areesa mudah menyembunyikan identiti dan hubungkaitnya dengan Dato Ehsan dan syarikat.
Luqman mula jatuh hati pada Areesa sewaktu kali pertama bertemu ketika Areesa berada di tingkatan lima. Dia setia menunggu hingga Areesa tamat universiti dan akhirnya meluahkan perasaannya. Mereka bercinta selama dua tahun sebelum berkahwin.
“Sayang,” panggil Luqman sebelum keluar pintu. “Abang ada berita gembira untuk Reesa… dan baby kita.”
Areesa terpinga sebentar. “Apa dia?”
Luqman tersenyum bangga. “Abang… mungkin akan dinaikkan pangkat jadi Head Of Markting tak lama lagi.”
Areesa pura-pura terkejut. “Ya ke, abang?”
“Ya, sayang. Semua kerja keras abang selama ni berbaloi tapi kalau tiada sokongan Reesa selama ni, abang tak rasa abang mampu sejauh ni. Abang nak sayang sentiasa bagi sokongan kat abang ya supaya abang boleh beri lebih kesenangan pada sayang dan anak kita nanti.”
Areesa menyentuh dada suaminya perlahan.
“Reesa akan sentiasa sokong abang, tanpa henti,” ujar Areesa lembut. “Sebagai isteri, Reesa pun nak yang terbaik untuk abang. Reesa akan jadi pendengar abang, tempat abang lepaskan penat… dan penguat semangat abang.” Dia menggenggam tangan Luqman erat. “Yang paling penting, Reesa percaya pada usaha abang. Always.”
Luqman tersenyum puas sebelum meminta diri untuk ke pejabat.
Areesa menghantar langkah suaminya dengan pandangan penuh cinta. Tanpa pengetahuan Luqman, dialah sebenarnya yang berbincang dengan Dato’ Ehsan untuk menaikkan pangkat suaminya sebagai penghargaan atas usaha Luqman, dan sebagai tanda cinta buat suaminya.
DALAM perjalanan ke ofis, Luqman memandu dengan wajah yang kaku. Bibirnya terkatup rapat, rahangnya mengeras. Seolah-olah ada sesuatu yang menyerabutkan hatinya dan semakin jauh dia memandu, semakin kuat rasa tidak tenteram itu mencengkam.
Sebaik lampu isyarat bertukar merah, Luqman mencapai telefon bimbitnya. Tanpa buang masa, dia terus menghubungi nama yang sejak tadi menghantui fikirannya.
Telefon disambungkan ke Bluetooth kereta untuk mengelakkan dia daripada melanggar undang-undang.
Sebaik panggilan bersambung, Luqman terus menghambur rasa tak puas hatinya.
“You memang nak I kantoi ke?” ujar Luqman tanpa mukadimah.
Beberapa saat sunyi.
Kemudian kedengaran tawa kecil yang lembut, manja… cukup satu nafas untuk membuat jantung Luqman berdegup dalam ritma lain.
“Oh please… kalau awal sangat kantoi, I yang rugi, Luq…” balas suara itu, mengoda halus, seolah membelai telinga Luqman dari jauh.
Dan sekelip mata, semua rasa takut Luqman hilang begitu saja.
Degupan cemas yang tadi menyesakkan dada terus mereda. Nafasnya jadi lain. Bahunya jatuh sedikit, bukan lagi tegang seperti sebelumnya. Suara itu… suara yang tak sepatutnya menggoyahkan hatinya… tiba-tiba membuat Luqman lupa yang dia sedang bermain dengan api.
Share this novel
Intereting intro … good