Completed
143368
BAU antiseptik menyapa hidungnya. Cahaya lampu hospital terlalu terang. Areesa cuba membuka mata perlahan-lahan tetapi air matanya mengalir sebelum sempat dia fokus pada sekeliling.
“Puan… awak dengar saya? Puan, cuba jangan bangun dulu ya,” ujar Doktor Nadia lembut.
Areesa mengangguk perlahan. Suaminya berdiri di sisi, wajahnya pucat, mata merah seperti baru menangis.
Doktor Nadia mengambil tempat di hujung katil.
“Puan mengalami threatened miscarriage. Tanda-tanda yang puan alami seperti pendarahan, cramp kuat, tekanan darah yang sangat rendah…semuanya menunjukkan rahim puan sedang dalam keadaan stres.”
Areesa menelan liur, air mata tak berhenti.
“Doktor… baby saya… masih ada?”
Doktor Nadia tarik nafas panjang sebelum tersenyum tipis.
“Degupan jantungnya masih ada. Tapi kita perlu sangat berhati-hati.”
Luqman di sisi mengangkat tangan isterinya, menggenggam kuat, seolah-olah meminjamkan kekuatan.
“Ada sedikit subchorionic hematoma, iaitu darah beku kecil dekat kantung bayi. Itu yang menyebabkan pendarahan tadi. Bila darah itu bergeser atau membesar, risiko keguguran meningkat.”
Areesa memejam mata, bahunya bergegar menahan sebak.
Doktor Nadia menyambung, “Kami dah beri ubat progesterone untuk kuatkan rahim. Tapi langkah paling penting sekarang ialah bed rest.”
“Bed rest… maksud doktor… saya kena baring sahaja?” tanya Areesa dengan sebak.
“Lebihkan baring, kurangkan pergerakan. Jangan berdiri lama, jangan naik turun tangga, jangan angkat berat, jangan stres. Dan…” Doktor Nadia berhenti, memandang Luqman sebelum kembali ke Areesa, “elakkan hubungan intim suami isteri buat sementara. Pendarahan yang puan lalui tadi bukan kecil dan kita tak nak ia berulang.”
Luqman tersentak kecil, tapi cepat-cepat mengangguk.
“Berapa lama… doktor?” tanya Areesa perlahan.
“Buat masa ni, sekurang-kurangnya sampai kandungan 12 minggu, ya. Waktu tu paling kritikal. Kalau pendarahan datang lagi atau hematoma tak mengecil, kita terpaksa lanjutkan sampai 16 minggu. Saya tahu susah, tapi saya tak sanggup ambil risiko pada baby puan dan encik.”
Areesa terdiam. Nafasnya tersekat. Perlahan-lahan dia berpaling melihat Luqman yang setia di sisi.
Luqman angguk dan senyum kecil tidak mahu Areesa risau tentang dirinya kerana sekarang yang lebih penting adalah anak mereka yang sedang dikandung oleh isterinya.
“Kalau ada pendarahan lagi, terutama kalau keluar darah beku lebih besar, atau puan rasa sakit mencengkam sampai tak boleh berdiri…puan kena datang kecemasan segera. Jangan tunggu, ya,” pesan Doktor Nadia dengan prihatin.
Areesa hanya mampu mengangguk. Wajahnya basah dengan air mata. Luqman mengusap rambutnya perlahan.
“Tak apa… kita ikut semua cakap doktor. Abang akan jaga sayang. Abang jaga anak kita. Abang janji… Sayang jangan risau, ya.”
Areesa menatap Luqman yang menggenggam tangannya seolah-olah mahu hilangkan segala kerisauan yang melanda dalam hatinya.
“Puan Areesa masih mengandung. Baby puan masih ada. Tapi sekarang, dia perlukan puan berehat. Bagi rahim stabil dulu. Bagi badan peluang untuk pulih.”
Areesa mengusap perutnya perlahan.
Tiga bulan lepas dia dan Luqman sangat gembira kerana akhirnya mereka bakal dikurniakan cahaya mata yang pertama setelah Areesa disahkan mengandung. Rumah tangga yang dibina hampir dua tahun itu makin bahagia bila kedua-duanya tidak sabar menantikan kelahiran zuriat pertama tapi kegembiraan itu hampir diragut bila seminggu kemudian Areesa terasa perutnya mencengkam tiba-tiba, seperti ada sesuatu menarik otot dari dalam. Waktu itu, dia hanya mampu terduduk di lantai bilik, tangan menggigil sambil menyentuh kain yang mula bertompok merah.
Bunyinya masih jelas dalam ingatannya, degupan jantung yang laju dan nafas yang pendek-pendek. Pandangannya berbalam, tekanan darahnya terasa jatuh mendadak. Dia cuba bangun, tetapi lututnya longgar. Dalam keliru dan takut, dia hanya sempat mencapai telefon sebelum tubuhnya rebah perlahan.
Waktu itu nasib benar menyebelahi Areesa. Luqman yang sudah melangkah keluar tiba-tiba berpatah masuk semula ke bilik kerana tertinggal kunci kereta. Jantungnya hampir tercabut bila melihat Areesa sudah terkulai rebah di lantai. Tanpa sempat berfikir panjang, dia terus mendukung isterinya dan memecut ke hospital. Mujur… sangat mujur. Doktor sempat menyelamatkan Areesa dan kandungan mereka sebelum semuanya terlambat.
SEPANJANG beberapa bulan ini, Areesa patuh semua nasihat Doktor Nadia. Malah Luqman sendiri menjaga dan memantau sehingga keadaan Areesa dan kandungannya bertambah baik. Walau jauh di sudut hati Areesa, terasa bersalah kerana sudah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri apabila Luqman sendiri perlu menguruskan keperluannya.
“Sayang nak pergi mana ni?” Terkejut Luqman bila buka pintu bilik terus bertembung dengan Areesa di hadapan pintu. Cepat-cepat Luqman pimpin tangan Areesa kembali ke katil mereka.
Areesa mengeluh lemah. “Abang…Takkan nak suruh Reesa baring lagi. Dan tiga bulan Ressa banyak habiskan masa atas katil ni. Tak boleh ke bagi Reesa buat rutin setiap pagi macam dulu. Hari tu last check up, Doktor Nadia dah cakap kandungan Reesa makin stabil,” rungut Areesa panjang.
Areesa bukan setakat rindu mahu menjalani rutin sehariannya sebagai suri rumah sepenuh masa tapi dia sudah bosan bila asyik terperap dalam bilik sahaja. Hatinya sangat lega bila pemeriksaan baru-baru ini, Doktor Nadia beritahu yang kandungannya makin stabil.
“Ya, memang Doktor Nadia cakap rahim sayang dah bertambah kuat sekarang tapi abang tetap tak nak sayang buat kerja berat-berat.”
“Abang tak rindu ke?”
Pertanyaan Areesa buat Luqman tersentak sedikit.
“Abang tak rindu nak rasa air tangan Reesa? Kalau abang tak bagi Reesa buat kerja rumah pun tak apa… tapi bagilah Reesa masak untuk abang. Dah lama Reesa tak sediakan breakfast untuk abang. Lunch dengan dinner lagilah…” ujar Areesa sambil muncung, merajuk manja.
Luqman tersentak kecil, wajahnya sempat berubah kaku dan canggung sekejap kerana dia tersalah faham pertanyaan Areesa tadi.
Namun bila melihat muncung manja isterinya, garis tegang di dahi Luqman perlahan-lahan surut. Cepat-cepat dia menutup riak gugup itu, menyembunyikan bayangan nakal yang sempat menjengah dalam fikirannya. Bibirnya ditarik paksa membentuk senyuman, cuba mempamerkan wajah suami yang tenang… walhal hatinya masih berdebar kerana tanggapannya sendiri yang tersasar.
“Masak pun boleh buat sayang letih,” ujar Luqman lembut sambil mendudukkan Areesa di tepi katil.
Areesa mencebik. “Apa yang letihnya? Bukan Reesa masak pakai dapur kayu pun. Atau abang sebenarnya dah ketagih dengan nasi lemak gerai Ani J hujung jalan tu, kan?” sindir Areesa yang mula ada tanda-tanda cemburu. “Entah apalah yang dia letak dalam nasi lemak dia tu sampai abang dah tak nak Reesa buat breakfast untuk abang…Abang lagi suka beli je. Padahal dulu bukan main puji Reesa pandai masak. Semua Reesa masak, abang puji sedap.”
Luqman tersengih kecil melihat rajuk Areesa berubah cemburu. Sejak dia tidak benarkan Areesa buat apa-apa, memang dia selalu beli nasi lemak bungkus di gerai hujung jalan kawasan perumahan mereka dan bawa makan ke pejabat. Nasi lemak tersebut memang sedap dan ramai orang beratur beli termasuklah Luqman. Tapi dia bukan beli kerana penjualnya adalah wanita yang memegang status janda muda yang boleh menimbulkan rasa cemburu dalam hati Areesa.
“Tak baik tau sayang fikir bukan-bukan. Budak Ani tu niat nak meniaga cari rezeki je. Lagipun dia dapat status J tu sebab kematian suami. Jadi apa salah kita tolong bantu dia dapat rezeki dengan beli nasi lemak dia tu.”
“Tapi semua orang yang beratur nak beli nasi lemak dia tu… semuanya lelaki. Complete la kut? Ada suami orang, tunang orang… lagi?” rungut Areesa lagi.
Areesa bukan nak cemburu tak tentu pasal sampai tak kasihan dengan nasib wanita lain yang susah cari rezeki di luar sana tapi kerana zaman sekarang ini, ramai yang berselindung di sebalik wajah yang baik.
“Lelaki lain…abang tak tahulah niat diorang datang membeli tapi abang memang beli untuk buat makan je,” balas Luqman kemudian dia meraih tangan Areesa. Ada sesuatu yang musykil dalam hatinya kenapa Areesa tiba-tiba terlebih risau seolah-olahnya isterinya mula ragu padanya.
“Sayang…kenapa ni? Sayang dah tak percayakan abang ke?” tanya Luqman.
Areesa diam lalu menunduk. Bukan dia tak percaya tapi jauh di sudut hatinya rasa takut jika perasaan Luqman terhadapnya berubah hanya kerana keadaannya yang tidak mengizinkan mereka hidup normal seperti pasangan suami isteri.
Areesa mula takut kalau Luqman mudah tergoda dengan perempuan lain di luar sana saat dia sedang hamil. Cukuplah dia dengar cerita yang ada segelintir suami suka ‘makan luar’ ketika isteri sedang hamil. Minta jauh simpang! Areesa yakinkan diri dan percaya Luqman bukan suami jenis tak bermoral.
“Taklah. Ressa cuma sedih je tak dapat layan makan minum abang sampai abang terpaksa makan bungkus beli je.” Areesa bagi alasan yang sewajarnya.
Dia tidak mahu membebankan fikirannya dengan memikir hal-hal yang tidak diingini kerana itu akan buat hubungan suami isteri mula goyah bila ada prasangka buruk terhadap pasangan. Lagipun layanan Luqman terhadapnya masih sama. Tiada beza. Suaminya itu tetap suka bermanja dengannya.
Luqman mengusap pipi Areesa. “Abang yang tak nak susahkan sayang. Sebab apa? Sebab abang tak sanggup kejadian yang sama berulang lagi. Sayang tak tahu jantung abang ni rasa nak tercabut bila tengok sayang pengsan dengan darah keluar semua tu. Sampai sekarang abang masih rasa takut lagi. Sayang faham perasaan abang, kan?” tanya Luqman lembut.
Areesa angguk faham. Dia tahu yang Luqman buat semua itu demi kebaikannya dan anak mereka.
“So, jangan fikir bukan-bukan lagi ya. Abang cinta dan sayang sangat pada isteri abang ni. Sampai mati cinta abang untuk sayang,” ujar Luqman sambil menunduk cium dahi Areesa.
Hilang sudah rajuk Areesa dan wajahnya kembali ceria seperti biasa. “Hmm, abang sayang Reesa, kan? So, lusa abang kena bawa Ressa dinner kat luar, okey. Kita ajak Qis dengan Zuhayr sekali,” pinta Areesa teruja.
“Zuhayr?”
Nama itu saja sudah cukup buat wajah Luqman berubah ketara. Bukan sekadar terpinga tapi matanya membesar sedikit, nafasnya terhenti sejenak
Areesa tergelak kecil. “Kenapa abang nampak terkejut semacam aje?”
Luqman cepat-cepat tarik nafas, cuba sembunyikan riak wajahnya yang jelas berubah.
“Kalau ajak Qis tu… abang faham la,” balas Luqman akhirnya, suaranya cuba berlagak tenang. “Tapi suami dia? Bukan ada kat Johor.”
“Bukannya dia tak balik-balik KL pun jumpa isteri dia, bang. Dah kita ajak isteri dia, mestilah kena ajak dia juga kalau dia balik sini nanti,” ujar Areesa bersahaja. “Takkanlah kat ofis tu abang tak nampak Qis happy semacam tak sabar nak tunggu husband dia balik? Qis sendiri bagitahu Reesa. Walau sekejap sampai weekend ni je tapi dapatlah dia lepaskan rindu berbulan-bulan tu.”
Luqman menelan liur perlahan, terasa pahit di kerongkong. Ada sedikit gugup menyelinap di hatinya tetapi dia tetap cuba berlagak tenang seperti tiada apa yang mengganggu fikiran.
“Abang bukan satu department dengan kawan sayang tu pun,” balas Luqman sambil buat-buat sibuk ambil pakaian kerjanya.
“Hmm, kalau satu department… senanglah kerja Reesa nak suruh Qis jadi spy intip abang,” seloroh Areesa sambil tersenyum.
Ayat itu kedengaran biasa pada telinga Areesa tapi tidak pada Luqman. Kerongkongnya serta-merta terasa tersekat. Senyuman di bibirnya mati perlahan-lahan.
Seolah-olah… Areesa hampir menangkap sesuatu yang dia cuba sembunyikan mati-mati.
Dan sebelum sempat Luqman tarik nafas lega…
Areesa memandangnya dengan renungan yang buat jantungnya serta-merta berhenti berdetak.
Share this novel
cerita ni ok