Berhari-hari Safiya menahan telinga dek kerana mendengar bebelan mama dan adiknya, Syafrina. Semua ini salah pemandu BMW 6 series yang tidak bertanggungjawab itu. Walaupun luka di kaki kian sembuh, tapi sakitnya hati tidak akan hilang selagi dia belum membalas dendam. Kini dia sudah boleh berjalan seperti biasa dan tiada bengkak lagi.
"Kak, kau dah janji nak beritahu adik pasal abang Farhan. Nak dekat seminggu adik tunggu kak. Sikit pun tarak,"ungkit Syafrina.
Ketika itu, mereka berdua sedang duduk di meja batu sambil menikmati angin petang di beranda rumah. Sungguh nyaman ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.
Novel Cinta Kontrak hasil garapan Nurul Syuhada menjadi pilihan bacaan Safiya manakala Syafrina bermain dengan telefon pintarnya.
"Haahlah Fiya. Mama pun nak kenal juga siapa Farhan dan keluarganya. Bolehlah mama cepat-cepat dapat menantu,"celah Datin Maria mendekati anak daranya sambil menatang dulang berisi air oren dan biskut.
"Ish mama ni, sampai ke situ. Fiya dengan Farhan hanya berkawan. Dia tolong Fiya masa accident hari tu,"terang Safiya.
Sudah berulang kali alasan itu menjadi jawapan kepada soalan Syafrina dan Datin Maria. Namun mereka masih lagi tidak puas hati.
Safiya mencapai sekeping biskut lalu dikunyah perlahan. Sesekali dia tersenyum sendirian menghayati jalan cerita yang agak lucu dalam novel itu.
"Fiya, tak payah ulang alasan yang sama. Mama tahu Farhan tolong Fiya masa accident. Maksud mama Farhan tu perangainya bagaimana, siapa ibu ayahnya, duduk mana. Itu semua mama kena tahu,"bebel Datin Maria.
"Betul tu mama,"sokong Syafrina.
Aduh, pening kepala Safiya. Dia menggaru kepala yang tidak gatal mencari alasan kukuh pula. Dia tidak boleh menilai seseorang yang dia baru kenali.
Treet! Treet!
Safiya meletak novel di atas meja. Belum sempat Safiya mencapai telefon bimbitnya, Syafrina sudah menyambar laju. Terbeliak mata Safiya. Dia mengetap bibir.
"Eh Fina, bagi akak balik,"pinta Safiya cuba menyambar telefonnya sebelum dibawa lari oleh Syafrina.
"Mama, abang Farhan hantar mesej,"ujar Syafrina membuka lock telefon. Nasib dia tahu pattern Safiya.
"Fina! Bagi akak balik!,"jerit Safiya mengejar Syafrina keliling meja.
"Kamu berdua duduk, pening mama. Fina bacakan apa yang abang Farhan mesej,"arah Datin Maria.
Syafrina menjelir lidah kepada Safiya. Geram Safiya melihat telatah adiknya. Dia sudah mengambil tempat di sebelah Datin Maria.
"Mama dengan akak dengar ya. 'Salaam, apa khabar Fiya? Sorry baru hari ni dapat bertanya khabar. Dah makan? Kaki dah okay?.' Fuyoo! Ada orang ambil berat. Meh adik tolong jawabkan,"ujar Syafrina sudah menaip sesuatu.
"Fina, tak payahlah reply apa-apa,"rayu Safiya.
"Eh tak apalah. Fina reply cepat. Jangan buat bakal menantu mama ternanti-nanti,"balas Datin Maria memberi kebenaran.
"Mama." Kesian pula Datin Maria melihat muka sedih Safiya. Dia menghela nafas berat.
"Fina, bagi kakak telefon. Biar kakak yang balas. Tapi di sini bukan tempat lain. Mama dan adik nak tengok mesej Fiya,"arah Datin Maria.
Mati senyuman Safiya mendengar arahan mamanya. Berdecit mulutnya tanda protes.
"Atau Fiya tak mahu?,"sambung Datin Maria.
"Okay mama. Fiya reply di sini,"balas Safiya mengalah.
Telefon Samsung milik Safiya bertukar tangan. Syafrina kembali bermain telefonnya sambil memasang telinga mendengar bait mesej Safiya.
'Wasalam. Saya sihat, alhamdulillah. Makan pun dah. Awak?. Kaki ni dah okay. '
Send.
Treet!
'Alhamdulillah. Baguslah kalau begitu. Jangan lupa keep on dressing sampai sembuh. Saya pun dah makan. Fiya, saya ada emergency case, nanti kita sembang lagi. Kirim salam pada family, awak. Assalam.'
Serentak Datin Maria dan Syafrina menjawab salam. Datin Maria tersenyum senang. Dia sudah menjadikan Tengku Farhan masuk ke dalam senarai menantu pilihan.
"Mama, suka Farhan ni. Nanti senang-senang ajak datang rumah. Kenalkan dengan papa,"cadang Datin Maria.
"Siapa yang Mar nak abang kenal?"celah Datuk Borhan yang mendekati mereka.
Tersentak Safiya.
"Eh Papa dah balik." Syafrina memeluk erat ayahnya.
Sememangnya, kasih sayang Datuk Borhan terhadap anaknya, Syafrina melebihi daripada Safiya. Apa sahaja yang dilakukan oleh Safiya pasti tidak kena pada matanya.
Selalu Safiya terasa hati dengan ayahnya. Tetapi Datin Maria dan Syafrina pasti memujuk dan menyokongnya.
"Kawan yang hantar Fiya hari tu. Nampak baik dan sopan budaknya. Mar ingat nak ajak makan malam dekat rumah nanti,"terang Datin Maria.
"Betul tu papa. Boleh tahan pula tu. Caring dengan kakak,"sokong Syafrina pula.
Terbeliak mata Safiya. Aduh dia tidak menyuruh Syafrina menyokong ajakan mama mereka. Pasti papanya akan mengikut cadangan Syafrina.
"Betul ker Fiya?"tanya Datuk Borhan serius.
"Err, betul papa,"balas Safiya teragak-agak.
"Kalau begitu, minggu depan hari sabtu ajak dia datang rumah,"tegas Datuk Borhan memberi arahan.
"Ta..tapi." Belum sempat Safiya menolak ajakan itu, Datuk Borhan sudah berbual bersama isterinya dan Syafrina pula.
Kehadiran Safiya dianggap seperti lenyap daripada perbualan mereka. Tidak mahu melayan perasaan sedihnya, dia meneruskan pembacaan yang tergendala tadi.
"Mar, sabtu minggu depan kawan abang, Tan Sri Syed Ali dengan family-nya, nak datang. Katanya ada hal penting nak bincang. Nanti Mar masak sedap-sedap,"ujar Datuk Borhan.
"Betul ker papa?"tanya Syafrina malu-malu.
Sudah lama dia tidak berhubung dengan Syed Iqbal setelah keluarga Syed itu berpindah ke United Kingdom. Entah bagaimana rupa abang Iq sekarang.
"Ya sayang. Nanti bolehlah Fina jumpa dengan abang Iq. Mesti Fina rindukan diakan,"teka Datuk Borhan mencuit hidung Syafrina.
Tersenyum simpul Syafrina sambil mengangguk malu.
"Apa khabar ya Kak Fidah. Dah lama rasanya tak berhubung. Tak sabar Mar nak jumpa,"ujar teruja Datin Maria.
"Itulah. Abang pun tak sangka jumpa tadi dekat Maybank. Eh dah jom masuk. Dah nak gelap ni. Jom,"ajak Datuk Borhan berlalu bersama Syafrina.
"Fiya jom masuk. Dah nak gelap ni,"ajak Datin Maria.
"Baik, mama."
Safiya menatang dulang tadi bersama novelnya dibawa ke dapur. Selepas itu, dia mendaki anak tangga menuju terus ke biliknya. Dia sempat melihat kemesraan Datuk Borhan bersama Syafrina dan Datin Maria di ruang tamu.
Air mata yang tertahan kini bergenang di pipi. Esakan kecil turut kedengaran. Semenjak dulu, dia tertanya kenapa kasih sayang ayahnya berbelah bagi. Pedih dan sakit rasanya.
"Minnie, kenapa ya papa tak sayang aku macam dia sayang Fina? Aku bukan anaknya ker?,"ngadu Safiya sambil memeluk patung Minnie mouse di atas katilnya.
Selama ini anak-anak patungnya menjadi tempat untuk dia mengadu nasib. Itulah kawan setianya selain adik dan mamanya. Lama kelamaan dia terlena bersama air mata yang sudah mengering. Nasib baik dia sedang ABC. Allah Bagi Cuti...
terima kasih sebab sudi membaca
Share this novel