BAB 3

Crime Completed 558

“Kawan? Jangan sebut perkataan yang kau sendiri tidak faham maksudnya.
Tidak pernah aku mengaku kau kawan aku. Seorang kawan tidak akan
jatuhkan airmuka kawannya di depan orang lain. Adakah perkara begitu kau
panggil bergurau? Apa salah aku kepada kau?”

“Ah, kau mengarut saja, kau silap sangka!”

“Di hadapan orang cacian kau terhadap aku begitu halus. Kalau aku
membantah tentulah aku yang akan dianggap tidak tahu nak bergurau.
Sedangkan apa yang kau anggap gurauan itu keterlaluan dan menghina. Di
sebalik senyuman dan gelak ketawa kau, kau mempunyai hati yang busuk
pekung.”

“Lancang sungguh mulut kau hari ini, Jid.”

“Kau marah dan hairan bukan? Kerana kau tidak pernah tengok aku
berkelakuan begini, berterus terang di depan muka kau? Aku mendapat tahu
kau telah memburuk-burukkan aku di depan Hazjris . Sebab itu dia bencikan
aku dan sentiasa marah-marahkan aku sedangkan aku tidak pernah memusuhi
dia. Sepatutnya aku menduga ini semua kerja kau. Sekarang tentu kau
sudah puas. Sekarang kau boleh ketawa besar dengan gurauan kau yang
terakhir itu. Mulai hari ini jangan tunjuk muka kau di depan aku lagi,”
Sahak meluahkan segala yang terpendam dalam hatinya. Sekali lagi dia
tidak dapat berbuat tindakan yang diajar oleh orang yang sabar dan beriman.

“Ah, aku juga tak ingin, boleh pergi jahanam dengan kau!” balas Ilham
lalu melangkah dari situ.

“Adakah kerja aku lebih ringan dan gaji aku lebih tinggi daripadanya
yang membuat dia bersikap begitu? Sedangkan aku orang baru di kilang itu
dan lebih muda daripadanya. Takkan itu yang membuatnya benci padaku?
Berbaik-baik di depan tetapi menikam aku di belakang. Ataupun aku tidak
ikut seperti kenalan-kenalannya yang lain, pantas menari bila dia
menepuk?” Sahak sekadar menghela nafas panjang. Marah yang dipendam
selama ini telah diluahkan. Dia berasa sedikit lega.

“Jadi fikiran kau buntu kerana kau kena buat pilihan ini?” Itulah
pertanyaan abangnya, Nazam setelah dia memaklumkan tentang tawaran kerja
dari dua buah syarikat yang berasingan itu. Sahak cuma menangguk.
“Perkara ini bukanlah begitu besar sangat. Tidak ada perbezaan sangat
antara kedua jawatan itu. Tetapkan hati kau dan pilihlah salah satu
dengan yakin. Pilihan kau takkan merugikan kau.”

“Memang sekarang kedua-duanya kelihatan hampir sama tetapi kalau setelah
beberapa tahun nanti saya dapati saya telah membuat pilihan yang salah,
bagaimana?”

“Kau tak harus berfikir begitu, Jid. Jangan dibiarkan fikiran kau
bermain-main macam tu. Sampai bila pun kau takkan dapat melangkah ke depan.”

“Tapi arah mana nak saya langkah?”

“Nampaknya bukan tentang pilihan kerja ini sahaja yang menganggu fikiran
kau.”

“Ya, bang. Kerja ini hanyalah salah satu daripadanya. Saya sedang
fikirkan tentang keseluruhan hidup ini dan pemilihan yang kita buat
setiap masa,” jawab Sahak kepada abangnya yang sedang mendengar dengan
teliti. “Cuba abang fikir, setiap satu yang kita lakukan sekarang
hasilnya hanya akan kita tahu di masa akan datang.”

“Jadi kau takut kau akan buat pemilihan yang salah sekarang dan nanti
hasilnya bukan seperti yang kau idam-idamkan, tidak seperti apa yang kau
cita-citakan, begitu?”

“Ya, itu maksud saya ,bang. Setiap masa dalam apa saja perkara kita
terpaksa memilih antara itu dan ini, antara ini dan itu. Setiap
pemilihan itu sedikit demi sedikit mencorak atau mengubah masa depan kita.”

“Jadi kau nak setiap pemilihan kau itu tepat? Kau bercakap seolah kau
mahu kepastian dalam hidup ini. Kau mahu dijanjikan dengan satu
kehidupan yang tiada dugaan dan rintangan? Mustahil boleh begitu, Jid.”

“Bukanlah sampai begitu bang, tapi entahlah…”

“Hidup ini tiada kepastian, Jid. Dugaan dan rintangan pasti akan kita
tempuhi. Kenikmatan dan keindahan juga akan kita nikmati. Allah itu Maha
Kaya dan kita perlu terima segala ketentuan-Nya.”

“Segalanya memang ketentuan-Nya jadi benarkah ada pemilihan, bukankah
pemilihan sudah ditetapkan?”

“Kau keliru, Jid. Dorongan hati kau dan ikhtiar itulah yang membuka
fikiran kau untuk memilih apa yang kau mahu dan Allah akan melimpakan
kurnia-Nya. Apa yang dikurniakannya tidak semestinya apa yang kita
cita-citakan kerana apa yang kita cita-citakan tidak semestinya sesuatu
yang baik bagi kita,” jawab abangnya.

“Saya faham bang, tetapi fikiran saya masih bermain-main dengan
persoalan ini.”

“Kerana kau terlalu ikutkan hati dan fikiran kau. Memikirkan sesuatu
yang tidak mampu dicapai oleh akal fikiran kau. Apa lagi syaitan pun
mengambil kesempatan memutar-belit apa yang berlingkar dalam kepala kau
itu. Tujuannya hanya untuk mengoncang iman. Perkara kecil boleh
dijadikannya beban sebesar gunung.”

Kata-kata abangnya meresap masuk ke benaknya. “Tenangkan fikiran kau dan
dengan pendirian yang teguh langkahlah tanpa was-was. Ikhtiar, doa dan
tawakal, itulah caranya. Insya-Allah akan diperkenankan-Nya segala yang
baik. Kau perlu berbaik sangka.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience