Tiba-tiba dia terdengar Hazjris menyergah lagi. Tetapi suara itu bukannya
datang dari dalam kotak yang disimpan tadi. Fikirannya yang menghayal
tadi kembali kepada realiti di depannya. Muka Hazjris semakin bengis. Sahak
sudah tidak dapat menahan marahnya lagi. Perasaan marah itu
menumbuk-numbuk dadanya, menghimbau untuk keluar. Dia bangun bersemuka
dengan Hazjris .
“Hoi manusia tak berhati perut! Ini juga bukan kilang bapak kau dan
memang aku dah nak berhenti!” Pandangan Sahak menikam tepat ke muka
Hazjris . Nada suaranya lebih bengis daripada Hazjris . “Kotak-kotak itu, kilang
ini, kerja ini dan kau juga, semua sekali boleh pergi jahanam!” Sahak
terus melangkah keluar dari bilik itu, meninggalkan ketuanya yang masih
tercenggang dengan perubahan pada diri Sahak . Tindakan Sahak membuat
Hazjris terdiam di situ bagai disumpah menjadi batu.
Angin petang yang segar itu dihirup sepuas-puasnya kemudian dihelanya
keluar perlahan-lahan. Sambil duduk di atas bangku panjang dalam taman
itu, matanya mengekori beberapa orang kanak-kanak yang berlarian dan
berkejaran. Dari hujung padang ke hujung padang mereka bermain tanpa
penat dan jemu. Sahak memeluk tubuhnya dan memejam matanya menikmati
hembusan bayu dan suara riang dan manja kanak-kanak di situ. Sahak sedar
caranya menghadapi Hazjris bukan cara yang betul. Bukan cara yang dididik
oleh ibunya. Bukan cara yang pernah diajar oleh ustaznya. Tetapi dia
sudah tidak dapat menahan marah yang meluap. Walaupun dalam Islam ada
caranya untuk meredakan perasaan yang panas itu.
‘Ke mana aku sekarang?’ pertanyaan itu sentiasa timbul. Timbul dalam
pelbagai keadaan dan tempat. Bukan sekali dua tetapi sudah
berpuluh-puluh kali. Kali pertama semasa dia hendak menjejak kaki keluar
dari sekolah setelah mendapat keputusan SPM. Kemudian setelah dia
melangkah keluar dari kolej. Selepas itu pertanyaan itu sentiasa
menjelma dalam fikirannya setiap hari. Sekiranya pertanyaan itu tidak
terjawab tidak akan ke manalah dia. Manusia yang melangkah ke hadapan
yang sudah tahu arah dan tujuan akan meninggalkan nya. Mereka yang telah
lama meletakkan cita-cita dan membentuk impian, menyusun matlamat dan
mengorak langkah.
Pemilihan harus dibuat untuk menjawab soalan itu. ‘Bagaimana pemilihan
hendak dibuat kalau jalan-jalan di hadapan masih kabur?’ Memang menambah
kerumitan dalam pemilihan. Adakah dia telah membuat pemilihan yang tepat
apabila dia mengambil keputusan untuk bekerja daripada melanjutkan
pelajarannya lagi? Tetapi bukankah kerana keadaan hidupnya dan
keluarganya ketika itu yang membuatnya membuat keputusan begitu? Adakah
kesanggupannya untuk bekerja di kilang itu satu pemilihan yang baik?
Tetapi dia sudah tidak kesah. Kerja lain sudah memanggilnya. Namun
pemilihan harus dibuat lagi. Dua jawatan telah diterimanya. Yang mana
satu yang akan menjanjikan sesuatu yang baik bagi dirinya? Perkara itu
yang bermain-main dalam pemikirannya.
“Kadangkala mak tak faham dengan keadaan diri kau. Mak tengok hidup kau
ini tak teratur. Beban masalah apa yang membuat kau duduk tak kena,
berdiri pun tak kena ni?” ibunya bertanya.
“Perkara kecil saja mak, tetapi fikiran ini menyulitkan perkara yang kecil.”
“Tentang apa, Jid?”
“Tentang diri dan masa depan, tentang pemilihan,” jawab Sahak .
“Oo itu, kalau kau tak boleh nak pilih, boleh mak pilihkan untuk kau,
gadis mana yang paling sesuai.”
“Bukan itu yang Jid maksudkan, mak. Ini tentang pemilihan yang Jid buat
setiap hari tentang semua perkara yang Jid hadapi.”
“Dalam apa perkara pun, kata orang tua-tua, jangan terlalu memilih.
Nanti pilih punya pilih dapat yang buruk.”
“Kalau jadi begitu macam mana, mak?”
“Kita kenalah bersyukur, berikhtiar dan bersabar kerana itu semua
ketentuan Allah,” jawab ibunya.
Petang. Sahak duduk sendirian di hadapan rumahnya dan datang Ilham ,
dengan pertanyaan yang memang telah diduganya.
“Heh Jid, mengapa kau berhenti kerja?”
“Adalah sebabnya,” Sahak malas untuk melayan Ilham .
“Dah ada kerja, susah-susah nak dapat, senang-senang pula berhenti.
Sengaja nak cari susah,” kata Ilham lagi. Selain daripada Hazjris , Ilham
seorang lagi pekerja di kilang Sahak , yang amat tidak disenanginya.
Sikap Ilham memang selalunya menyakitkan hatinya.
“Kau ni kalau buat sesuatu memang tak pakai kepala otak kau. Mengapa
suka menyusahkan diri sendiri?”
“Kau pula yang lebih kuah daripada sudu. Heh, siapa suruh kau datang
sini?” Sahak menyergah, entah mengapa hatinya sekarang sudah tidak dapat
bersabar seperti dulu.
“Marah nampak, kata macam itu pun nak naik angin?”
“Setiap perkataan yang keluar dari mulut kau itu memang selalu membuat
aku marah dan sakit hati,” kata Sahak lagi.
“Tak sangka aku…”
“Jangan kau nak pura-pura, Ilham . Aku tahu perangai kau dan kau tahu
perangai aku. Setiap apa yang kau lakukan selama ini, aku cuma diam
sahaja. Sebab itu kau boleh pijak kepala aku. Kau berani kata apa saja
yang kau suka tentang aku, baik di depan atau di belakang aku.”
“Kita kawan dan aku cuma bergurau!” selamba jawabnya.
Share this novel