DIA tersepuk duduk di satu sudut bilik itu sambil menyandar ke dinding.
Peluh bertambah banyak mengalir turun. Dia menghembus keluar nafas
kepenatan. Diseluk poket seluarnya lalu menarik keluar sehelai tuala
kecil. Diseka lelehan peluh dari muka tengkok dan dadanya. Haba di dalam
bilik itu begitu berkuap. Kalau duduk-duduk sahaja pun badan mudah
berasa panas dan berpeluh, inikan pula bekerja keras.
Sahak memandang sekelilingnya terutama kepada susunan kotak-kotak berisi
alat ganti yang seberat sepuluh kilogram yang telah diaturnya dengan
begitu rapi di satu sudut. Dia mengeluh panjang. Sudah hampir setahun
lamanya dia bekerja di situ. Dia tidak kesah sangat dengan kerja yang
banyak dan berat itu tetapi dia tidak ingin tersadai di tempat itu
selamanya. Kerja itu untuk sementara waktu sahaja.
Setelah sekian banyak permohonan yang dibuatnya, diikuti dengan beberapa
temuduga, akhirnya datanglah jawapan yang mengembirakan beberapa hari
yang lalu. Bukannya jawapan yang bermula dengan kata-kata ‘Dukacita
dimaklumkan…’ sepertimana yang sering diterimanya. Hasrat untuk
berhenti bekerja di situ hampir tercapai. Dia menghembus nafas panjang
dan kali ini hembusan yang melegakan.
Dia bukannya tidak suka kepada pekerjaan yang sedang dilakukannya itu
malah kerja halal apapun dia sanggup buat asalkan dia tidak menganggur.
Gaji di tempat itu pun memuaskan tetapi yang dia tidak boleh tahan
perasaannya adalah kehadiran dua orang manusia yang bekerja di situ,
Hazjris dan Ilham . Mereka adalah duri dalam dagingnya. Merekalah yang
membuatnya betul-betul ingin melarikan diri daripada tempat itu. Sikap
mereka cukup menjengkelkan. Apa sebabnya dia pun kurang pasti namun
itulah antara sebab utama dia ingin mencari pekerjaan lain.
Sekarang dia begitu gembira. Dia telah mendapat tawaran bekerja di
tempat lain. Malah bukan satu tetapi dua tawaran dari dua buah syarikat
yang berbeza. Dia bersyukur kepada Allah yang telah memberi rezeki itu.
Cuma sekarang dia menghadapi masalah pemilihan. Pekerjaan yang mana satu
yang perlu diterimanya? Perkara ini yang berpintal-pintal dalam
kepalanya. Dia tahu dia perlu mengorak langkah segera untuk membuat
ketetapan.
Begitulah dirinya selalu. Jikalau ada sesuatu perkara yang memerlukannya
membuat pemilihan, akan jadi satu masalah baginya pula. Perkara itu
bukan sahaja tentang apa yang sedang dihadapinya malah semua perkara
yang menjangkau ke masa depan. Ini akan membuatnya serabut dan keliru.
Bila diheret berpanjangan dalam kepalanya, hal yang kecil dan mudah
menjadi besar dan payah. Apa yang dia buat menjadi serba tidak kena. Dia
meraba-raba mencari jalan dan mencari arah untuk dituju. Untuk melangkah
mencari ketetapan dia perlu membuat pelbagai pilihan, kalau tidak, mana
mungkin langkah dapat diorak.
‘Rancang, usaha, berdoa dan tawakal. Itu yang disuruh Allah. Jawapannya,
hasilnya dan segalanya tetap ditentukanNya dan kita harus menerima
takdirnya. Namun ia bermula dengan pemilihan. Hidup akan terbentuk
melalui jalan yang dipilih. Adakah jalan yang dipilih sesuatu yang
sesuai dan baik? Mungkinkah pemilihan itu pemilihan yang salah? Tetapi
bukankah sebelum kita memilih Allah telah pun menetapkan apa yang akan
kita pilih?’ Agak kacau-bilau fikirannya memikirkan tentang qadak dan
qadar. Kadangkala fikirannya bersimpul-simpul tidak nampak hujungnya.
“Apa ni, kerja belum habis sudah duduk berehat?” Tiba-tiba muncul Hazjris ,
ketua bahagian tempatnya bekerja itu. Dia memandang tepat ke muka Sahak ,
agak marah. Sahak mengerling ke arahnya dan kemudian memaling muka ke
arah kotak-kotak yang sudah tersusun itu. Kalau selalu sudah pasti dia
akan tergesa-gesa bangun untuk meneruskan kerja tetapi pada hari itu dia
rasa tidak kuasa untuk bangun. Hatinya memaksanya supaya tidak berganjak
daripada duduknya dan tidak mempedulikan ketuanya yang muncul itu.
“Kau tengok berapa banyak lagi yang harus dibuat. Kalau kau asyik duduk
begini sampai bila nak habis?” marah Hazjris sambil mencekak pinggang.
‘Takkanlah dia tak nampak kotak-kotak yang banyak tersusun itu. Bukankah
itu sudah mengambil masa yang lama untuk dibuat? Sikit punya letih nak
siapkan. Dia pergi mengelat entah di mana tiba-tiba datang nak marah
kita pula,’ detik hati Sahak .
“Eh, dia buat tak peduli pula,” keluar lagi kata-kata kasar dari mulut Hazjris .
‘Masa kita buat kerja berjam-jam dia tak datang tengok, duduk saja
sesaat muncul dia macam setan,’ hati Sahak terus mahu memberontak. Tidak
ingin dia tunduk dengan arahan Hazjris . Keadaan fikirannya tidak
mengizinkan dia melakukan sesuatu yang dapat menenangkan suasana.
“Hoi, kau tak pedulikan aku, ya!” tengking Hazjris tetapi Sahak masih duduk
tidak menghiraukannya. Dia memang selalunya mengikut perintah dan cepat
mengalah tetapi semua itu dengan tiba-tiba telah lenyap dari dirinya.
‘Mengapa sikapnya begini? Aku bukannya pemalas! Takkanlah dia tak tahu
kotak-kotak itu berat. Aku manusia, bukannya robot. Memang tak
bertimbang rasa langsung.’ Rasa meluat dalam hatinya menimbun dengan
mengejut. Dia berasa letih dan perasaan benci mula menjalar masuk ke
dalam dadanya.
“Mengapa punggung masih melekat di situ,? Teruskan kerja kau!”
‘Selalu saja dia begini, sentiasa mencari-cari salah aku. Mengapa dia
memilih untuk menyakitkan hati aku? Dan adakah aku di sini hanya untuk
menerima cacian dan kemarahannya?lam dadanya.ka’ Semua perasaan lain
diketepikan kerana perasaan marah sudah mula menyelubungi dirinya.
‘Mengapa aku saja yang harus bersabar? Mengapa harus aku jadi tunggul
dan membiarkan orang menyakitkan hati aku? Mengapa aku memilih untuk
diam membodoh?’
Hazjris menyergah lagi. “Hoi ular! Kau ingat ini kilang bapa kau, kau ingat
kau boleh makan gaji buta! Kalau kau tak mau kerja, lebih baik berhenti!”
Sahak terpantul bangun berdiri seolah dilambung lantai dibawahnya lalu
bersemuka dengan Hazjris dengan tanggannya tergenggam. “Kalau ini kilang
bapa aku, dah lama dah kau kena angkat bungkus dan berambus!” sergahnya
kepada Hazjris .
Buku lima sulungnya betul-betul menyinggah ke batang hidung Hazjris . Darah
memancut keluar dari lubang hidung Hazjris . Hazjris terhoyong-hayang apabila
tumbukan kedua Sahak dilepaskan ke rahangnya. Belum sempat Hazjris tumbang
Sahak mencapai tangannya lalu menghayun dan menghumbankannya ke atas
kotak-kotak yang tersusun itu. Kotak-kotak itu runtuh ke atasnya.
Tertimbus dia di bawah kotak-kotak yang berpuluh-puluh kilogram
beratnya. Apabila Sahak mengangkat kotak-kotak itu dia mendapati tubuh
Hazjris sudah leper bagai sekeping kadbod. Lenyet dan berdarah. Sahak
segera mengikis tubuh Hazjris yang telah melekat di lantai. Dia melipat
tubuh Hazjris bagai melipat sekeping kertas. Dimasukkan tubuh Hazjris ke dalam
kotak dan disusun bersama kotak-kotak yang lain. Hatinya puas.
Share this novel