BAB 5

Crime Completed 558

“Jangan lepaskan dia…dia memang gila!”

“Aku tak gila, ini fitnah! Mengapa kau menuduh aku yang bukan-bukan?”
seru Sahak sambil cuba melepaskan diri. Gengaman kedua orang lelaki itu
tetap kuat. Dia cuba meronta.

“Kerana kami bencikan kau!” jawab Hazjris dan Ilham serentak.

“Tidak…tidak...” dia terus meronta. Begitu bertenaga dan gagah sekali
rontaannya itu sehingga terlepas dari pegangan dua orang lelaki
beruniform itu.

“Jangan biarkan dia lari!” Ilham menjerit tetapi Sahak sudah dapat
meloloskan diri. Dia sudah bebas dan dia benar-benar marah. Bergelegak
darah panasnya. Perasaan benci membuak hingga ke puncaknya. Merah
matanya dan gelap pandangannya. Tangannya menggeletar. Mungkin dia sudah benar-benar gila. Lantas dia memungut parang yang berada di atas tanah. Dia mengenggamnya erat lalu menerpa ke arah Ilham . Dia menghayun parang yang bersilau di panah matahari.

Ssiiuuppp! Bilah yang tajam itu membelah angin lalu menghinggap ke
pangkal leher Ilham , terbenam dalam dagingnya. Memancut darah bagai paip
air yang pecah. Darah yang merah pekat itu menyimbah ke tubuh Ilham .
Membuak. Dan Ilham rebah ke tanah mengelupur bagai ikan yang melompat ke
darat. Kemudian Sahak menghayun parang itu ke arah bertentangan. Dan
Hazjris pula menerima nasib yang sama.

Dua orang lelaki beruniform itu menyerbu ke arahnya. “Tangkap si
pembunuh itu!” jerit mereka sekuat hati. Sahak cuma tercegat di situ.
Wajahnya pucat. Seluruh badannya mengeletar. Terlepas parang dari tangannya.

“Kau pembunuh! Kau pembunuh!” tiba-tiba Hazjris yang sedang mengelupur di
tanah itu memekik. Pekikan itu bagai disambut oleh gunung dan lembah
hingga melambung ke angkasa memenuhi setiap ruang udara.

“Tidak aku bukan pembunuh! Aku bukan pembunuh!” Bagai orang yang tidak
siuman Sahak menjerit. Ketakutan yang tidak pernah dirasai menyerang
dirinya. Kakinya tidak dapat bergerak bagai dipacang ke tanah.

“Inikah jalan yang kau pilih? Inikah jalan yang kau inginkan?” Dua orang
lelaki yang beruniform itu bertanya dengan wajah mereka yang bengis.

“Tidak aku tidak memilih jalan ini…”

“Kau telah pilih jalan yang salah. Tiada lagi masa depan untuk kau!”
Tiba-tiba satu suara yang serak dan kuat kedengaran. Dia menoleh
terkejut melihat Ilham terpantul berdiri dengan kepalanya yang terkulai
ke kiri akibat leher yang sudah rebeh dan terbelah itu. Darah masih
mengalir dari lehernya itu. Ilham menuding jari ke mukanya.

“Kau telah menjahanamkan hidup kau…kau pembunuh!”

“Tidakkk…!”

Sahak terkejut bangun. Dia beristighfar beberapa kali. Peluh dingin
berbintik-bintik di dahinya. Diceleknya matanya luas lalu bangun
terduduk. Keadaan bilik suram. Dia meraba-raba dan menekan suis lampu.
Jam menunjukkan pukul tiga pagi.

‘Aku telah membiarkan syaitan mempermainkan fikiran aku di waktu siang
dan juga malam. Aku tak boleh terus begini. Hidup ini tiada kepastian.
Dugaan dan rintangan pasti akan kutempuhi. Memang benar kata abang.
Mengapa aku harus berfikir dengan begitu rumit dan membuang masa dalam
kebuntuan? Aku perlu melangkah. Aku mesti ada pendirian. Aku harus
bertawakkal.’

Sahak terus ke bilik air dan mengangkat wuduk. Dua rakaat sembahyang
istiqarah dilaksanakannya. “Ya Allah, sesungguhnya aku minta ketetapan
daripada Engkau dengan ilmu Engkau. Aku minta ketentuan dengan ketentuan
Engkau. Aku minta pada Engkau dari kurnia Kau yang Maha Agung.
Sesungguhnya Engkaulah yang menentukan bukannya aku. Engkaulah yang Maha
Mengetahui bukannya aku. Engkaulah yang mengetahui segala yang ghaib. Amin.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience