BAB 4

Crime Completed 558

“Ya bang, saya faham, terima kasih atas peringatan abang itu.” Sahak
bangun untuk beredar dari situ kemudian berhenti dan menoleh kepada
abangnya semula. “Satu soalan lagi, bang. Dalam perjalanan hidup ini
kita bertemu dengan pelbagai jenis manusia tetapi mengapa ada manusia
yang lebih suka menyakitkan hati kita daripada mengubatinya?”

“Itu pilihan yang dia buat daripada hatinya yang ada penyakit. Inilah
manusia lemah yang sering terpesong dari jalan yang lurus, Jid,” jawab
abangnya.

Sinaran matahari begitu terik sehinggakan cahayanya dapat menikam
menerusi celah-celah daun pepohon di hutan itu. Semak-samun, tumbuhan
liar yang rimbun berceragah menghalangi perjalanannya. Dihayun tangan
kanannya. Parang yang digenggamnya membelah ranting-ranting dengan
mudah. Dirasai seolah berjam-jam lamanya dia mendaki gunung itu. Kakinya
terus melangkah sehinggalah dia sampai ke puncaknya. Suasana telah
tiba-tiba menjadi gelap. Dia mendongak ke langit. Rupa-rupanya awan
hitam yang memintal tergumpal melindungi matahari. Dia berdiri tercegat
di situ. Angin begitu kuat menghembus. Setelah hilang rasa penatnya dia
pun menarik nafas sedalam-dalamnya. Dengan segala tenaga perut dan dada
dilontarkan suaranya. Dia melaung sekuat-kuatnya, sepanjang dan selama
yang dia mampu. Sepuas-puasnya.

Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh………!!!!

Suaranya bergema, berdengung dan melantun memecah kesunyian. Melayang ke
angkasa, menerjun ke lembah, mengegarkan suasana. Kemudian hilang dibawa
angin. Kesunyian dan ketenangan kembali semula di puncak gunung itu. Dia
tersenyum lega. Segala yang tersendat telah mengalir semula. Segala yang
terpintal dan terikat telah terlerai. Segala yang kusut-masai telah
jernih dan segala yang tidak tentu arah telah tersusun semula. Itulah
yang dapat dirasai dalam dada dan mindanya. Namun semua seketika shaja.
Bila hembusan angin berlalu lagi, menampar ke muka dan badannya,
perasaan-perasaan yang asal itu kembali. Kembali menerjah, kemudian
menghinggap dan memaut ke dalam tangkai hati dan fikirannya.
Kerungsingan dan kebimbangan menjelma semula.

Dari jauh dia terdengar suara orang sedang bercakap. Sekejap kuat
sekejap perlahan. Sebentar di sini, sebentar di sana. Kemudian entah ke
mana. Tiba-tiba dia nampak dua buah bilik, sebuah di kanan dan sebuah di
kiri. Pintu kedua-dua bilik itu terbuka dan ada suara yang
memanggil-manggilnya masuk. Dia cuma tercegat di situ memandang ke kiri
dan ke kanan tidak pasti hendak melangkah ke arah mana. Suara itu
semakin kuat memanggilnya. Semakin kuat suara itu semakin laju kepalanya
menoleh ke kiri dan ke kanan.

Tiba-tiba seorang lelaki keluar dari bilik sebelah kanan dan seorang
lagi lelaki keluar dari bilik sebelah kiri. Kedua-duanya bercakap
serentak, memanggilnya masuk ke dalam bilik itu. Apabila nampak wajah
mereka, Sahak terkejut besar. Tergamam dia di situ bagai disampuk hantu.
Hazjris ? Ilham ? Kedua-dua mereka ketawa dengan kuat. Suara mereka
berdegungan sekeliling kawasan itu. Mereka berdiri di kiri dan kanannya
sambil bercekak pinggang.

“Kau ingat kau boleh lari daripada aku?” kata Hazjris . “Kerja baru kau ini,
akulah ketuanya.”

“Dan kerja satu lagi ini, akulah ketuanya,” kata Ilham pula.

“Tidak…tidak, tak mungkin!” Sahak menjadi keliru dan binggung.

“Jangan harap kau akan terlepas dari kami. Sampai mampus kau di sini!”
Ketawa mereka yang sekuat hati membingitkan telinganya. Mereka terus
menghina dan mengejeknya. “Akan kami kerjakan kau macam anjing. Akan
kami lanyak kau sampai kau sedar siapa kau yang sebenar. Kau akan
menerima siksaan kau di sini!”

“Tidak…tidak…!”

“Jahanam kau! Mampus kau! Binasa kau! Tiada masa depan lagi untuk kau,
manusia tak berguna!” Cacian mereka membuat darah Sahak bergelegak
panas. Dia menyerang mereka dengan menumbuk-numbuk angin. Bagai singa
yang lapar dia menerkam mereka. Mereka pantas mengelak. Tiba-tiba muncul
dua orang berpakaian seragam biru menerpa ke arahnya.

“Dia dah gila, tuan. Tangkap dia!” jerit Ilham .

“Tangkap orang gila itu tuan, kurung dia!” pekik Hazjris .

“Aku tak gila, lepaskan aku.” Kedua-dua lelaki beruniform itu memegang
erat kedua belah tangannya. Panik tiba-tiba menyerang dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience