Series
347
"Saya dah pilih calon isteri untuk anak saya."
Kata-kata Datuk Alvin memecah kesunyian sebaik sahaja dia melangkah masuk ke pekarangan vila. Nafasnya masih tercungap-cungap selepas selesai sesi senaman pagi di taman berhampiran. Sambil menyeka peluh di dahi dengan tuala kecil, dia menghentikan langkah di pintu masuk utama.
Pengurus pembantu rumah yang sedang menunggu untuk menyambut kepulangannya tersentak. Riak wajahnya jelas mempamerkan rasa tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya.
"Datuk... maksud Datuk, siapa?" soal pembantu itu, suaranya sedikit bergetar.
Datuk Alvin menoleh sekilas bersama senyuman penuh keyakinan. "Stella. Anak Mejar Bryan."
Pembantu pembantu rumah itu kaku di tempatnya. Wajahnya berubah pucat serta-merta. "Stella? Datuk... betul ke Datuk pilih dia untuk Tuan Muda Lucas?"
Datuk Alvin sekadar mengangguk perlahan dengan senyuman puas. "Ya. Dia isteri yang paling sesuai untuk Lucas."
Pembantu rumah itu menarik nafas dalam-dalam, cuba mengumpul keberanian untuk bersuara. "Datuk tak nak pertimbangkan dulu ke sebelum buat kata putus? Bukan niat saya nak menyibuk, tapi perempuan tu terlalu… dominan. Lagipun, khabar angin pasal dia... sangat menakutkan."
Datuk Alvin hanya tersenyum nipis, sedikit pun tidak terkesan dengan amaran tersebut. "Apa yang awak tahu tentang dia?"
Pembantu rumah itu melangkah setapak ke hadapan lalu merendahkan suaranya. "Datuk, semua orang dalam golongan elit pun tahu apa yang dia akan buat pada sesiapa yang cuba menjatuhkan maruah dia. Dia pernah hancurkan hidup seorang lelaki bersama teman wanitanya sampai sehelai sepinggang. Saya dengar cerita, diorang terpaksa melutut dan merayu dekat kaki Stella di tengah jalan. Tapi Stella langsung tak pandang. Dia... dia macam tak ada hati perut, Datuk. Dia pandang orang lain macam tak bernilai langsung."
Datuk Alvin ketawa kecil. "Orang macam itulah yang anak saya perlukan sekarang. Seorang yang tegas. Kalau tak, macam mana nak cairkan hati Lucas yang dah keras macam ais tu?"
"Tapi, Tuan Muda Lucas perlukan seseorang yang penyayang untuk kembalikan semangat dia," ujar pembantu rumah itu berhati-hati.
"Tak," sangkal Datuk Alvin. "Anak saya tu perlukan seseorang yang boleh cabar emosi dengan prinsip dia. Perempuan yang lembut atau pemalu sangat dah tak sesuai untuk dia. Lucas dah lama sangat tenggelam dalam kesedihan. Dia perlukan seseorang yang tak takut untuk runtuhkan tembok dalam hati dia."
Sambil mengukir senyuman penuh perancangan, Datuk Alvin melangkah masuk ke dalam rumah. Dia meninggalkan pembantu rumahnya yang masih kaku di situ, diselubungi kebimbangan terhadap nasib Tuan Muda Lucas.
Di ruang tamu, kelihatan Lucas sedang bersandar santai di sofa kulit sambil menikmati kopi pagi dengan mata yang tertumpu pada skrin iPad.
Seketika kemudian, pintu besar vila terbuka. Gavin, pembantu peribadi Lucas, melangkah masuk dengan beberapa buah fail di tangan. Namun, langkahnya mati apabila melihat Datuk Alvin yang baru masuk dari arah pintu dapur selepas selesai mengeringkan peluh.
Gavin segera menunduk hormat. “Selamat pagi, Datuk.”
Dahi Datuk Alvin berkerut halus melihat kehadiran lelaki itu. "Gavin, buat apa kat sini?"
“Tuan Lucas minta saya hantarkan beberapa fail, Datuk,” jawab Gavin jujur.
“Lucas!” panggil Datuk Alvin tegas, membuatkan anak lelakinya itu mengangkat muka dari skrin iPad.
"Ya, ayah," sahut Lucas tenang. Dia memandang ayahnya dengan dahi yang berkerut hairan. "Lamanya ayah kat luar. Lucas tunggu dari tadi lagi nak sarapan sama."
Datuk Alvin menuding ke arah Gavin. "Kenapa budak ni ada kat sini lagi? Kan tengah cuti hujung tahun ni. Sepatutnya dia dah balik kampung. Kamu ke yang paksa dia kerja hari ni?"
Gavin segera mencelah bagi meredakan keadaan. “Eh, tak adalah Datuk. Tuan Lucas tak paksa pun. Keluarga saya semua pergi bercuti, jadi saya rasa lagi baik saya tolong Tuan Lucas daripada duduk sorang-sorang kat rumah.”
“Cuti tetap cuti,” tegas Datuk Alvin sebelum menjeling ke arah anaknya. “Dah, kenapa tengok ayah macam tu?”
Lucas mengeluh berat. “Gavin, letak dokumen tu dekat atas meja. Pergilah bercuti mana-mana yang kau nak.”
“Baik, Tuan.” Gavin tahu tiada gunanya membantah. Selepas meletakkan fail-fail di atas meja marmar, dia menunduk hormat lalu terus meminta diri.
Lucas kembali memberikan tumpuan kepada berita perniagaan di skrin iPad sehinggalah Datuk Alvin selesai membersihkan diri dan kembali ke ruang tamu dengan pakaian yang lebih kemas. Malah, Lucas masih tidak berganjak dari posisinya.
Datuk Alvin menggelengkan kepala melihat tabiat anaknya itu. “Dah berapa cawan kopi kamu minum hari ni?”
“Masuk ni… dah tiga cawan,” jawab Lucas bersahaja.
Kesunyian seketika menyelubungi ruang tamu mewah itu. Lucas dapat menangkap riak wajah bapanya yang kelihatan serba salah untuk memulakan bicara. “Kenapa ni ayah? Macam tengah runsing saja.”
"Anak lelaki kalau dah dewasa, kita yang jadi ayah ni kena lebih berhati-hati bila bercakap dengan diorang," ujar Datuk Alvin perlahan.
Lucas meletakkan iPad miliknya ke meja lalu memandang tepat ke arah wajah tua itu. “Ayah cakap jelah. Kalau Lucas ada tersalah buat apa-apa, Lucas sedia dengar apa pun teguran ayah.”
Datuk Alvin ketawa kecil. “Tak payahlah. Umur kamu pun dah dua puluh sembilan tahun. Bukan masanya lagi untuk ayah nak membebel.” Dia terdiam seketika sebelum bertanya, “Kamu dah tengok gambar perempuan yang ayah hantar tu?”
Lucas menggeleng perlahan. “Belum.”
“Kenapa? Kamu nak tarik balik janji kamu?” Nada suara Datuk Alvin sedikit meninggi, mula diserang kegusaran.
“Lucas tak ada niat pun nak tarik balik kata-kata Lucas. Ayah pilihlah sesiapa pun, Lucas takkan masuk campur. Lucas percaya pilihan ayah.”
“Cakap jelah yang kamu memang dah tak kisah nak kahwin dengan sesiapa pun, kan?”
Lucas tidak menafikan. “Benda tu memang dah tak ada makna apa-apa lagi bagi Lucas, ayah.”
“Baiklah, kalau macam itu, ayah dah pilih calon yang paling sesuai. Seminggu lepas cuti ni, kamu akan berkahwin dengan dia.”
Lucas sedikit terkejut dengan garis masa yang begitu pantas, namun riak wajahnya tetap tenang. Dia menyangka bapanya sudah melupakan tentang urusan jodoh tersebut. Akhirnya, dia hanya mengangguk akur. “Lucas ikut je cakap ayah.”
Datuk Alvin menarik nafas lega. “Ikutkan hati, ayah nak kamu jumpa dia sekurang-kurangnya sekali sebelum kahwin. Tapi nampaknya tak sempat. Dia terpaksa ke luar negara sebab ada urusan kerja.” Dia merenung dalam-dalam wajah anaknya. “Kamu betul-betul tak nak tengok gambar dia?”
"Tak apalah, ayah."
Lucas benar-benar tidak berminat. Baginya, mustahil untuk menilai keperibadian sebenar seseorang hanya melalui sekeping gambar. Berdasarkan masa lalunya, hubungan yang dibina bertahun-tahun pun boleh berakhir dengan sebuah pengkhianatan, apatah lagi ikatan yang baru hendak bermula.
Berkahwin dengan orang asing bukanlah satu masalah besar bagi Lucas. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu meletakkan sebarang harapan yang tinggi.
“Ayah dah suruh orang gaji masakkan makanan kegemaran kamu,” ujar Datuk Alvin, sengaja menukar topik bagi meredakan suasana berat antara mereka.
Lucas mengukir senyuman nipis. "Oh ya. Ayah tahu kan yang Cindy ada kat bandar sekarang?"
Pergerakan Datuk Alvin mati serta-merta. "Ya, ayah tahu anak perempuan ayah tu dah balik pun sebab baca dekat berita tadi. Aduhai… nampaknya pihak media lagi tahu dekat mana budak tu ada sekarang berbanding ayah dia sendiri."
Lucas mengetap bibir, tumpang bersimpati dengan hubungan renggang itu. "Lucas ada ajak dia makan malam kat sini, tapi dia cakap dia sibuk dengan kerja."
Datuk Alvin mendengus kasar, kecewa. "Sibuk? Dia memang tak nak jumpa ayah. Tak apalah. Cukuplah kamu ada temankan ayah bercuti kat sini. Tak lama lagi, ayah akan dapat menantu perempuan. Lengkaplah keluarga kita."
Lucas memilih untuk terus membisu. Dia enggan masuk campur dalam konflik berpanjangan antara ayah dan adik perempuannya itu. Lagipun, urusan perkahwinannya sendiri sudah cukup sarat untuk difikirkan, walaupun dia sekadar menyerah nasib tanpa meletakkan sebarang perasaan. Dia hanya mahu melindungi hatinya daripada kembali retak untuk kali kedua.
Share this novel