Series
9
~Kelab Obsidian~
Suasana di dalam kelab itu riuh-rendah seperti biasa. Limpahan cahaya lampu berwarna-warni dan dentuman muzik yang kuat seolah-olah menggamit para pengunjung untuk terus tenggelam dalam keasyikan malam.
Di tengah-tengah lautan manusia yang sedang berseronok, Stella mengatur langkah dengan tenang menuju ke kaunter bar. Di belakangnya, Cloe kelihatan agak sukar untuk mengekori jejak langkah bosnya itu.
Cloe benar-benar keliru dengan keputusan mengejut Stella untuk berkunjung ke situ. Tempat sebegini sama sekali tidak pernah berada dalam senarai persinggahan bosnya. Walaupun Kelab Obsidian merupakan sebuah kelab kelas atasan, premis hiburan seumpama ini tetap tidak sepadan dengan imej Stella yang sentiasa mengelak daripada membuang masa demi keseronokan yang sia-sia.
Stella melabuhkan punggung di atas bangku tinggi. Dia bersandar santai pada pinggir bar, membiarkan rambut hitamnya yang lebat mengurai ke satu bahu. Apabila kepalanya terteleng sedikit ke sisi, Cloe mengambil peluang untuk turut melabuhkan duduk di sebelah lalu terus menyoal.
"Bos, kita nak buat apa kat sini ni?"
Stella langsung tidak mempedulikan soalan tersebut. Sebaliknya, dia melambaikan tangan ke arah pelayan bar. Pelayan itu pantas menghampiri untuk mengambil pesanan, malah sepasang matanya sempat tertumpu seketika pada garis leher baju Stella yang sedikit terdedah.
"Saya nak Mocktail Kranberi dan Apple Spritz untuk dia," pesannya untuk diri sendiri dan juga Cloe.
"Bos, bos tak dengar ke apa saya cakap ni?" soal Cloe sebaik sahaja pelayan itu beredar untuk menyiapkan minuman mereka. "Atau bos memang malas nak layan macam biasa?"
"Saya dengarlah. Janganlah bising sangat," balas Stella. Walaupun muzik sedang berdentum kuat, dia tetap merasakan suara Cloe terlalu lantang di telinganya. Selepas diam seketika, dia menyambung, "Bukan awak selalu suruh saya enjoy sikit ke? Saya tengah enjoy lah ni."
Riak wajah Cloe berkerut mendengar jawapan yang dirasakan mengarut itu. "Bos, definisi enjoy bos tu mana pernah libatkan 'kelab malam'. Apa sebenarnya bos nak buat ni?"
Belum sempat Cloe menerima sebarang jawapan, satu babak mengejutkan berlaku di depan matanya. Sebatang lengan tiba-tiba melingkari pinggang Stella dari belakang, dan kerusi yang diduduki bosnya itu dipusingkan secara paksa untuk menghadap seorang lelaki bertubuh lampai.
Lelaki itu memakai topi hitam, pelitup muka, serta mengenakan hud di kepalanya. Satu penampilan yang sangat mencurigakan. Namun, sebelum sempat Cloe bertindak untuk melindungi bosnya, isyarat tangan Stella memintanya untuk berundur, meninggalkan Cloe yang terpinga-pinga tidak percaya.
Tangan lelaki misteri itu naik perlahan, menyelak helaian rambut Stella ke belakang telinga sambil suara garaunya kedengaran memecah suasana.
“Hai, gorgeous! I on the way nak pergi kelab sebenarnya, tapi macam tersesat pula sampai masuk muzium. Sebab awak ni... betul-betul macam satu karya seni.”
“Oh, ya ke?” balas Stella dengan muka yang langsung tidak terhibur.
“Betul!” balas lelaki itu lagi. “Dalam ramai-ramai orang kat sini pun, mata I tetap pandang awak tahu. Ni mesti jodoh!”
“Mestilah,” kata Stella, selamba. “Lagipun, I memang tahu orang akan pandang-pandang. So, I kenalah pastikan diorang berbaloi tengok I.”
Wajah lelaki itu semakin rapat ke telinga Stella sebelum dia berbisik, “Si cantik ni nak minum apa?”
“You ada dalam menu tak?” bidas Stella, membuatkan lelaki itu terkedu seketika.
Lelaki itu terpaksa menahan sabar untuk meneruskan lakonan mereka. Dia menurunkan pelitup mukanya, tepat ketika itu Stella berkata lagi.
“Oh, muka you ni macam kek. Rasa macam nak 'ngap' sikit.”
Pffff!
Cloe hampir sahaja tersedak air liur sendiri akibat terlalu terkejut. Dia faham jika ada pemuda tampan yang cuba menggoda bosnya kerana itu perkara biasa.
Namun, apa yang langsung tidak masuk akal dalam fikirannya adalah bagaimana Stella boleh melayan rentak lelaki itu dengan begitu bersahaja.
Sehingga ke saat ini, Stella tidak menepis sentuhan fizikal lelaki tersebut, sesuatu yang benar-benar menggoyahkan kepercayaan Cloe. Jangankan menolak, bosnya malah membalas usikan itu dengan bersahaja!
Stella yang Cloe kenal selama ini sama sekali bukan seperti ini. Di matanya, Stella adalah seorang wanita yang dingin dan sentiasa melayan orang lain dengan ego yang tinggi.
Malah, ada khabar angin yang mengatakan dia seorang yang kejam dan tidak berhati perut. Jangankan dibiarkan menyentuh tubuhnya, sesiapa sahaja yang baru mula membuka mulut untuk berbicara pun pasti akan mendapati Stella sudah bersedia dengan benteng pertahanan yang kukuh, sedia menepis apa sahaja yang datang daripada orang asing.
Namun malam ini, tembok keangkuhan itu seolah-olah runtuh begitu sahaja di hadapan pemuda misteri ini.
'Apa yang dah jadi ni? Siapa ni? Aku dekat mana ni? Aku mesti dah masuk alam lain!' kata Cloe dalam hati.
Kening pemuda itu terangkat, jelas terhibur dengan reaksi bersahaja Stella. Ibu jarinya naik menyentuh lembut bibir gadis itu lalu dia berkata.
"Peliknya, I pun rasa macam nak gigit awak sikit."
Usai berkata begitu, kepalanya menunduk rapat. Jarak antara bibir nipisnya yang kemerahan dengan bibir Stella menjadi begitu dekat, hanya muat-muat untuk diselitkan sehelai kertas. Walau bagaimanapun, Stella langsung tidak mengelak. Dia membalas renungan lelaki itu dengan pandangan mata yang mencabar.
Melihat provokasi yang tidak tergugat di mata Stella, lelaki itu akhirnya menggulingkan bebola matanya. Dia menolak Stella menjauh dengan lembut sambil merungut jengkel.
"Benci betul aku dengan kau! Kau ni memang tak reti nak sporting langsung, kan?"
Stella memusingkan semula kerusinya menghadap kaunter bar, tempat di mana minumannya baru sahaja diletakkan. Dia membalas tenang, "Aku dah layan macam yang kau nak selalu. Tapi kau tak suka juga. Kenapa aku pula yang salah?"
Pemuda itu meraup rambut lebatnya dengan jari lalu melepaskan keluhan panjang sebelum melabuhkan punggung di atas bangku kosong di sebelah Stella.
Di bawah simbahan cahaya kelab, kulit cerahnya tampak sempurna. Mata yang tajam, kening yang terbentuk elok, garisan bibir yang menarik, serta kontur wajah yang tampan menyerlahkan auranya. Dia kelihatan berusia dalam lingkungan dua puluh empat atau dua puluh lima tahun, dan masih memancarkan pesona keremajaan yang kuat.
Cloe yang akhirnya tersedar dari lamunan panjang segera menyoal, "Bos, bos kenal ke dia ni?"
"Tak payah peduli dia ni," balas Stella ringkas.
"Hei! Mana boleh kau layan best friend kau macam ni!" bantah pemuda itu, jelas tidak puas hati.
"Best friend? Bos saya ni mana ada kawan!" bidas Cloe spontan.
Pemuda itu tersenyum bangga sebelum mengumumkan statusnya. "Saya ni special case. Tapi ni semua sebab saya ni jenis yang memahami dengan penyabar orangnya, sebab tu lah kita boleh kawan sampai bertahun-tahun."
Stella tidak mahu lelaki itu terus berceloteh panjang. "Hyson, apa kau buat kat bandar ni? Kau tak sambut tahun baru kat rumah ke?"
Hyson melepaskan keluhan berat. "Nak buat macam mana, agensi aku nak aku buat konsert kat sini, terpaksalah aku ikutkan je. Tapi esok aku dah nak balik dah. Sebab tu lah aku ajak kau keluar ni. Kalau nak tunggu kau yang ajak aku keluar jumpa, sampai mati hidup balik pun belum tentu lagi."
Stella sekadar menjongketkan bahunya dengan bersahaja. "Siapa suruh kau berkeras sangat nak ada kawan yang menyusahkan macam aku?"
Hyson membalas dengan nada jengkel yang dibuat-buat. "Yalah, yalah, semua salah aku sebab berkawan dengan robot macam kau ni." Dia menggelengkan kepala lalu meneguk Sparkling Apple Juice di tangannya sebelum memberi isyarat kepada pelayan untuk menambah gelas lagi. "Aku dengar kau pindah sini?"
Stella mengangguk kecil sebagai jawapan.
"Macam tu ke kawan baik? Kau tak bagi tahu aku pun! Aku fahamlah aku asyik jalan merata dunia sebab konsert, tapi sekurang-kurangnya bagi tahulah yang kau pindah sini."
"Aku rasa benda tu tak penting," ujar Stella dengan nada tenang yang biasa.
"Cakap jelah yang kau rasa aku ni yang tak penting!"
"Suka hati kaulah, asalkan kau puas hati." Stella malas mahu memanjangkan bicara untuk mempertahankan dirinya, tindakan yang membuatkan pemuda itu semakin kecewa.
"Sekali-sekala tu, apa salahnya kau explain dekat aku sikit!"
"Buang masa je," balas Stella pantas.
Melihat interaksi rapat antara mereka berdua, Cloe tenggelam seketika dalam fikirannya. Selama ini, dia menyangka dia mengetahui segala-galanya tentang kehidupan Stella. Namun, dari mana pula datangnya sahabat karib ini? Mengapa dia tidak pernah tahu kewujudan lelaki bernama Hyson ini?
Walaupun setiap balasan Stella kedengaran sangat ringkas dan acuh tidak acuh, Cloe tahu realitinya adalah sebaliknya.
Berdasarkan personaliti Stella yang dingin, dia tidak akan sesekali membuang masa untuk melayan atau menjawab kata-kata seseorang yang dianggap tidak penting.
Malah, pemuda ini dibiarkan berada begitu rapat dan menyentuhnya sebentar tadi tanpa sebarang rasa malu, sesuatu yang sangat luar biasa bagi seorang Stella. Cloe semakin yakin bahawa hubungan persahabatan mereka jauh lebih mendalam dan rapat berbanding apa yang ditonjolkan secara luaran.
Share this novel