Bab 3

Romance Series 9

Dengan pemerhatian Stella yang tajam, dia pantas menyedari perubahan riak wajah Cloe sejak kemunculan Hyson. Dan dia juga tahu dengan tepat mengapa Cloe begitu terkejut.

Walaupun sudah bertahun-tahun mengenali antara satu sama lain, Stella dan Hyson jarang bertemu. Namun, pemuda itu masih merupakan seseorang yang sangat rapat dengannya. Sekurang-kurangnya, itulah yang Hyson fikirkan.

Bagi Stella pula, Hyson tidak ubah seperti gula-gula getah yang tidak sengaja terpijak, melekat rimas dan kini dia tidak tahu bagaimana mahu menyingkirkannya. Perwatakan Hyson yang peramah dan gila-gila sepatutnya bercanggah hebat dengan personaliti Stella yang dingin dan tegas. Namun entah bagaimana, mereka boleh kekal berteman baik.

"Biar aku kenalkan," mula Stella. "Ini Mr. Nathan. Nama betul Mr. Nathan, nama pentas Hyson. Dia ni ahli boyband." Dia mengerling ke arah Hyson sebelum menambah, "Dia ni kononnya bad boy dalam group tu sebab semua benda dia buat, memang bermasalah."

"Hei!" bantah Hyson pantas sambil mengecilkan matanya ke arah gadis itu.

Kening Cloe terangkat naik. Dia berjabat tangan dengan Hyson dan berkata, "Oh, kiranya kau ni artis lah?"

Hyson mengangkat bahu bersahaja. Satu senyuman manis dan ceria terukir di bibirnya. "Gembira dapat jumpa kau akhirnya, Cloe. Banyak benda aku dengar pasal kau."

"Bos ada sebut pasal aku?" Cloe tampak teruja mendengarnya.

Hyson berasa kasihan melihat reaksi gadis itu lalu membalas, "Kau ingat perempuan dingin macam dia ni ada masa nak cakap benda-benda yang tak ada faedah untuk dia ke?"

Cahaya keterujaan di mata Cloe malap serta-merta tatkala dia mengiyakannya. "Betul juga tu. Dia ni memang suka berkira, dengan perkataan pun dia kedekut." Melepaskan keluhan berat, Cloe meneguk Apple Spritz miliknya hingga habis lalu melompat turun dari bangku bar. "Bagus aku pergi menari hilangkan kecewa ni. Have fun korang berdua!"

Secara jujurnya, dia cuma berasa seperti sedang mengganggu privasi mereka dan mengambil peluang itu untuk mengundurkan diri. Malah dari jauh, dia dapat melihat riak tenang di wajah Stella tatkala bersama pemuda itu. Tiada sekelumit pun senyuman pura-pura yang sering terukir di wajah bosnya, menandakan Stella benar-benar selesa menjadi dirinya yang sebenar di hadapan Hyson. Senyuman plastiknya itu lazimnya digunakan untuk mengaburi mata orang sekeliling, tetapi dengan Hyson, dia tidak perlu memakai topeng.

Penemuan baharu ini mengubah terus persepsi Cloe terhadap bosnya itu.

"Masa aku tanya macam mana blind date kau tu, kau cakap dah tak ada. Jadi, maksudnya sekarang kau dah tak payahlah penat-penat buat rancangan nak batalkan semua blind date tu lagi?" soal Hyson.

Stella menongkat dagu dengan telapak tangannya lalu menjawab, "Tak ada rancang apa-apa dah. Dekat empat bulan dah aku tak payah terseksa lalui benda tu."

"Fuh! Ingatkan datuk kau yang akan menang perang mental korang ni," balas Hyson. Nadanya jelas kedengaran kagum bercampur terkejut.

Stella menyilangkan kakinya. Kasut tumit tingginya terbuai-buai manja, mendedahkan lagi kulit kakinya yang mulus. Namun, riak wajahnya tetap dingin dan tidak berminat.

"Kau betul-betul ingat Aki aku tu pandai menyerah kalah ke?" soalnya tenang. "Ketenangan sekarang ni lah yang buat aku terfikir ribut apa pula yang dia nak bawa lepas ni."

Hyson merenung wajah gadis itu dalam-dalam sebelum meledak dengan tawanya. "Dia tengah plan nak perangkap kau tu!" Agak lama juga masa yang diambilnya untuk mengawal sisa tawa. "Selama ni dia cuma bagi kau peluang je tu."

"Tujuan dia atur semua blind date tu simple saja, dia ingat sekurang-kurangnya adalah seorang dari dorang tu yang boleh tarik perhatian aku, dan mungkin aku boleh jatuh cinta."

"Kesiannya! Dia cuma nak cucu perempuan dia yang satu-satunya ni jatuh cinta saja." Hyson mendecit, bersimpati dengan nasib datuk kawannya itu.

"Cucu perempuan satu-satunya?" ulang Stella dengan suara yang mengendur. Dia pantas menggelengkan kepalanya sebelum menyambung, "Kalau macam tu memang malanglah nasib dia, sebab aku memang tak minat langsung dengan benda bawa bencana macam cinta ni."

Hyson tidak mahu memanjangkan perbualan ke arah itu. Dia memang sentiasa mengelaknya. Dia tahu kata-katanya sahaja tidak akan pernah cukup untuk menyedarkan gadis itu tentang kepentingan sebuah perasaan. Stella perlu merasainya sendiri. Barangkali, itulah sebab mengapa dia berjaya menjadi sebahagian daripada hidup Stella, kerana dia tidak pernah berleter tentang emosi dan perasaan kepadanya.

Walaupun pandangan mereka kerap bersimpang siur, dia tidak pernah mempersoalkan prinsip hidup gadis itu, sama seperti Stella yang tidak pernah menghakimi kepercayaannya.

"Cakap pasal ni kan, kenapa kau pilih nak jumpa kat kelab? Bukan tempat ni lagi berisiko ke? Macam mana kalau ada orang ambil gambar aku dengan kau?" tanya Stella memecah kesunyian.

Hyson segera menarik naik pelitup mukanya, berlagak curiga seperti orang yang sedang bersembunyi. "Oh, ya tak ya kan. Aku kena hati-hati. Kalau muka buruk kau ni masuk front page surat khabar sebelah aku, jatuhlah standard imej aku nanti."

"Kau ni memang gatal badan minta kena belasah ke apa?" bidas Stella tajam.

"Pukul tanda sayang, marah tanda cinta. So, marilah! Pukullah!" Dia malah mencondongkan badannya ke hadapan seolah-olah sudah merelakan dirinya dipukul.

Stella sudah sekian lama lali dengan kerenah mengada-ngadanya. Ia tidak lagi mengejutkannya seperti pada awal perkenalan mereka dahulu.

"Kau memang tak boleh lepaskan peluang nak mengurat kan?"

"Memang tak bolehlah," jawabnya dengan riak pasrah yang dibuat-buat. "Alang-alang kau ni melambangkan ketenangan, aku kenalah jadi perlambangan huru-hara untuk seimbangkan kau. Kalau tak, macam mana kita nak kekalkan keseimbangan dalam persahabatan ni?" Melihat bagaimana gadis itu langsung memulaukan kata-katanya sekali lagi, dia melepaskan keluhan. "Berapa lama lagi kau nak duduk sini?"

"Esok aku dah nak balik," balas Stella. "Semua urusan aku dah settle. Lagipun Aki dan Iza memang paksa aku balik awal, jadi aku pun rasa tak sabar dah nak balik."

"Tak sabar? Nak buat apa tu?" soalnya pelik.

"Aku nak tengok apa rancangan dorang untuk aku," jawab Stella. "Aku patut jadi sporting sikit dan bagi kerjasama sepenuhnya. Tak payah nak lengah-lengahkan benda ni lebih dari sepatutnya."

"Betul sangat tu. Orang macam kau mana suka heret benda-benda macam ni tanpa sebab." Hyson merenungnya penuh teliti sebelum bangun berdiri. "Bagus aku gerak sekarang sebelum manager aku perasan yang aku menyelinap keluar dari hotel. Nanti bila kau dah balik, jom kita keluar movie date."

"Siapa yang nak pergi tengok wayang dengan kau?" bidas Stella. "Lagipun, buat apa aku nak buang 90 minit masa hidup aku semata-mata nak tengok orang berlakon? Sudahlah buang masa, buang duit pula tu!"

Hyson ketawa kegelian melihat gelagatnya. "Comel betul bila kau cuba menolak idea aku. Jangan lupa, kalau aku boleh buat kau jejak kaki kat kelab ni, setakat movie date tu kacang sajalah aku nak tarik kau keluar."

"Pergi jalanlah kau!" Itu sahaja yang diucapkan oleh Stella tatkala matanya menghantar pemergian pemuda itu.

Dia melepaskan keluhan panjang. Jari-jemarinya yang dihias rapi melilit lembut pada bibir gelas kaca itu sambil dia berbisik sendiri, "Tengoklah apa yang Aki dah sediakan untuk aku kali ni."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience