Series
9
Suasana di ruang tamu itu terasa tegang. Sedang berlaku satu pertarungan renungan mata antara Stella dan datuknya, Aki. Stella baru sahaja bergegas pulang ke rumah malam tadi, dan pagi ini dia terus diberikan satu 'hadiah' besar, pengumuman tentang perkahwinannya yang akan datang.
Melihatkan Aki yang berkeras dan tidak mahu bertolak ansur dalam hal ini, dia tidak dapat menahan diri daripada ketawa. Tiada langsung keseriusan dalam tawa itu. Sebaliknya, ia sekadar untuk menunjukkan betapa dia sangat memahami datuknya itu. Memandangkan Aki tidak berjaya membuatkannya jatuh cinta, lelaki tua itu memilih rancangan kedua terbaik, satu hubungan yang menuntut kesetiaannya.
Pernahkah dinyatakan sebelum ini bahawa Stella merupakan seorang yang sangat setia? Hakikatnya, dia meletakkan kesetiaan di tempat yang paling tinggi. Tidak kira sama ada dalam soal kerja mahupun perhubungan, dia akan memberikan sepenuh komitmen dan kesetiaannya. Itulah satu-satunya emosi yang dia rela laburkan. Kerana pada pandangannya, pelaburan ini amat berbaloi.
"Awak tak setuju?" soal Aki dengan riak wajah yang serius, namun Stella dapat melihat rayuan penuh putus asa di sebalik kata-katanya. Dia tidak mahu cucunya itu melarikan diri daripada hal ini. Dia benar-benar serius kali ini. Dia bukan sekadar mencuba nasib seperti yang dilakukannya dengan pelbagai acara blind date sebelum ini. Aki sangat yakin pada kali ini.
Seperti biasa, Stella masih tidak sampai hati untuk mengatakan 'tidak' kepada insan yang seorang ini. Dia sentiasa berfikir bahawa datuknya telah banyak berkorban demi dirinya, jadi sekurang-kurangnya apa yang boleh dilakukannya adalah untuk membahagiakan lelaki tua itu dalam apa jua cara. Jika datuknya serius mengenai sesi blind date sebelum ini, dia tidak akan sesekali berani mempermainkannya. Tetapi kali ini, memandangkan Aki benar-benar serius, dia juga tidak berani untuk berundur.
Sambil menggelengkan kepalanya, Stella bersuara, "Saya cuma ada satu soalan." Aki menjongketkan kening menanti soalan itu dan gadis itu menyambung, "Kenapa? Kenapa Aki nak saya kahwin?"
Aki menggerakkan alat kawalan kerusi rodanya mendekati kerusi Stella lalu menggenggam erat tangan cucunya itu sambil berkata, "Masa awak baru lahir, Aki pegang awak dalam pelukan Aki. Sejak hari tu, Aki cuma ada satu hajat... Aki nak bagi segalanya untuk awak."
"Saya tahu," balas Stella.
"Tapi Aki ada satu lagi hajat... Aki nak bagi awak satu keluarga yang lengkap." Wajah Stella menegang tatkala mendengar jawapan itu. Aki mengusap lembut wajah cucunya sambil menyambung, "Tapi Aki tak pernah dapat buat macam tu. Aki tak dapat bagi keluarga lengkap macam yang awak layak dapat. Jadi, jalan terbaik yang Aki terfikir ialah dengan biarkan awak bina keluarga awak sendiri, dengan suami dan anak-anak awak sendiri."
Stella mengangguk perlahan-lahan sebelum dia membuka mulut tanda bersetuju, "Okeylah."
Aki dan Iza kedua-duanya terkesima. Stella setuju macam tu je? Langsung tak ada bantahan?
Mereka berdua seakan-akan tidak percaya, namun Stella tidak mempunyai masa untuk menjelaskan mengapa dia begitu mudah bersetuju. Ini kerana baginya alasan masih semudah dahulu, dia sanggup melakukan apa sahaja demi datuknya.
Dia bangun untuk beredar apabila Iza kembali tersedar dari lamunannya lalu bertanya, "Awak tak nak tahu pasal dia ke?"
Stella menghentikan langkahnya dan berpusing untuk bertanya, "Dia handsome tak?"
Iza mengecilkan matanya ke arah gadis itu, "Itu ke benda yang paling penting?"
Stella langsung tidak teragak-agak sebelum mengangguk. "Mestilah muka dia kena sedap mata saya memandang dulu sebelum benda lain. Lagipun, saya yang akan habiskan sisa hidup saya dengan dia." Iza ternganga tidak percaya mendengarnya. "Iza, kalau awak dah siap tilik muka saya, boleh tak awak tolong saya dress up sekarang?"
"Awak nak pergi mana?" soal Iza.
"Malam ni saya ada party tahun baru nak kena attend," balasnya sebelum kembali berpusing menuju ke biliknya.
Sebelum sempat Iza berkata apa-apa, Aki pantas menahannya. Dengan pandangan yang penuh bermakna, lelaki tua itu berkata, "Aki dengar Lucas pun ada attend party tahun baru malam ni."
Iza segera memahami maksud tersirat di sebalik kata-kata itu lalu mengangguk sebelum mengekori Stella untuk membantunya bersiap.
*****
~Hotel Oriental~
Sejak Stella berpindah ke sini, tumpuannya hanya terarah kepada kerja semata-mata. Perkara seperti membina rangkaian kenalan terasa terlalu menyusahkan baginya. Namun kali ini, keadaannya berbeza.
Fikirannya berlegar pada satu prinsip. "Saya berada di kawasan orang. Ibarat pahlawan solo. Kalau saya nak tawan kumpulan serigala ni, saya kena menyusup masuk ke kawasan dorang dan perhatikan mangsa saya dulu. Biar lambat asalkan selamat. Saya ni penyabar orangnya. Saya akan ambil masa sebelum tawan kawasan ni."
Dia mengenakan gaun malam potongan high-low berwarna merah yang mendedahkan bahu, lengkap dengan lilitan renda hitam di pinggang. Bahagian hadapan gaun itu labuhnya hanya di bawah lutut, manakala bahagian belakangnya pula meleret mencecah lantai bak gaun kembang.
Rambutnya diikat tocang yang cantik dan gincu merah menyalanya amat menyerlahkan lagi raut wajahnya yang menawan. Dia menunjukkan kad jemputannya dan diberikan sekeping topeng muka. Kening Stella yang cantik itu berkerut sedikit, tiada siapa yang memberitahunya bahawa ini adalah ‘masquerade party’. Namun begitu, dia mendapati ia lebih menarik kerana kini dia boleh menyembunyikan identitinya dengan mudah dan memerhatikan segala-galanya.
Dia memakai topeng renda hitam itu dan melangkah masuk ke dewan utama. Di dalamnya, terdapat ramai lelaki dan wanita yang sedang duduk bersantai atau bergaul mesra dengan minuman di tangan masing-masing. Tuan-tuan muda yang kaya-raya memeluk pinggang wanita-wanita jelita, malah ada juga lelaki yang menemani mereka! Bagi golongan lelaki tua pula, mereka juga tidak ketinggalan mempunyai gadis-gadis muda dan jelita yang bergayut pada lengan mereka. Semua orang sama ada sedang ketawa riang mahupun berseronok mencari kenalan baharu.
Seluruh tubuhnya berasa tidak selesa berada di tempat sedemikian, namun dia memaksa dirinya untuk kekal. Matanya meliar mencari tempat duduk yang agak tersorok tetapi mempunyai pemandangan yang jelas. Akhirnya, dia mengunci sasarannya!
Bukanlah ia satu sudut yang benar-benar tersembunyi, tetapi hanya terdapat seorang lelaki sahaja yang duduk di situ sambil memegang gelas jus anggur merah di tangannya. Dari sipi-sipi wajah yang dapat dilihat, dia dapat meneka bahawa lelaki itu kelihatan agak tenang. Jadi, tanpa sebarang keraguan, dia melangkah ke arah sana.
Ia bukan sekadar kerana lelaki itu satu-satunya individu yang duduk di situ. Hal ini kerana, dia menyedari bagaimana tiada siapa pun yang berani menghampirinya. Walaupun dia duduk di tengah-tengah kelompok manusia yang berkelakuan menonjol itu, seolah-olah terdapat satu dinding halimunan antara dirinya dan orang lain.
Maka, dia dengan selamba menjadi insan berani yang melabuhkan punggung di sebelah lelaki itu dan melepaskan satu keluhan panjang seraya berbisik dengan suara yang perlahan, "Susah betul nak cari tempat yang sunyi kat sini."
Dewan itu sangat hingar-bingar dan pada mulanya, tiada siapa yang benar-benar menyedari kehadiran Stella. Tetapi sebaik sahaja dia mengambil tempat duduk di situ, seolah-olah sepasang mata semua orang yang terkejut terus tertumpu ke arahnya. Dia sudah tentu menyedari kejanggalan itu tetapi langsung tidak mempedulikannya.
Walau bagaimanapun, apabila dia menyedari bahawa penghuni tempat duduk di sebelahnya itu juga sedang memandangnya, dia menoleh lalu mengukir senyuman sinis sambil bertanya, "Kerusi ni ada orang ke?"
Share this novel