BAB 14

Romance Completed 8834

“Meera,” satu suara memanggil Ameera yang sedang duduk bersendiri di bangku kayu di bawah sepohon kayu rendang di taman rumah anak-anak yatim tersebut.

“Meera tahu, akak dah tak ada kan,” Ameera sebak. Nalurinya tidak pernah silap. Kali terakhir Aqeela datang bertemu dengannya dia sudah tahu kakaknya itu sedang menderita sakit. walaupun Aqeela langsung tidak memberitahunya namun nalurinya kuat menyatakannya.

“Dia baru sahaja meninggal setengah jam tadi,”

Ameera terus menangis sekuat yang mungkin. Hatinya bagaikan dilapah bila mengetahui satu-satunya saudara yang dia ada sudah meninggalkan dia untuk selama-lamanya. Ibu Najihah terus mendapatkan dia dan dipeluk erat, cuba untuk menenangkan gadis itu.

“Ya Allah, kau tempatkanlah kakakku di kalangan hambaMu yang solehah,” doa Ameera di dalam hati. Dia redha, dia redha dengan ketentuan Ilahi walaupun hatinya begitu berat untuk melepaskan Aqeela yang sudah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

************

“Qif! Sampai bila kau nak macam ni? Sudah hampir setengah tahun Arwah Qeela tinggalkan kita, kau kena terima semua ni, sampai bila kau nak mengelak untuk berjumpa dengan Ameera, Qeela suruh kita jaga dia Qif, aku rasa tak sedap hati kalau kita hanya kirimkan duit untuk Ameera tanpa kita bertemu dengan dia,” ujar Irsyad pada suatu hari. Siapa sangka, selepas kematian Aqeela, mereka langsung tidak menjenguk adik Aqeela, malah mereka juga tidak menghadiri majlis pengkebumian Aqeela. Mereka tidak sanggup untuk menghadiri majlis pengkebumian tersebut kerana waktu itu mereka begitu sedih. Apa yang mereka tahu, Aqeela telah mendermakan matanya untuk adiknya Ameera dan pembedahan itu berjaan dengan lancar. Namun dia masih belum berpeluang untuk bertemu muka dengan gadis yang hanya dikenali dengan panggilan Ameera.

“Entah la Syad, setiap kali aku fikir pasal benda ni, hati aku sayu. Aku terima Qeela dah tinggalkan kita, tapi aku takut bila aku jumpa dengan Ameera nanti, aku tak dapat menahan rasa sedih aku ni. Aku takut aku tak kuat Syad. Aku rasa bersalah pada dia beb,”

“Buat apa kau nak rasa bersalah. Tapi kau memang patut rasa bersalah kalau kau masih lagi mengelak untuk jumpa dengan Ameera, jom kita jumpa dengan dia, aku dapat panggilan dari rumah anak-anak yatim tempat Ameera tinggal, ibu Najihah cakap, Ameera teringin nak jumpa dengan kita, dia nak kenal dengan sahabat arwah kakaknya yang banyak menolong dan membantu kakaknya selama ini,”

Aqif melepaskan satu keluhan yang berat. Kemudian dia hanya mengangguk tanda bersetuju dengan ajakan Irsyad sebentar tadi.

*************

Aqif dan Irsyad turun dari kereta. Kedatangannya disambut mesra oleh Ibu Najihah yang mengetahui kedatangan mereka dari awal lagi.

“Alhamdulillah, sampai juga kamu berdua ke sini? Yang mana satu Aqif yang mana satu Irsyad?” tanya Ibu Najihah dengan mesra.

“Saya Aqif, ini Irsyad, mana Ameera?” Aqif terus sahaja bertanyakan mengenai Ameera. Hatinya berkobar-kobar untuk berjumpa dengan satu-satunya adik Aqeela. Adik gadis yang paling disayanginya di dalam dunia ini.

“Ameera kalau petang-petang macam ni, dia suka duduk di bawah pokok kat taman sana, habiskan masa bermain dengan budak-budak di sini. Tambahan pula bila dia mendapatkan kembali penglihatannya, dia cakap dia suka melihat benda-benda hijau. Sebab itulah dia suka habiskan masanya di taman,” terang Ibu Najihah. Aqif dan Irsyad mengangguk faham.

“Jom, ibu bawa kamu berdua jumpa dengan Ameera,”

Aqif dan Irsyad sama-sama mengikut langkah Ibu Najihah. Masing-masing berdebar menunggu untuk bertemu dengan Ameera. Mereka sendiri tidak mengerti denga perasaan yang dirasakan oleh mereka ketika itu. Dari jauh dia melihat seorang gadis yang mempunyai tinggi yang seakan-akan sama dengan arwah Aqeela sedang sibuk melayan kanak-kanak bermain. Gadis yang lengkap bertudung itu sedang membelakangi mereka.

“Ameera, ada orang yang nak jumpa dengan Ameera,”

Gadis itu menoleh dan terus melemparkan senyuman yang manis pada Aqif dan juga Irsyad. Aqif dan Irsyad kaku buat seketika. Mereka berdua seakan-akan tidak mempercayai apa yang dilihatnya ketika itu.

“Itu kan……

“Ibu kenalkan kamu dengan Nur Ameera Farhan, adik kembar Arwah Nur Aqeela Farhah,” suara Ibu Najihah menjawab segala persoalan yang ada di benak fikiran mereka ketika itu. Waktu itu Aqif dan Irsyad seakan-akan melihat Aqeela yang sedang berjalan ke arah mereka. Cuma Aqeela yang sedang berjalan menghampiri mereka itu seorang gadis yang lengkap berbaju kurung dan memakai tudung di kepalanya.

Ameera tersenyum manis. Dia memandang lelaki yang sedang berdiri di hadapannya dengan teliti. Cuba mengingat kembali kesemua cerita mengenai sahabat-sahabat baik kakaknya yang pernah diceritakan oleh Aqeela dahulu.

“Ini tentu Aqif kan, dan ini tentu Irsyad, saya Ameera, adik kembar Aqeela, selamat berkenalan,” Ameera menundukkan sedikit wajahnya sebagai tanda salam perkenalan. Aqif dan Irsyad masih lagi kaku seribu bahasa.

“Subhanallah. Maha suci Allah,” Aqif bersuara di dalam hati. Akhirnya dia menguntumkan senyuman membalas senyuman manis gadis di hadapannya. Irsyad turut sama tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala, kagum dengan kekuasaan Allah yang baru dilihatnya.

Begitu luas pengertian cinta kan? Cinta boleh ditafsirkan dalam pelbagai sudut dan bukan hanya merujuk kepada cinta sesama manusia. Cinta ada di dalam diri kita, terpulang pada kita bagaimana untuk menggunakan rasa cinta tersebut. Cinta boleh dirasai walaupun tidak diluahkan dengan kata-kata. Inilah cinta. Terpulang pada individu untuk mentafsiran cinta. Namun kena ingat, Cinta pada yang Esa adalah Cinta yang paling suci di dalam dunia ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience