BAB 9

Romance Completed 8834

“Aku benci kau Qeela! Aku bencikan kau! Kau bukan kawan aku! Kau bukan kawan aku lagi! aku bencikan kau!” terngiang-ngiang suara Irsyad meraung kepadanya beberapa hari yang lalu sewaktu dia membawa lelaki itu ke Rumah Harapan bagi mendapatkan rawatan ketagihan dadah yang dialami oleh Irsyad. Dia tahu, dia silap bila menipu Irsyad yang sedang gian bahawa dia mahu membawa lelaki itu bagi mendapatkan ‘bekalan’ yang Irsyad perlukan tetapi sebenarnya, dia sudahpun mendapatkan persetujuan daripada kedua ibu bapa Irsyad untuk menghantar Irsyad ke pusat rawatan penagihan dadah. Lagipun, ibu bapa Irsyad yang mahu Irsyad dihantar ke pusat rawatan di bawah badan bukan kerajaan bagi merawat anaknya itu dan mereka sanggup membayar seberapa sahaja yuran yang telah ditetapkan oleh Rumah Harapan tersebut.

“Dah lama kau tunggu?” suara Aqif telah mengembalikan semula Aqeela ke dalam dunia nyata. Rupa-rupanya sudah jauh dia mengelamun sebentar tadi.

“Baru sekejap. Ada apa kau nak jumpa dengan aku?” soal Aqeela. Dia memandang lelaki yang langsung tidak mempamerkan wajah ceria seperti biasa. Sesungguhnya dia begitu rindu akan senyuman manis Aqif yang boleh membuatkan dia tenang.

“Aku ada hal nak cakap dengan kau!” suara Aqif langsung tidak menunjukkan kemesraan.

“Apa dia?”

“Aku akan tinggalkan kolej ni dan sambung pelajaran aku kat luar negara! Jasmin ikut sekali!” entah mengapa Aqif sengaja mahu menyebut nama teman wanitanya yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara bersama-sama dengannya.

“Kenapa?”

“Kenapa apa?” tanya Aqif kembali. Wajah Aqeela diamati. Cuba mencari sesuatu kepastian. Namun dia gagal mendapatkan kepastian tersebut. Apa yang dilihatnya waktu itu hanyalah wajah pucat Aqeela. Aqeela seperti tidak bermaya. Namun perasaan kecewa dan marah yang masih berbaki menghalang dia untuk bertanya dengan lebih lanjut mengenai gadis itu.

“Kenapa kau tak tamatkan saja kat sini, satu semester saja lagi untuk kita habiskan,” Aqeela bersuara sayu. Luluh hatinya mendengar berita sedih itu.

“Dah tak ada apa-apa lagi yang ada untuk aku terus belajar kat kolej ni. Lagipun lepas tu boleh la aku sambung terus ambil Master,”

“Dah tak ada apa-apa lagi yang ada kat sini? Ermm...” Aqeela sedaya upaya mahu menyembunyikan rasa sebak dan sedih yang dirasai ketika itu. Kalaulah dia boleh memberitahu lelaki itu mengenai penyakit yang dihadapinya. Kalaulah lelaki itu tahu bahawa dia akan mati tidak lama lagi dan kalaulah lelaki itu tahu tentang perasaan sebenar yang cuba dia sembunyikan selama ini. Tetapi semua itu hanya ‘kalau’ dan apa yang pasti semua itu tidak mungkin diketahui oleh Aqif.

“Sebelum mula semester baru, aku akan pergi. Tapi dalam tiga bulan kita cuti ni, aku akan ke Switzerland bercuti dengan family,”

“Oh, Selamat Bercuti!” hanya itu sahaja mampu keluar dari bibir nipis Aqeela. Kemudian dia terasa seperti ada cairan panas yang keluar dari hidungnya dan apabila dia menyentuh dengan jarinya ternyata hidungnya sekali lagi beradarah.

“Aku pergi dulu. Selamat bercuti dan kirim salam aku pada Jasmin,” Aqeela cepat-cepat melangkah meninggalkan Aqif sebelum lelaki itu menyedari perkara sebenar. Walaupun banyak perkara yang ingin dia bicarakan dengan lelaki itu, dia terpaksa melupakan semuanya. Dia tidak mahu Aqif tahu mengenai penyakit yang dihadapinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience