BAB 10

Romance Completed 8834

“Kau apa khabar?” Aqeela sebak. Sejak hampir tiga bulan Irsyad berada di dalam Rumah Harapan, inilah kali pertama dia mendapat panggilan daripada rumah tersebut bahawa Irsyad ingin bertemu dengannya.

“Aku sihat, Alhamdulillah, terima kasih pada kau sebab bawa aku ke sini. Terima kasih sebab jadi kawan terbaik aku. Tanpa kau, aku tak tahu apa yang akan jadi pada aku,” ucapan ikhlas daripada Irsyad semakin membuatkan Aqeela bertambah terharu. Akhirnya, dia mendapatkan kembali kawan baiknya. Air matanya mulai bergenang.

“Aku sayangkan kau. Aku sayangkan semua kawan-kawan kita, cukuplah aku kehilangan Riz, aku tak nak kehilangan kau. Terima kasih sebab sudi bertemu dengan aku,” akhirnya air matanya jatuh jua. Dia tidak dapat menahan rasa gembiranya kerana Irsyad sudi untuk memaafkannya tetapi dalam masa yang sama dia begitu sedih kerana kemungkinan besar dia pula yang akan meninggalkan semua orang dia sayangi di dunia ini.

“Apa ni beb? Sejak bila kau jadi ratu air mata ni?” Irsyad cuba berseloroh walaupun dia sendiri terasa ingin menangis ketika itu. Dia begitu rindukan Aqeela, rindukan Aqif dan rindukan arwah Rizman yang sudah meninggalkan mereka untuk selama-lamanya. Alangkah bahagianya sekiranya mereka dapat berkumpul kembali seperti dahulu.

“Aqif ada datang jumpa dengan kau?” Aqeela mengubah tajuk perbualan. Dia menyapu air matanya dengan tangan cuba menyembunyikan kesedihan yang dirasai bila soal Aqif diutarakan.

“Ada, sebelum dia pergi bercuti, selepas tu dia dah tak datang dah, dia dah balik ke Malaysia ke belum?” soal Irsyad. Ada sesuatu yang tertanya-tanya selama ini. Sesuatu yang terjadi antara Aqeela dan Aqif. Walaupun nalurinya kuat menyatakan bahawa tafsirannya selama ini tidak salah, namun dia tidak berani untuk terus meneka.

“Entah, dah la kot,”

“Aku tanya sesuatu, kau jangan marah boleh tak beb?”

“Sejak bila kau jadi budiman ni? Biasanya kau main terjah jek,” giliran Aqeela pula yang berseloroh. Mereka sama-sama tergelak. Sudah lama mereka tidak ketawa bersama sebegitu.

“Kau sayangkan Aqif kan?”

“Sayangkan Aqif? Memang la. Dia kan kawan aku, sama la jugak dengan kau, aku pun sayangkan kau!” Aqeela tidak mengerti dengan soalan yang barus sahaja diutarakan oleh Irsyad.

“Iyalah, aku tahu kau memang sayangkan kita orang, maksud aku. Kau cintakan Aqif kan? Selama ni kau memang cintakan Aqif seperti mana Aqif juga cintakan kau!” Irsyad cuba meneka. Walaupun Aqif tidak memberitahunya apa-apa, namun usia persahabatan dan keakraban mereka membuatkan dia boleh membaca isi hati dua orang sahabat baiknya itu.

Aqeela terus terdiam. Dia tertunduk. Akhirnya dia menangis. Entah mengapa, waktu itu perasaan malu untuk menangis di hadapan Irsyad langsung tidak timbul. Apa yang dia tahu, dia sedih dan memerlukan seseorang untuk meluahkan apa yang dia rasakan ketika itu. Dia sudah tidak sanggup memendam segala-galanya seoarang diri.

“Aqif pernah luahkan perasaan dia pada aku, tapi aku nafikan perasaan aku pada dia,”

“Tapi kenapa? Kenapa kau tak beritahu dia yang kau juga cintakan dia,” Irsyad agak terperanjat dengan apa yang baru sahaja didengarinya.

“Aku tak boleh, aku tak boleh. Aku tak layak untuk dia. Dia berhak untuk dapatkan seseorang yang jauh labih baik dari aku, macam Jasmin. Aku gembira sangat bila dapat tahu hubungan dia dengan Jasmin walaupun jauh kat dalam hati aku, aku cemburu sangat dengan Jasmin, tapi aku terpaksa. Itu saja jalan terbaik,”

“Tapi, kau lansung tak luahkan perasaan kau pada Aqif! Dia berhak tahu apa yang kau rasa pada dia! Aku tak rasa Aqif anggap kau tak layak untuk dia. Kalau tidak masakan dia luahkan perasaan dia pada kau!”

“Kau tak faham Syad! Kau tak faham!” tangisan Aqeela semakin kuat.

“Apa yang aku tak faham? Cuba kau beritahu aku apa yang aku tak faham. Aku kenal Aqif, kau juga dengan Aqif, Aqif bukannya seperti kebanyakan anak orang kaya yang pandang pada harta dan darjat Qeela,”

“Ini bukan masalah Aqif, tapi aku, aku Syad!”

“Kenapa dengan kau? Kau jangan nak beritahu yang kau tolak cinta Aqif sebab kau nak jaga adik kau, percayalah cakap aku Qeela, kalau Aqif boleh terima kau, Aqif juga boleh terima adik kau! Walaupun adik kau tu istimewa!” Irsyad cuba untuk menyedarkan Aqeela. Dia tahu Aqeela begitu menyayangi dan mengambil berat mengenai adiknya. Walaupun sepanjang empat tahun mereka berkawan mereka belum pernah dipertemukan dengan adik Aqeela, namun Aqeela selalu sangat menceritakan perihal adiknya itu. Malah dia kagum dengan Aqeela yang begitu bertukus lumus belajar dan bekerja semata-mata mahu memberi kesenangan adiknya yang cacat penglihatan.

“Bukan soal tu. Tapi..tapi aku. Aku sakit Syad!” ahkirnya Aqeela meluahkan apa yang dipendam olehnya selama ini. Dia memandang wajah Irsyad yang seakan-akan masih belum memahami maksud kata-katanya sebentar tadi.

“Kau sakit? Apa maksud kau? Kau sakit apa?” suara Irsyad mulai terketar-ketar. Dia seakan-akan dapat mencium sesuatu yang tidak baik di situ.

“Cancer Syad! Cancer! Aku ada leukemia beb! Dan penyakit aku dah sampai stage akhir. Aku dah tak boleh hidup lama lagi,” Aqeela menangis teresak-esak.

“Kau, kau jangan nak bergurau dengan aku Qeela, benda ni tak lucu beb! Kau jangan nak kenakan aku, jangan main-main dengan soal mati ni Qeela,” suara Irsyad terketar-ketar. Dia merenung pada Aqeela yang hanya menangis tanpa henti ketika itu. Kata-katanya tadi langsung tidak mendapat sebarang reaksi daripada Aqeela malah tangisan gadis itu semakin kuat.

“Ya Allah Qeela, selama ni kau sembunyikan semua ni dari pengetahuan kita orang. Ya Allah. Qeela aku….

“Beb, hanya kau seorang yang tahu pasal ni. Kau jangan beritahu Aqif, aku tak nak dia batalkan pemergian dia ke US sebab aku. Aku kenal dia, kalau dia tahu keadaan aku, dia akan batalkan pemergian dia beb. Aku tak nak dia korbankan cita-cita dia hanya disebabkan aku. Aku tahu, sejak dulu dia memang teringin nak belajar kat luar negara, cuma dia lupakan niat dia sebab dia tak sampai hati nak tinggalkan kita semua. Kau janji dengan aku, yang kau takkan beritahu Aqif pasal benda ni. Aku percayakan kau Syad,”

“Takkan dah tak ada rawatan yang boleh rawat penyakit kau?” Irsyad juga sudah tidak mampu menahan rasa sedihnya. Air mata lelakinya turut sama mengalir.

“Aku dah redha dengan semua ni, aku dah penat beb nak jalani rawatan. Sakit tahu tak! Aku dah tak tahan, lagipun setiap kali aku terima rawatan, aku lemah dan aku tak mampu nak buat sebarang kerja, tapi aku takut, aku takut dan aku tak sampai hati nak tinggalkan semua orang yang aku sayang, aku takut beb!”

“Qeela, kau dengar sini, kau terima apa saja rawatan yang doktor syorkan untuk kau. Walaupun sakit macam mana sekalipun kau kena tahan. Kau kena kuat. Kau abaikan dulu soal kerja kau. Aku boleh tolong kau jaga adik kau, hantar duit kat adik kau, kau terima rawatan tu beb! Please! Kau tunggu aku, hujung bulan ni aku dah boleh keluar dari tempat ni beb, please! aku rayu pada kau Qeela,” Irsyad mengenggam erat tangan Aqeela, cuba memberi kekuatan pada sahabatnya itu.

“Aku….

“Please…Qeela kau tak boleh tinggalkan kita orang, aku tak boleh kehilangan kau! Cukup la aku kehilangan Riz!” Irsyad merayu. Dia memandang jauh ke dalam anak mata Aqeela, cuba memberi keyakinan pada gadis itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience