BAB 7

Romance Completed 8834

Aqeela berasa betul-betul tidak sedap hati. Dia cuba menjejaki Rizman di tempat biasa lelaki itu menghabiskan masa bersama kawan-kawan motornya, namun dia gagal untuk mendapatkan lelaki itu. Dia perlu menghalang Rizman dengan kadar yang segera. Demi Allah, dia seakan-akan dapat merasakan sesuatu yang tidak baik bakal berlaku.

“Bob! Kau ada nampak Riz tak? Kau tahu tak dia nak berlumba kat mana malam ni?” Aqeela bertanya pada lelaki yang selalu berlumba dengan Rizman. Satu-satunya kawan motor Rizman yang suka lepak dengan mereka setiap kali mereka berkunjung ke kawasan mat-mat motor berkumpul.

“Aku tak tahu la Qeela, kalau tak silap aku dia orang berkumpul dekat Jalan Ampang malam ni, aku tak suka Riz join berlumba dengan geng tu, pertaruhan dia orang mahal sangat satu hal, lagi satu aku dengar, geng-geng tu suka guna taktik kotor!” kata-kata lelaki yang dikenali sebagai Bob menambahkan lagi rasa bimbang yang dirasai oleh Aqeela ketika itu.

“Terima kasih Bob!” Aqeela terus mengenakan kembali helmet di kepala dan terus menaiki motor berkuasa tinggi yang dimilikinya. Dia mesti mendapatkan Rizman dengan kadar yang segera sebelum lelaki itu memulakan perlumbaan haram itu.

************

Aqeela tahu dia sudah terlambat. Sebaik sahaja dia sampai ke tempat yang diberitahu oleh Bob, perlumbaan telahpun berlangsung. Qeela tiada cara lain selain dari mengikut haluan perlumbaan tersebut. Dia perlu menyuruh Rizman berhenti dari meneruskan perlumbaan itu. Maklumat mengenai jalan yang diikuti untuk perlumbaan haram itu telahpun diperolehi daripada penonton yang berada di kawasan permulaan perlumbaan.

Sambil menunggang motosikalnya dengan laju, Aqeela berdoa dalam hati agar Allah melindungi sahabat baik nya itu. Hatinya betul-betul tidak tenteram. Setelah hampir sepuluh minit dia menunggang motosikalnya, dia seakan-akan melihat sekumpulan manusia berkumpul di satu persimpangan jalan. Keadaan trafik mulai perlahan dan membuatkan dia turut memperlahankanmotornya. Dia mula menunggang di celah-celah kenderaan yang mulai sesak. Waktu itu, dia tahu pasti ada kemalangan yang berlaku namun seboleh-bolehnya dia cuba menafikan apa yang terlintas di fikirannya ketika itu. Namun apa yang dia lihat waktu itu membuatkan jantungnya semakin berdegup kencang. Motosikal yang hampir hancur tersadai di tepi jalan seakan-akan menguatkan lagi firasatnya. Aqeela terus sahaja behenti di tepi jalan raya dan turun dari motorsikalnya lalu berjalan menghampiri sekumpulan manusia tersebut.

Aqeela berjalan di celah-celah manusia yang semakin ramai. Semakin dia menghampiri di kawasan tengah-tengah manusia berkumpul, semakin langkahnya perlahan. Lututnya mula semakin menggeletar dan akhirnya dia sampai jua di tengah-tengah kumpulan manusia tersebut dan dia terus terjelepuk jatuh dan melutut betul-betul di hadapan sekujur tubuh yang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

“Ya Allah Riz! Riz! Ya Allah! Tolong! Tolong kawan saya bang! Tolong! Riz! Riz!” Aqeela mula meraung meminta pertolongan. Waktu itu tangan kanan Rizman terkapai-kapai seperti mahu mendapatkannya. Aqeela terus sahaja memegang erat tangan Rizman sambil menangis. Dia mendekatkan wajahnya pada wajah Rizman yang dipenuhi dengan darah apabila dia melihat lelaki itu seperti mahu memberitahunya sesuatu.

“Qeela…aku..aku…aku minta maaf…aku degil…aku tak nak…tak nak dengar..nasihat kau..maafkan…maafkan aku Qeela,” suara Rizman tersekat-sekat.

“Riz…tak…kau tak salah, aku yang salah sebab tak nak tolong kau! Riz! Kau kena bertahan! Bang! Tolong kawan saya bang!” Aqeela meraung lagi. Tambahan pula bila melihat keadaan Rizman yang semakin tenat.

“Aku…aku…sayangkan kau…sayangkan Qif…sayangkan Syad…korang…kawan terbaik..yang…yang…pernah…aku ada. Maafkan aku…maafkan…aku..se…panjang…kita…berakawan,” tangisan Aqeela semakin kuat.

“Riz! Kau kena bertahan! Tolonglah Riz! Jangan tinggalkan aku! Tinggalkan kita orang!” Aqeela merayu. Seketika kemudian, bantuan sampai dan Riz dibawa masuk ke dalam ambulan dan dia pula cuba ditenangkan oleh beberapa orang yang berada di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience