BAB 1

Romance Completed 8834

ANA BEHIBAK dalam bahasa Arab membawa maksud; ‘’Aku cinta kamu’’. Behibak diucap khas untuk lelaki manakala jika ianya diucapkan kepada perempuan, ia akan berbunyi, ‘’Ana Behibek’’.
Kata orang cinta itu indah. Kata orang juga cinta itu sungguh merumitkan. Ada juga yang kata tanpa cinta manusia tidak akan dapat merasai apa makna kehidupan yang sebenar. Tapi cinta, bukan hanya merangkumi cinta antara kaum adam dan hawa seperti kisah cinta antara Laila dan Majnun, kisah epik cinta Romeo dan Juliet. Cinta itu luas pengertiannya. Kasih antara anak dan ibu bapa juga dipanggil cinta, kasih sayang antara sahabat boleh juga ditafsirkan sebagai cinta, sayangi alam sekeliling walaupun bukan sesama manusia juga boleh diertikan sebagai cinta. Tapi cinta yang paling agung adalah cinta pada yang Esa. Kita sebagai manusia sudah dianugerahkan dengan perasaan kasih dan cinta dan kita harus menghargai anugerah yang tidak ternilai ini. Kisah yang akan saya karangkan di bawah juga kisah cinta. Cinta yang bagaimana? Anda tafsirkan sendiri.
*****

“Saya minta maaf Cik Aqeela, ubat itu memang tidak sesuai dengan Cik Aqeela, pada mulanya kami dapati ubat itu cukup sesuai dengan Cik Aqeela memandangkan kesan yang kami perolehi amat menggalakkan, tapi lama kelamaan, ubat itu seakan-akan langsung tidak memberikan sebarang kesan,” lelaki yang berumur hampir separuh abad memberikan penerangan pada Aqeela.

“Saya tahu, saya boleh rasakan semua tu,” Aqeela melepaskan satu keluhan kecil. Cuba untuk menenangkan perasaan sendiri. Walaupun dia sudah redha dengan ketentuan-Nya namun perasaan takut masih mengusai diri.

“Kalau Cik Aqeela mahukan, kami boleh syorkan rawatan baru yang……

“Tak, saya dah tak perlukan apa-apa rawatan baru lagi, saya dah boleh terima dengan penyakit saya ni, saya redha, kalau ditakdirkan nyawa saya tak panjang, saya redha doktor,” Aqeela cuba menahan sebak di dada. Bukan dia berputus asa tetapi dia mahu menikmati hidupnya yang masih berbaki dengan sebaik mungkin. Rawatan yang diterimanya selama ini membataskan pergerakannya, malah membuatkan dia sentiasa letih dan tidak mampu untuk melakukan sebarang aktiviti yang diingini. Malah dia cukup penat bila terpaksa menyembunyikan penyakit yang dihadapi kepada orang di sekelilingnya. Terutamanya orang yang disayangi.

“Cik Aqeela, kita cuba dulu, mana tahu dengan kaedah rawatan baru ni, kita dapat sembuhkan penyakit Cik Aqeela,”

“Bukan saya tak mahu mencuba doktor, saya nak cuba semua rawatan yang ada kalau itu boleh sembuhkan penyakit saya, tapi saya tak mampu, sumber kewangan saya tak cukup, banyak benda lain yang memerlukan wang selain rawat penyakit saya ni, lagipun rawatan tu semua membataskan pergerakan saya, saya lemah dan tak boleh lakukan kerja dengan sempurna. Saya kena bekerja doktor, saya perlu sara adik saya, adik saya masih perlukan kudrat saya untuk teruskan hidup,” akhirnya air mata yang ditahan berguguran juga. Waktu itu, mula tergambar wajah insan-insan yang paling disayanginya. Wajah adiknya Ameera yang sentiasa tersenyum, wajah Aqif, Rizman dan Irsyad, tiga orang sahabat yang sentiasa di sisinya.

“Minta bantuan….kalau Cik Aqeela mahu saya boleh minta bantuan…

“Tak apa doktor, masih ramai insan lain yang memerlukan bantuan yang doktor maksudkan tu, insan yang masih ada peluang yang cerah untuk hidup, saya tahu, penyakit saya ni sudah sampai tahap yang paling teruk,” Aqeela cuba untuk tersenyum walaupun bibirnya terasa begitu berat untuk menguntumkan senyuman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience