Bab 4

Romance Series 2585

JANTUNG Taufiq Elias sepertinya ditikam terlalu menusuk. Tatapan mereka saling bertaut seperti ada cerita di sebalik kisah hari ini. Rahang Taufiq Elias mengeras, dia cuba mencari di mana paras normalnya apa yang dikatakan oleh Serena.

Semudah itu Serena mengheretnya dalam keadaan seperti ini?

Datuk Iskandar masih terpaku. Kata-kata Serena sebentar tadi kedengaran seperti campuran antara tawaran dan ancaman, dan dia tidak tahu yang mana satu harus diberi respons.

“Jangan, Rena.” Puan Sarimah akhirnya bersuara. “Lebih baik perkahwinan ini dibatalkan daripada Rena ambil tindakan macam ni. Umi tahu Rena tengah marah sekarang ni.”

Serena menarik nafas dalam. Bahunya jatuh. Dia menunduk sebentar sebelum menatap bondanya dengan senyuman tipis yang cuba menenangkan.

“Rena tetap nak perkahwinan ini berlangsung, umi,” ucapnya yakin.

“No!”

Shah Hakimi tiba-tiba berdiri, suaranya meninggi. Wajahnya merah kerana emosi.

“I tak setuju. I akan kahwin dengan you, sayang! Bukan abang I.”

Serena menarik nafas dalam, cuba menenangkan dirinya.

“Shah, please... jangan buat semuanya jadi lebih rumit. I cuma ambil jalan mudah,” ujarnya perlahan, hampir seperti sedang membela keputusan yang bahkan belum sepenuhnya dia yakini.

“No. No way. I je yang boleh kahwin dengan you.” Rahang Shah Hakimi semakin mengeras. Ini keputusan yang tidak mampu diterimanya.

Terus saja Taufiq Elias berdiri. Langkahnya tenang saat menghampiri Serena. Tanpa berkata apa-apa, dia meraih pergelangan tangan gadis itu, menariknya tidak terlalu kasar, tetapi cukup menunjukkan bahawa dia tidak mahu dibantah.

“Uncle Jamal, saya mintak izin nak bercakap sekejap dengan Serena,” katanya kepada Encik Jamal dengan penuh hormat dan bersopan.

“Baik, Taufiq.”

Lalu Taufiq Elias membawa Serena pergi. Langkahnya tegas meninggalkan ruang tamu.

“Abang, lepaskan tangan Serena!”

Shah Hakimi menjerit, tidak dapat menerima. Tubuhnya hendak melangkah, tetapi Taufiq Elias tidak mengendahkan suara Shah Hakimi. Dia terus membawa Serena menuju ke bilik bacaan yang sekali gus adalah ruangan tempat dia membuat kerja.

Tiada siapa yang menghalang. Tidak seorang pun daripada mereka sanggup berdiri di antara Taufiq Elias dan keputusannya. Mereka tahu, lelaki itu tidak pernah bersuara jika dia tidak benar-benar yakin. Dan sekali dia bersuara, tiada siapa yang mampu menghentikannya.

Taufiq Elias membuka pintu bilik itu dan menarik Serena masuk dengan gerakan pantas. Cengkamannya pada lengan gadis itu sedikit menguat sebelum akhirnya dilepaskan dengan kasar. Pintu tertutup rapat, lalu Taufiq Elias berpaling, berdiri tegap dengan kedua-dua tangan di pinggang.

Serena mendongak. Matanya memandang seluruh ruangan dan terhenti saat melihat deretan foto Taufiq Elias bersama bekas tunangnya. Terpampang di dinding, di atas meja sisi katil, bahkan ada satu almari kaca yang seolah-olah menjadi sudut kenangan mereka.

Dia menghela nafas perlahan, lalu merenung Taufiq Elias. Namun sebelum sempat dia bersuara, suara dingin Taufiq Elias menghentamnya terlebih dahulu.

“Dulu bukan main berlagak lagi. Buat keputusan macam jadi perempuan yang bagus sangat. Dua kali tunang putus. Okey. Lepas tu dah tak berjaya kahwin sekarang ni macam mana ya? Sekarang ni nak heret saya dalam hal ni? Apa masalah awak ya?”

Suara itu hampir seperti tamparan. Mata Serena membulat. Dia tidak menyangka akan mendengar ayat sekejam itu daripada Taufiq Elias, bakal abang iparnya sendiri.

Serena mengetap rahangnya. Tatapannya tetap tenang meskipun dadanya mula bergemuruh.

“Saya tak buat benda yang salah.”

“Mengarut.” Taufiq Elias memotong cepat. “Awak tak fikir ke apa yang awak tengah buat sekarang ni?”

Serena mengeluh, tetapi Taufiq Elias tidak memberinya ruang untuk bernafas.

“Jangan nak pijak orang lain semata nak capaikan impian awak tu.” Taufiq Elias mendekat, suaranya tidak meninggi, tetapi nadanya dingin dan penuh tekanan. “Dan saya bukan penyelesaian kepada semua masalah ini. Saya bukan patung pelengkap impian awak. Saya juga bukan pengganti sesiapa, termasuk adik saya sendiri.”

Lelaki ini benar-benar sudah berubah. Disangkanya masih ada harapan lama yang boleh menyelamatkannya. Namun, dia percaya dengan satu baris ayat dulu. Dan, dia mahu mencuba. Sekuat-kuatnya.

Taufiq Elias memang membina tembok yang tinggi, kukuh, dan dingin. Bahkan sekadar mengintai isi hatinya pun, tiada siapa yang mampu.

Serena mendekat ke arah Taufiq Elias. Langkahnya perlahan tetapi pasti, hingga jarak mereka hanya tinggal sejengkal.

“Setahun je awak,” ucapnya lirih tetapi terdengar tegas. Dia menatap langsung ke mata Taufiq Elias, seolah-olah berharap lelaki itu mampu melihat luka yang sedang cuba disembunyikannya.

“Bukan sebagai suami isteri. Tapi sebagai seorang perempuan yang cuma mahu diselamatkan daripada rasa malu yang akan dia tanggung seumur hidupnya. Dan semua itu kerana perbuatan adik awak sendiri.”

Nafasnya berat saat dia menahan rasa getir. Namun tiada air mata yang jatuh. Hanya suara Serena yang sedikit bergetar.

“Selepas setahun, saya sendiri yang akan pergi ke mahkamah syariah. Saya sendiri yang akan mengakhiri semuanya.”

Serena bersiap untuk meninggalkan ruangan itu. Namun sebelum benar-benar melangkah pergi, dia masih menahan langkahnya, lalu sekali lagi menatap dalam kedua-dua mata Taufiq Elias.

“Saya nak awak fikir sedalamnya. Saya tahu apa yang berlaku dalam keluarga awak. Saya sanggup jadi patung untuk mencapai misi awak jugak. Apa saja. Cuma saya mahukan sedikit ruang untuk menumpang.”

Tanpa menunggu sebarang reaksi, Serena membuka pintu bilik dan melangkah keluar dengan langkah yang longlai. Dia tidak menoleh lagi.

“Sial!” geram Taufiq Elias sebaik pintu tertutup.

Ancaman itu cukup menggoncang hatinya. Bukan kerana hatinya luluh. Sama sekali bukan. Tetapi ini tentang bagaimana Serena selalu mengetahui kelemahannya.

“Kenapa dia ya Allah?!” Taufiq Elias mengumpat keras kepada hidupnya sendiri.

BALLROOM hotel mewah yang megah menjadi ruangan serba putih dengan sentuhan emas. Tirai nipis berwarna gading menjuntai lembut dari siling tinggi, berpadu dengan bunga-bunga putih segar orkid dan lily yang menghiasi sepanjang pelamin hingga ke meja akad.

Sebuah meja panjang dengan alas renda krim ditempatkan di tengah ruangan. Di atasnya, dua jambangan bunga segar dan sebatang pen emas untuk penandatanganan dokumen nikah menjadi pusat perhatian.

Kerusi-kerusi kayu berbalut kain satin emas tersusun rapi untuk keluarga inti dan para saksi. Sementara itu, kerusi tetamu disusun separa melingkar, menciptakan suasana hangat dan intim. Alunan muzik selawat instrumental turut mengisi ruangan, menenangkan dan terasa memeluk hati yang gelisah.

Tetamu pula memakai semua pakaian berwarna putih.

Di meja akad, Taufiq Elias duduk dengan wajah mendatar. Pada akhirnya, dia tidak menolak tawaran Serena. Beberapa malam, bayangan Ariana hadir begitu nyata dalam benaknya. Sebuah kematian pasti akan meninggalkan trauma besar kepada orang di sekelilingnya, dan dia tidak mahu kehilangan nyawa lagi di depan matanya.

Cukup arwah mamanya, kemudian arwah Ariana dan kini bukan papanya. Datuk Iskandar kerap jatuh sakit kerana perbuatan Shah Hakimi. Dia takut akan kehilangan lagi. Bukan sekarang.

Sementara itu, Encik Jamal menatap kosong ke arah meja di hadapannya. Dia juga tidak sanggup menolak keinginan puterinya. Dia tahu, membatalkan perkahwinan ini hanya akan menambah luka, dan kali ini dia tidak mahu menjadi penyebabnya.

Di ruang solek, Serena sudah siap dengan kebaya labuh rekaan sendiri yang dijahit daripada kain impiannya sejak sekian lama. Cuma kali ini kepalanya dibalut dengan tudung satin berona sama dengan bajunya.

Solekan natural membingkai wajahnya, tetapi sorot matanya menyimpan riuh yang tidak terucap.

“Aku tak faham dengan cara kau berfikir... tapi aku cuma boleh berdoa semoga ini jalan yang terbaik,” kata Anisah memecah keheningan, membuatkan Serena menoleh.

Dia mengukir senyuman nipis kepada sepupunya, merangkap kawan baiknya itu meskipun matanya mula berkaca-kaca.

“Terima kasih. Cukup doakan aku je,” ucapnya lirih sambil menggenggam tangan Anisah erat, seolah-olah meminta kekuatan.

Puan Sarimah yang sejak tadi hanya diam menatap puterinya dari kejauhan akhirnya mendekat. Ada ruang ketika dia cuba menahan sesak di dadanya. Lalu tanpa kata, dia memeluk Serena dengan hangat.

“Ingat Rena ada umi dan baba. Jangan pernah rasa keseorangan dan apa-apa datang kat umi.”

Serena mengangguk perlahan sambil menahan esaknya. Dia melepaskan pelukan uminya dan mengambil tisu di dekatnya, lalu menghapuskan air mata Puan Sarimah dengan lembut.

“Jangan menangis. Nanti mekap umi cair,” gumamnya, cuba menceriakan suasana. “Hari ini hari bahagia Rena jadi umi tak boleh sedih.”

Serena keluar daripada ruangan, diapit oleh Puan Sarimah. Dadanya berdebar kencang, bukan kerana gugup, tetapi lebih kerana sesak. Dia tidak menyangka harus sampai ke titik ini.

Seharusnya, hari ini dia menegakkan wajah dengan senyuman lebar saat Shah Hakimi menyambutnya. Tetapi kenyataannya, dia harus berjalan menuju ke pelamin dengan luka yang masih menganga lebar, bersama pengantin pengganti.

“Umi senyumlah,” bisik Serena geli hati dengan wajah mimik uminya.

Puan Sarimah memaksa kepalanya untuk mengangguk meskipun terasa berat. Pandangannya kini tertuju pada skrin persegi di ruangan itu. Di sana, Taufiq Elias kelihatan berjabat tangan dengan Encik Jamal dalam genggaman yang kuat.

Encik Jamal sendiri menarik nafas panjang. Lalu dengan suara bergetar, dia mengucapkan kalimat yang menandakan berpindahnya tanggungjawab atas puterinya kepada lelaki yang kini duduk tegap di hadapannya.

“Taufiq Elias bin Iskandar.”

“Saya,” sahut Taufiq Elias dengan tenang.

“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku Serena Arissa binti Jamal dengan mas kahwinnya 10,000 ribu ringgit tunai.”

Untuk seketika, dada Taufiq Elias terasa sesak. Seolah-olah ada batu besar yang menekan nafasnya. Namun dia menarik nafas panjang, lalu akhirnya menjawab dengan suara lantang dan penuh keyakinan.

“Aku terima nikahnya Serena Arissa binti Jamal dengan mas kahwin 10,000 ribu ringgit tunai.”

Sunyi.

Para saksi dan tok kadi saling berpandangan. Taufiq Elias masih tenang cuba mengawal debaran di dadanya. Separuh gila dia memikirkan tindakan ini.

“Sah!”

“Sah!”

“Alhamdulillah.” Terus bacaan doa dibaca oleh tok kadi dan sedikit tazkirah diberikan kepada semua yang hadir.

Meskipun begitu, beberapa tetamu saling berbisik perlahan. Mereka cukup hairan dengan perbezaan nama pengantin lelaki yang tertulis pada kad undangan.

Tiada pemberitahuan sebelumnya tentang perubahan nama bakal pengantin lelaki. Namun pada akhirnya, para tetamu memilih diam dan tetap mengikuti perjalanan majlis tersebut.

Setelah prosesi ijab dan kabul selesai, Taufiq Elias bangun dari kerusi sambil ditemani sahabatnya yang membawa dulang berisi cincin di atasnya. Langkah Taufiq Elias sangat teratur dan segak dengan sosoknya.

Kenapa 10 tahun yang lepas lelaki ini tidak seperti ini?

Taufiq Elias duduk tanpa memandang langsung ke mata Serena menunjukkan betapa dia terpaksa dalam menyetujui tentang perkahwinan ini. Walaupun dalam hatinya ada separa persetujuan.

Tangan Taufiq Iskandar terus diletakkan di atas kepala Serena sambil membaca doa. Hati Serena terus sebak. Berapa kali menyalahkan dirinya tentang hal 10 tahun yang lepas.

Selepas doa dibaca, Taufiq mencapai tangan Serena dan menyarungkan cincin pada jari manis Serena. Tangan Serena bergetar saat tiba gilirannya. Dia berkali-kali menarik nafas, lalu menghembuskannya perlahan. Air mata mula bertakung di kelopak matanya.

Dan ketika Taufiq Elias menunduk, lalu melabuhkan ciuman perlahan di keningnya, air mata itu jatuh tanpa mampu ditahan.

Ketika itu juga, Serena merasa hidupnya benar-benar akan menjadi lain.

Di hati Taufiq Elias muncul desir halus yang tidak diduganya. Ciuman di kening tadi seolah-olah menghentikan aliran darahnya. Sesaat, dia terasa kosong. Lalu tanpa izin, bayangan Ariana melintas begitu saja.

Dia terdiam. Cuba mencerna keadaan yang sedang dijalaninya. Tetapi yang ditemuinya hanyalah wajah Serena yang teresak perlahan tepat di hadapannya.

“Jangan menangis... ini semua pilihan awak. Dan, ingat apa yang awak dah janjikan pada saya,” bisik Taufiq Elias perlahan, hampir tidak terdengar, tepat di dekat telinga Serena.

Dia tidak mahu kelihatan seperti pesalah dalam semua ini. Padahal, dalam diamnya, Taufiq Elias juga seorang mangsa.

Gadis itu memilih untuk memendam lukanya sendiri. Dia cuba mengubatinya diam-diam sambil menutup rapat pintu hatinya.

Dia juga bersumpah tidak akan membukanya lagi untuk sesiapa pun.

Jangan jatuh cinta, ini cuma sekadar nikah ganti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience